Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) berjaya melakar sejarah baru apabila acara yang disiarkan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil Ahad lalu, berjaya meraih jumlah penonton tertinggi iaitu sebanyak 6.5 juta.

Menurut kenyataan ringkas yang dihantar melalui emel oleh pihak TV3, kajian daripada Nielsen Audience Measurement itu sekaligus mencipta rekod baru untuk stesen penyiaran TV3.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, perancangan rapi acara tersebut ternyata membuahkan hasil lebih-lebih lagi, ramai yang memberikan respons positif mengenainya.

"Hasilnya bukanlah boleh dikira dengan wang ringgit sebaliknya melalui kepuasan menjadikannya satu acara di luar jangkaan.

"Bukan mudah untuk mencapai kadar jumlah tontonan keseluruhan mencecah lebih daripada 6.5 juta, segala keringat dan penat lelah tenaga kerja menjadi bukti bahawa tanggungjawab sebagai sebuah stesen TV dikongsi bersama menjadikannya sebuah acara gilang-gemilang.

”Maklum balas yang diterima daripada para penonton juga amat menggalakkan malah pihak kami juga menerima permintaan daripada penonton untuk menyiarkan ulangan AJL26. Ini jelas membuktikan kewibawaan anugerah ini seharusnya diberikan pujian dan semoga terus sukses di masa akan datang,” katanya.

Jumlah tontonan secara online mencecah 118,884, sekaligus memecahkan rekod AJL 25 tahun lepas iaitu 83,764 dengan peningkatan sebanyak 42 peratus.

Acara yang dimulakan tepat pada pukul 9 malam itu mencapai angka tertinggi 'live streaming' pada pukul 10.55 malam dengan 20,768 hits berbanding 8,334 pada jam 11.20 malam di AJL 25 menjadikan Malaysia sebagai penyumbang utama kepada jumlah tontonan sebanyak 106,514, diikuti negara-negara lain seperti Singapura (3,271), Brunei (1,998), United Kingdom (1,790) dan Indonesia (1,032).

AJL26 membawa dimensi baru dalam penganjurannya setelah memberi satu impak maksimum melalui persembahan pentas selain komitmen finalis yang membawakan lagu-lagu mereka dengan identiti, pemfokusan dan kreativiti masing-masing.

Tahun ini juga memperlihatkan antara penganjuran terbaik membawa konsep berlainan bersempena dengan ulangtahunnya yang ke-26, elemen air dipilih sebagai menerapkan perkembangan dan perjalanan arus muzik dan irama terutamanya di dalam industri tempatan di kemuncak acara gemilang ini.

Tuah kali ini berpihak kepada penghibur muda berbakat, Hafiz yang berjaya muncul sebagai juara menerusi lagu popular Awan Nano ciptaan komposer Datuk M.Nasir dan lirik oleh Buddhi Hekayat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top