Walaupun bergelar ibu pada usia muda dan awal 20-an, namun, ia amat membahagiakan pelakon jelita, Wawa Zainal. Apatah lagi, ia hasil perkongsian hidup dengan lelaki amat dicintainya.

Mula berkenalan dan bercinta dengan Aeril pada 2010 sewaktu mereka sama-sama berlakon dalam drama Klik, Wawa berkata, apapun dia memohon maaf kepada pihak media dan juga peminatnya kerana bertindak menyembunyikan perkahwinan itu.

"Saya memohon maaf kepada semua media dan peminat di atas semua yang berlaku dan penafian yang dibuat selama ini. Apa yang saya lakukan itu, sekadar mahu menghormati kontrak yang belum tamat dengan pihak pengurusan.

"Jadi, kerana menghormati permintaan saya dan keluarga, Aeril juga terpaksa mengambil langkah berdiam diri serta tidak memaklumkan perkara sebenar mengenai perkahwinan kami selama ini kepada media mahu pun umum," katanya.

Berkongsi perasaannya yang kini sudah bergelar isteri dan ibu, Wawa berkata ia adalah detik gembira, bahagia dan terindah yang berlaku di dalam hidupnya. Katanya, dia amat seronok menjaga anaknya di rumah.

Jadi, kata Wawa, perasaan itu turut membuatkan dia berasa berat hati untuk meninggalkan anaknya sekaligus kembali aktif semula ke dunia lakonan dalam waktu terdekat ini. Menurut Wawa, dia memerlukan masa beberapa bulan lagi untuk betul-betul sedia ke lokasi penggambaran.

"Apa yang membuatkan saya sukar untuk meninggalkan anak kerana saya belum bersedia untuk berjauhan dengannya terlalu lama. Saya tahu, jika sudah berlakon semula pasti jadual masa saya agak lama di lokasi.

"Justeru, memandangkan anak saya juga masih bayi membuatkan saya amat selesa jika dapat menguruskan sendiri di rumah. Apa yang pasti, saya mahu melihat pembesaran anak depan mata dan dijaga penuh kasih sayang dengan tangan sendiri," katanya.

Berasal dari Lahad Datu, Sabah, Wawa yang memiliki lima orang adik-beradik berkata dia bagaimanapun kesal dan sedih apabila status anaknya kini menjadi buah mulut masyarakat berikutan langkah menyembunyikan perkahwinan yang dibuat itu.

Tampil di sisi suaminya, Aeril dengan berpakaian baju kurung berwarna biru muda dan bertudung, Wawa turut menjelaskan dia kini dalam proses untuk berhijrah imej. Pun begitu, dia memaklumkan tidak berhasrat melakukannya secara drastik.

"Apa yang boleh dikatakan sekarang, saya dalam proses mencuba. Tak dinafikan, saya memang ada menyimpan hasrat mahu memakai tudung sepenuhnya selepas ini, namun biarlah ia berlaku secara ikhlas dan semula jadi.

"Dalam soal perubahan imej kepada bertudung, saya tidak mahu melakukannya dengan terburu-buru. Ini kerana, saya mahu kalau berubah nanti biarlah ia berkekalan. Jadi, doakan semoga saya akan bertudung," katanya.

Wawa yang turut mendakwa sudah sihat sepenuhnya daripada penderitaan penyakit misteri daripada warisan keluarga, menjelaskan dia tidak pernah berbohong mengenai perkara itu dan segala yang berlaku memang benar.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top