Metrowealth International Group (MIG) mahu menghasilkan filem bercorak animasi dalam terbitannya akan datang.

Bermula tahun ini, MIG akan membuka peluang kepada animator tempat untuk menghasilkan filem animasi yang dapat mengimbangi pelbagai genre filem dalam industri perfileman tempatan.
Ketua Pegawainya, David Teo berkata, langkah itu dilihat sebagai matlamat baru untuk terus mengembangkan industri perfileman terbitan syarikatnya dengan mengaplikasikan teknologi baru.

“Saya mahu terus mencari sesuatu yang baru untuk industri filem kita. Bermula tahun ini juga saya mahu aplikasikan teknologi baru seperti animasi dan penggunaan Teknik Penjanaan Komputer (CGI) yang lebih terkini menerusi filem saya.

“Selain daripada penerbitan filem cereka, MIG juga akan menerbitkan satu filem animasi setiap tahun bagi membuka peluang kepada animator mengembangkan sektor animasi tempatan,” katanya yang ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Gong Xi Fa Cai, di sebuah hotel terkemuka di Subang.

Melihat daripada perkembangan drastik MIG dalam usia satu dekad, David turut menganggap MIG sebagai sebuah ‘universiti perfileman’ yang melahirkan bakat lakonan dan pengarah baru menerusi Skim Pengarah Muda tajaan syarikatnya.

“MIG sudah boleh dianggap sebagai universiti melahirkan bakat baru, sebab itu slogan Bintang Dicipta Bukan Dilahirkan saya gunakan hingga hari ini. Selain daripada memiliki pelakon sendiri, MIG turut memperkenalkan Skim Pengarah Muda MIG.

“Antara pengarah muda yang digilap MIG seperti Ismail Hasim, Azhari Zain, Pierre Andre, Hashim Rejab, Farid Kamil, Ahmad Rusli, Yana Samsuddin, Muhamad Razif, Noor Hazlin, Mohd Azaromi dan Nor Zahirah.

“Selain itu, MIG turut membuka peluang kepada media dan orang ramai untuk membuat skrip, saya tahu setiap orang pasti mempunyai sejarah hidup sendiri dan cerita itu boleh dijadikan skrip untuk filem. Kami akan membayar mana-mana skrip yang menepati kehendak kami,” katanya.

Sementara itu, MIG menerusi syarikat penerbitan filemnya, Metrowealth Movies Production (MMP) urut berbangga dapat menyumbang 22.2 peratus hasil kutipan penerbitan filem syarikatnya kepada industri dengan pungutan kasar sebanyak RM108 juta tahun lalu.

Dengan jumlah itu, MIG menjadi syarikat penerbitan filem terbanyak menyumbang kepada industri perfileman iaitu sebanyak RM24 juta.

“MIG sudah menerbitkan 72 filem sepanjang satu dekad penubuhannya dan 54 daripadanya sudah ditayangkan.

“Kami juga menjangkakan 19 filem lagi akan ditayangkan sepanjang tahun ini. Bermula tahun ini juga kami akan lebih agresif untuk menerbitkan 29 filem bagi mencapai sasaran 100 filem menjelang tahun 2013,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top