Allahyarham Izwan Pilus tidak sempat menunaikan hasrat menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang penyiaran.

Ibunya, Normah Abdullah berkata, anak keduanya itu sebelum ini sedang mencari institusi pengajian tinggi yang sesuai untuk melanjutkan pelajaran, namun Allah lebih menyayanginya dan perancangan dilakukan itu tidak sempat dilaksanakan.


“Itu antara perancangan yang mahu dilakukan arwah, menuntut ilmu pada peringkat lebih tinggi walaupun sudah mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dari Universiti Utara Malaysia (UUM). “Selain itu, arwah juga ada menyatakan mahu berjaya dalam kerjaya sebagai penyanyi dan pengacara,” katanya majlis pengebumian bekas pengacara Bintang RTM itu di Tanah Perkuburan Orang Islam, Nyalas, dekat sini, semalam.

Lebih 500 ahli keluarga, saudara-mara, rakan artis serta peminat menziarahi jenazahnya di rumah keluarganya di Taman Nyalas Permai, di sini.

Semalam, Berita Harian melaporkan, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada jam 6.15 petang, kelmarin.

Izwan dimasukkan ke hospital berkenaan jam 12.30 malam, Khamis lalu disebabkan demam kuning sebelum doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus dan kuman dalam darah yang serius sehari selepas itu.

Normah berkata, anaknya sentiasa mengambil berat keadaan keluarga dan sangat manja walaupun pendiam.

“Arwah seorang anak yang baik dan tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada ibu bapanya,” katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham, Khairil Azam Pilus atau Aril berkata, Allahyarham sempat berpesan kepadanya supaya menjaga ibu bapa mereka, malah abangnya itu pernah memarahinya beberapa minggu lalu hanya kerana dia tidak tahu melipat baju.

“Tiga minggu lalu, ketika berada di rumah (Ampang), arwah marah-marah sambil berkata nak tunggu aku mati ke baru nak belajar lipat baju?

“Tidak sangka arwah sudah pergi,” katanya dalam keadaan sebak, semalam.

Al-Fatihah buat Allahyarham Izwan Pilus

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top