Peraduan 'Yahoo-Mas Cili Padi Awards' 

Jika anda suka menghasilkan filem pendek, jom sertai peraduan "Yahoo-Mas Cili Padi Awards'

Andai menang anda akan bawa hadiah RM20,000 sebagai juara atau pun RM12,000 sebagai Naib Juara mahu pun sekadar tempat ketiga bagi merebut RM8,000.

Hanya dengan memuat turun filem pendek dalam durasi tidak lebih daripada 3 minit, anda mampu memenangi hadiah lumayan berkenaan di mana pemenang pertama turut diberi peluang latihan selama enam bulan di KRU Studios manakala pihak TVG Cinema pula akan menayangkan filem pendek yang menang di pawagam seluruh negara selama tiga minggu.

Mengumumkan demikian,  Pengarang Yahoo Malaysia, Mark Lourdes berkata, peraduan dibuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula 28 Oktober hingga 11 November dengan memuat turun filem pendek berkenaan melalui talian laman www.cilipadiawards.com.

"Kami ingin memberi peluang kepada bakat-bakat terpendam di luar sana untuk menghasilkan kreativiti mereka dalam menerbitkan filem pendek selama tiga minit dengan mesej tersendiri," ujar Mark pada majlis sidang media yang turut dihadiri Norman Abdul Halim dan  Sharifah Amani di Luxe Hall , TGV One Utama pagi tadi.

Tambah Mark, daripada penyertaan yang diterima 30 akan disenarai pendek untuk dinilai pada 18 November oleh beliau bersama barisan  juri profesional seperti Sharifah Amani, Lisa Surihani dan Khairul Syahar Khalid sevagai Ketua Unit Pengiklanan dan Promosi Malaysia Airlines mewakili syarikat penerbangan itu.

"Peraduan ini juga terbuka kepada penggiat filem profesional asalkan filem yang dihasilkan pendek dan menepati durasi yang ditetapkan." ujar Mark berhubung kelayakan penyertaaan.

Tiga pemenang yang berjaya akan diumumkan pada majlis penganugerahan yang akan berlangsung pada 23 November depan di TGV One Utama, Luxe Hall.

Keterangan lanjut layari laman web berkenaan www.cilipadiawards.com.

Yahoo-MAS Cili Padi Awards merupakan yang pertama kali dianjurkan bersama Malaysia Airlines dengan kerjasama TGV dan KRU Studios.

Memberikan pandangan mereka mengenai filem yang perlu dihasilkan, kata Sharifah Amani, "saya mahu melihat sebuah filem pendek yang mampu mencuit hati dan perasaan  serta penuh kreativiti."

Kata Norman pula, "carilah sebuah cerita yang unik dan lain daripada kebiasaannya kerana kita tidak mahu melihat cerita dan persekitaran yang sudah selalu kita tonton selama ini. Di sinilah terletaknya kemampuan serta kreativiti anda apatah lagi harus meluahkan mesejnya dalam masa tiga minit sahaja."

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top