Kehilangan insan tersayang pasti tiada galang gantinya. Namun, bagaikan air yang dicincang tidak akan putus, begitulah hubungan adik-beradik ini yang tiada penghujungnya walaupun seorang daripada mereka sudah tiada.

Mana mungkin kita sebagai hamba Tuhan dapat melawan takdir dan menghalang kematian. Oleh itu, hanya kenangan yang menjadi teman setia kepada Khairil Azam Pilus, 27, atau Aril ini apabila abangnya, Khairil Izwan, 33, meninggal dunia pada Jumaat lalu akibat virus kencing tikus dan jangkitan kuman dalam darah.

Memang berat untuk menerima hakikat abangnya sudah tiada, tetapi Aril yang dihubungi Hip, kelmarin tetap tabah menghadapi kenyataan.

Meskipun masih sedih, Aril tidak ralat kerana sempat meluangkan masa menjaga abangnya ketika sakit hingga ke hembusan nafas terakhir.

“Sebagai adik, itulah yang membuatkan saya lega. Abang sempat bertemu dengan mak dan ayah serta seluruh ahli keluarga sebelum dia pergi. Tak dinafikan saya agak terkilan sikit kerana pada mulanya dia hanya memberitahu dua rakan baiknya, bukan kepada saya sebagai adiknya, yang mana saya dapat tahu dia sakit empat hari sebelum meninggal dunia. Saya percaya dia merahsiakan kerana tak mahu merisaukan dan menyusahkan kami, tambah lagi dia tahu berita sebegini akan membuatkan kami sedih,” kata Aril.

Menurutnya, walaupun Izwan tidak mahu memberitahu keadaan kesihatannya kepada keluarga, tetapi ibunya sudah dapat mengesan sesuatu yang tidak kena pada abangnya itu.

“Emak sudah tahu kerana ada tanda-tanda kecil kelihatan satu demi satu, naluri seorang ibu mampu merasakan sesuatu yang tidak mampu dirasakan oleh orang lain.


“Ibu nampak perubahan pada diri abang seperti tidak meninggalkan solat, kerap bersolat jemaah dan melihat abang ada membaca buku bertajuk ‘Apabila Allah menduga kita’. Saya pun perasan perubahan sikapnya. Dia selalu nampak letih dan kalau basuh baju, dia membasuh semua sekali, berbeza dengan sebelum itu. Kalau saya keluar rumah, dia akan tanya, pergi mana dan berpesan cepat balik.

“Dia juga selalu tidur awal, apabila saya keluar rumah dia tidur, saya balik rumah pun tidur. Satu hari saya rasa macam pelik dan merasakan sesuatu tidak kena, lantas saya terjah dan kemudian dia mengambil keputusan untuk memberitahu. Malam tersebut sebelum dia meninggal, saya yang menghantarnya ke hospital.

“Di sebalik itu, saya bersyukur pengurusan perihal kematian abang saya semuanya berjalan dengan lancar, ditambah lagi dia pergi pun pada hari Jumaat dan saya bersyukur Allah permudahkan perjalanannya,” katanya lagi.

Selain Aril, Izwan meninggalkan ibunya, Normah Abdullah, 54; bapa, Pilus Mohd Jani, 56, serta kakak, Khirul Aida, dan adik Nurul Nabilah.

Begitu disenangi kenalannya, Aril turut menganggap abangnya seorang bertanggungjawab dan sebagai saudara lelaki paling tua, Izwan sentiasa mengutamakan keluarganya serta bersungguh-sungguh dengan kerjayanya sebagai insan seni.

Biarpun dianggap peramah oleh rakan media, tetapi dalam kalangan keluarga, abangnya itu agak pemalu dan kurang bercakap kerana lebih gemar mendengar.

“Pemergiannya tidak dinafikan memang dirasai kami sekeluarga. Walaupun saya sudah biasa dengan Izwan yang sering ‘outstation’, tapi kini berdepan dengan realiti dia tidak akan kembali, mengambil masa juga untuk membiasakan diri.

“Malah mak ayah turut merasai kehilangannya kerana dia yang paling berpelajaran tinggi. Abang pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lantas ini bukan perkara yang senang buat kami,” sambung Aril yang merasakan kini tanggungjawabnya lebih besar sebagai anak tunggal lelaki yang tinggal.

Izwan dilahirkan pada tanggal 24 November 1979 dan jenazahnya ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam, Nyalas, Jasin, Melaka. ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top