Selain membariskan artis-artis terkenal untuk mengadakan persembahan, festival yang diadakan secara besar-besaran itu juga sering mengundang nama-nama baru di persada muzik dunia.
Membariskan lebih 45 artis solo dan berkumpulan dari seluruh dunia termasuk Malaysia, FMF yang akan berlangsung pada 17 Mac dilihat satu lagi tarikan utama pelancong luar, untuk datang ke negara ini.
Menurut Pengarah Jelajah FMF, Brett Robinson, Malaysia dipilih sebagai lokasi luar pertama mereka kerana sokongan yang diberikan kerajaan Malaysia dan Sepang International Circuit (SIC) dalam membantu penganjurannya.
"Komitmen yang diberikan memudahkan urusan penganjuran FMF buat pertama kali di sini.
"Selain itu juga kami mengambil kira kehadiran pelancong luar yang akan ke Malaysia pada bulan terbabit, memandangkan perlumbaan Formula Satu (F1) akan berlangsung seminggu selepas penganjuran FMF," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Brett, melalui penganjuran kali pertama itu juga, karyawan muda Malaysia bakal diberikan pendedahan secara global.
Mereka akan mengadakan persembahan dengan beberapa nama besar seperti The Chemical Brothers (DJ Set), Tini Tempah, Chase & Status,The Wombats dan lain-lain.
"Kami berharap melalui usaha ini lebih ramai pemuzik dari negara ini dan Asia dapat turut sama mengadakan persembahan FMF di Australia.
"Selain itu, ini merupakan peluang buat peminat muzik di negara ini untuk dihiburkan dengan senarai pemuzik hebat pada tahun ini," katanya.
Dijangka 35,000 penonton akan hadir terutamanya peminat muzik Australia yang sekian lama memberikan sokongan padu kepada penganjuran festival itu di luar.
"Walaupun berlangsung di negara lain, kami akan memastikan penonton mendapat kepuasan yang sama seperti penganjuran di Australia.
"Sebanyak empat pentas persembahan akan disediakan bagi menampung kehadiran penonton di SIC," jelasnya.
Sementara itu wakil Livescape's, Adam Matthews memberitahu, penganjuran kali pertama itu bakal membuktikan Malaysia sebagai antara lokasi terbaik dunia dalam memberikan kemudahan kepada festival bertaraf antarabangsa.
Livescape's adalah penganjur yang bertanggungjawab membawa FMF ke Malaysia.
"Adalah sesuatu yang membanggakan kerana pihak FMF memilih Malaysia sebagai lokasi luar pertama mereka.
"Kami percaya Malaysia merupakan lokasi sesuai untuk penganjuran FMF kali ini memandangkan ini merupakan antara usaha dalam menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pilihan dunia," katanya.
Sementara itu tiket untuk festival ini sudah pun mula dijual dengan harga pengenalan semurah RM98.