Rosyam Nor dan Ramli Sarip dapat gelaran Datuk

Jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee bersama dua artis terkenal tanah air, Rosyam Nor dan Ramli Sarip antara 901 penerima darjah kebesaran sempena Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, hari ini.

Ong dan Rosyam menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk, manakala Ramli dianugerahkan DPSM Kehormat turut membawa gelaran sama dan ketiga-tiga mereka dijangka menerima darjah berkenaan, Ahad ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Naim Abu Bakar berkata, darjah itu dianugerahkan kepada Ong kerana sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang sukan.

"Manakala Rosyam dan Ramli kerana pencapaian dan sumbangan mereka dalam industri hiburan tanah air," katanya, di sini, semalam.

Ong membimbing skuad kendaliannya merangkul gelaran juara Pestabola Merdeka 2013, bulan lalu, selain meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Rosyam menang anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 2002, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular.

Ramli memiliki 12 album solo antaranya Bukan Kerana Nama dan Perjalanan Hidup.

Naim berkata, Ketua Menteri Datuk Wira Idris Haron akan mengetuai senarai penerima dengan dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri.

Penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira pula ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Naim Abu Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Melaka Datuk Md Yunos Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker (M) Berhad Datuk Pang Tee Nam dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd Datuk Azhar Abdul Hamid.

Sembilan individu yang dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka membawa gelaran Datuk Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Melaka Amirudin Yusof, Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Kementerian Dalam Negeri Datin Seri Hamidah Khamis, Ketua Eksekutif MPD 99 Sdn Bhd N Navaratnam dan Ketua Eksekutif SP Management and Agencies Phang Shee Pak.

Penerima lain, Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd Radhuana Salleh, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Panglima 3 Divisyen Brigedier Jeneral Datuk Sheikh Mohsin Sheikh Hassan.

Ketua Biro Berita Harian Melaka Amirullah Andi Nur menerima Bintang Cemerlang Melaka.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top