Sinopsis Dunia Tersembunyi

Dunia Tersembunyi adalah sebuah program baru TV3 yang menarik berbentuk majalah dokumentari yang menyingkap kepelbagaian kehidupan manusia dari gaya hidup yang luar biasa, sosio-ekonomi, destinasi pelancongan hingga keunikan budaya ini bakal membuka mata penonton terhadap aspek-aspek ini yang ternyata lain daripada kebiasaan.

Dunia Tersembunyi ini bakal membawa kita mengembara ke beberapa tempat menarik seperti Tana Toraja dan Pulau Lanjukang di Indonesia, Zhangjiajie dan Lijiang di China, Bijapur dan Solapur di India dan Manila (Filipina) untuk melihat sendiri keunikan masyarakat di situ.

Dunia Tersembunyi

Dalam setiap episod, pengacara selaku penerbit, Mohd Raziff Zulkafli serta beberapa kru produksi lain berkongsi pengalaman peribadi yang dilalui sendiri ketika menerokai demografi lokasi dan budaya masyarakat bagi setiap destinasi.

Dalam episod pertama yang disiarkan pada 4 Januari lalu, penonton didedahkan mengenai adat 'Rambu Solok' di Tana Toraja, sebuah kawasan pelancongan tercantik di Indonesia malah pelancong boleh merasai sendiri alam kubur Bukit Lemo dan Makam Gua Londa. Rambu Solok adalah satu upacara adat di mana mayat akan dirai selama seminggu dan pelbagai acara lain dijalankan seperti penyembelihan kerbau.

Rambu Solok diiktiraf sebagai upacara adat paling mahal di Indonesia kerana menelan ratusan juta rupiah bagi menyempurnakannya. Ketika upacara, mayat akan diusung dan digoncang sebagai tanda kenangan terakhir sebelum disimpan dalam sebuah rumah khas.

Sesuatu yang berbeza, penonton juga berpeluang menyaksikan sesuatu yang menarik di Bijapur dan Solapur yang lebih diingati sebagai 'Agra India Selatan' dan 'Bandar Tekstil Cadar' iaitu tradisi melambung bayi. Walaupun kerajaan mengharamkan tradisi ini, namun segelintir komuniti masih berpegang teguh kepada kepercayaan sejak 400 tahun dulu dan setiap tahun, hampir 1,000 bayi akan dilambung dari ketinggian 20 kaki rumah ibadat terpilih dan disambut dengan cadar.

Manakala, di Filipina, siapa sangka di tengah-tengah kota metropolitan itu, terdapat komuniti yang mendiami tanah perkuburan? Tanpa menghiraukan stigma masyarakat dan suasana seram kawasan itu, bagi mereka, asalkan mempunyai tempat tinggal untuk meneruskan hidup, segalanya tidak mustahil bagi mereka.

Selama enam bulan penggambaran berlangsung, pastinya kisah-kisah yang boleh dianggap 'gila' dan asing daripada dunia realiti di zaman serba moden ini seperti Tangisan Pengantin, Nasib Si Kerdil, Dunia Wanita, Pasar Cinta, Jantina Ketiga, Isteriku Isterimu, dan Waris Sabung, pastinya memberi dimensi baru kepada penonton.

Jangan lupa saksikan Dunia Tersembunyi yang menghimpunkan kisah-kisah misteri dan pelik sebanyak 13 episod, setiap Rabu pada jam 9 malam untuk merasai sendiri kehidupan masyarakat 'tersembunyi' ini. Dunia Tersembunyi juga boleh disaksikan melalui www.tonton.com.my.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top