Ikatan Seni Kebudayaan Anak Felda kini sedang menjelajah Felda di seluruh Malaysia untuk mencari bakat baharu dalam bidang lakonan.

Que Haidar yang merupakan anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor bertindak sebagai panel uji bakat dalam siri jelajah itu.

“Saya anak Felda, jadi saya tahu apa yang dilalui anak-anak Felda. Bagi saya, program pencarian bakat ini satu perkara yang cukup bagus kerana berdasarkan pengalaman saya bukan mudah untuk bergelar seorang pelakon.

“Dulu, saya datang ke Kuala Lumpur seorang diri demi mengejar cita-cita sebagai pelakon. Banyak kesusahan dan cabaran yang terpaksa dilalui. Sekarang peluang itu ada di depan mata, cukup mudah untuk mereka sebagai anak Felda menunjukkan bakat yang ada,” jelasnya.

Tambahnya lagi, peluang keemasan itu tidak patut dilepaskan kerana jika terpilih, mereka akan terus berlakon dalam filem yang berkisar tentang kehidupan di Felda dan ditaja oleh pihak Felda.


“Memang nampak mudah kerana pihak kami yang cari bakat mereka di Felda tetapi saya tahu kebanyakan remaja Felda mereka takut untuk mencuba kerana bimbang dikutuk rakan walaupun dalam diri minat terhadap seni lakonan cukup tinggi.

“Cara saya cukup mudah, jika saya nampak mereka berminat, saya terus tarik mereka hadiri uji bakat. Bagi saya peluang datang sekali. Sayang jika hanya kerana malu dan bimbang dikutuk rakan, mereka melepaskan peluang yang ada. Siapa tahu masa depan mereka cukup cerah selepas itu?” balasnya.

Setakat hari ini, Que telah menjalankan uji bakat di Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang manakala tidak lama lagi di Johor.

“Syarat utamanya, peserta mesti anak Felda. Jika tidak, mereka tidak layak. Sebenarnya saya sendiri terkejut, ramai anak Felda yang mempunyai bakat terpendam.

“Jika tidak ada aral melintang, selepas filem, mungkin pihak Felda ingin menubuhkan Institusi Kesenian Felda,” katanya.

Bercakap tentang perkembangan terbaharunya, Que memberitahu, selain filem Rock 3, dia juga ditawarkan berlakon dalam dua filem lain.

Bagaimanapun, dia masih mempertimbangkan untuk menerima tawaran tersebut ataupun tidak kerana pada usia 34 tahun, Que lebih bersikap selektif.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top