Sinopsis drama AKU (Slot Aksi TV3)

Kisah Aku bermula apabila teman wanita Acid iaitu Nini menyuruh Acid (Nubhan) masuk meminang. Khabar tersebut tersebar meluas di Kampung Serai hinggalah ke pengetahuan Mak Siah dan Pak Hamid, ibu bapa Acid serta Zarul, yang turut menaruh harapan terhadap Nini. Suatu hari, Zarul dan konco-konconya memerangkap Acid. Dia telah dipukul dengan teruk dan diberi amaran agar meninggalkan kampung tersebut.

Di sebuah kampung lain pula iaitu di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang, Badrul (Hairi Safwan) dan bapanya, Mamu Razak sedang sibuk melayani pelanggan di warung cendol dan pasembor mereka. Walaupun perniagaan mereka agak maju tetapi oleh kerana hutang terhadap Ceti Maniam, perbelanjaan sentiasa tidak mencukupi. Mamu Razak tidak dapat membayar hutang mengikut waktu, ini membuatkan Ceti Maniam semakin tidak boleh bersabar dan menghantar orang-orangnya mengeledah serta merampas segala yang berharga di rumah Mamu Razak.

Selain itu, pinangan Badrul ditolak oleh ibu bapa kekasihnya, Aswani kerana mereka tidak yakin Badrul mampu menyara Aswani. Dua peristiwa ini telah membuatkan Badrul bersumpah untuk menjadi jahat dan menukar namanya kepada Black, yang menggambarkan dunia hitam dalam dirinya. Lalu, Black membawa diri ke kotaraya Kuala Lumpur untuk meneruskan hidupnya.


Di ibu negara, Kuala Lumpur, Faris (Idzham Ismail) mengeluh kerana bengkelnya tidak lagi seperti dulu. Banyak usaha dilakukan oleh Faris termasuklah jualan murah, menyediakan makanan dan minuman kepada pelanggan, namun semuanya sia-sia. Dalam pada itu, wang perlindungan masih perlu dibayar kepada kumpulan gangster yang berkuasa di kawasan terbabit. Sebenarnya, masalah yang menyebabkan orang tidak mahu ke bengkel Faris kerana mekaniknya, Mahat (Hafizee Hatta), tidak tahu membaiki motorsikal.

Black tiba di kota metropolitan Kuala Lumpur dengan lagak seperti samseng. Tiba-tiba ada seseorang yang menepuk bahu Black dari belakang. Apabila Black berpusing, satu tumbukan singgah di mukanya. Black pengsan. Setelah Black kembali sedar, ada seorang lelaki pendek mendatanginya dan menyimbah air. Black tersedak dan lelaki itu dikenali sebagai ayahanda kawasan, Pak Long Mail. Dia menyangka Black adalah orang suruhan Geng Saidin yang ingin merampas kawasan milik Pak Long Mail. Geng Saidin yang diketuai oleh Pak Long Maidin, antara kumpulan gangster yang cukup digeruni.

Di bengkel, Faris secara tidak sengaja menyepak tin minuman sehingga terkena kepala Acid. Dari kejadian tersebut, mereka mula berkenalan dan bercerita tentang perkembangan bengkel milik Faris. Acid dipelawa untuk bekerja dan tinggal bersama Faris. Mereka berdua berjanji akan memajukan perniagaan bengkel motor ini.

Setelah sekian lama Black disoal siasat, barulah Pak Long Mail mengetahui bahawa mereka tersalah membuat tangkapan. Namun, akibat takut rahsia terbongkar, mereka bersetuju untuk mengambil Black selaku ahli kumpulan. Semenjak itu, Black ditugaskan untuk mengutip wang perlindungan dari penduduk di kawasan perlindungan Pak Long Mail.

Perniagaan Faris semakin maju sejak Acid bekerja di bengkelnya. Apabila melihat perkembangan tersebut, Pak Long Mail ingin menaikkan bayaran wang perlindungan. Dia menyuruh Black untuk mendapatkan wang tersebut. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Saksikan drama siri terbaru slot Aksi ‘AKU’ mulai 9 Oktober 2013, setiap hari Rabu jam 9.00 malam di TV3. Jika anda terlepas menyaksikan drama siri ini di kaca televisyen, anda boleh menontonnya di saluran alternatif menerusi www.tonton.com.my.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top