David Teo bidas Zed Zaidi

Industri hiburan tanahair masih kecoh dengan isu pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang terpaksa menyembunyikan perkahwinan mereka kerana menghormati kontrak dengan MiG dan juga takut pada Ketua Pegawai Eksekutif-nya, David Teo.

Isu itu mendapat perhatian presiden Seniman, Zed Zaidi. Menerusi akaun Twitternya, Zed menulis bahawa syarat tidak boleh bercinta di dalam kontrak melanggar hak peribadi seseorang dan ia seharusnya dimansuhkan.

Berkesempatan bertemu David baru-baru ini, penerbit tersebut mendakwa Zed sebagai seorang yang gila glamor serta kacang yang lupakan kulitnya kerana mengeluarkan kenyataan sebelum usul periksa.

“Saya menafikan perjanjian kontrak tersebut melanggar hak asasi manusia. Klausa 4.3 menjelaskan seseorang artis itu bersetuju membujang sepanjang kontrak tersebut. Namun jika bertemu jodoh, mereka harus mengumumkan pada pihak pengurusan dan kita anggap ia sah. Tiada apa yang perlu dipertikaikan. Bagi saya, hanya orang yang tak sedar diri saja yang akan perbesarkan isu ini,” kata David.

Tambahnya, dia menerima surat daripada pihak Seniman pada Jumaat lepas meminta satu salinan kontrak untuk dinilai. Namun dia mempertikaikan kenapa Zed hanya meminta salinan kontrak setelah mengeluarkan kenyataan.                          

“Saya baru menerima surat menerusi emel daripada pihak Seniman untuk meminta satu salinan kontrak. Ini menunjukkan dia mengeluarkan kenyataan tanpa membaca isi kontrak tersebut. Saya rasa tak adil dia membuat tuduhan tak berasas. Sebelum menyindir ‘rumahtangga’ orang, lebih baik dia jaga ‘rumahtangga’ sendiri,” luah David, menjelaskan dia hanya akan beri salinan kontrak tersebut kepada yang layak saja.

Jelas David, setiap isi kontrak yang MiG sediakan adalah untuk kebaikan artis itu sendiri dan ia ditulis dengan jelas berdasarkan pengalaman MiG menguruskan artis.


“Ada beberapa sebab kontrak ini ditulis. Antaranya adalah untuk mengelakkan seseorang artis daripada terlibat dengan kontroversi. Seseorang artis juga seharusnya menjaga imej dan membawa namanya dengan baik. Seseorang artis harus menjaga nama baik sendiri, keluarga dan syarikat agar dihormati masyarakat. Artis dan krew produksi dilarang menjalinkan cinta lokasi kerana bimbang berlakunya maksiat. Saya harap masyarakat faham kesungguhan saya untuk menghasilkan modal insan yang berjaya. Saya mahu artis saya bukan hanya menjadi seorang pelakon tapi juga sebagai usahawan yang berjaya,” ujar David.

Sementara itu, David berkongsi Wawa Zainal ada menghubunginya untuk meminta maaf beberapa minit sebelum menjalankan majlis sidang media merungkai segala persoalan tentang statusnya.

“Wawa hubungi saya untuk meminta maaf, 15 minit sebelum majlis sidang media itu. Bagi saya, tuan punya badan baik-baik saja dengan saya tapi orang lain pula yang lebih-lebih,” kata David. ~ Gua

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top