Program Masakan Warisan... Bersama Chef Yang Jamil berkonsep santai dan kekeluargaan. Diterbitkan bersama Wan Zamri Wan Abdul Kadir, pakar masakan tradisional itu bertungkus lumus menyediakan resipi lama yang sudah dimamah usia.

Program Masakan Warisan... Bersama Chef Yang Jamil terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd. Program 13 episod itu bakal disiarkan RTM bulan depan. Menerusi program itu, Chef Yang Jamil tidak menampilkan selebriti popular seperti program masakan lain, sebaliknya beliau mengundang empat anak daranya, Puterry Haziqah, 19, Puterry Najihah, 18, Puterry Maya Sari, 15, dan Puterry Aisyatul, 13.

Mereka ditugaskan sebagai pembantu Chef Yang dalam program masakan yang akan bersiaran setiap Ahad, jam 11 pagi di TV2 selama setengah jam bermula penghujung Februari ini.

Nama Chef Yang Jamil mungkin tidaklah segah selebriti masakan lain yang popular seperti Chef Wan, Chef Ismail atau Chef Zam, namun Chef Yang mempunyai pengalaman dalam bidang masakan selama hampir 40 tahun. Sebelum ini, Chef Yang aktif sebagai pengacara, penari, pelawak, penyanyi latar, pelakon dan jurusolek, selain pakar masakan. Chef Yang pernah muncul dalam rancangan Apa-Apa Aje, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini, Apa Kata Wanita. Bapa tunggal kepada empat cahaya mata itu juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dan program masakan di ceruk kampung dan kawasan pedalaman.

Pada 1990-an, Chef Yang pernah diberi kepercayaan syarikat pengeluar alat solek terkemuka di dunia untuk menyolek Ratu Cantik Dunia (Miss World) di Amsterdam, Belanda. Dia juga anak Melayu pertama membuka restoran di Nigeria, yang diberi nama Restoran Ivory Malaysia.

Bagaimanapun, selepas sekian lama menunggu, akhirnya Chef Yang ditawarkan mengendalikan program masakan sendiri. Ibarat bulan jatuh ke riba, Chef Yang mahu berkongsi pengalaman, tip dan resipi turun temurun yang menjadi kepakarannya selama ini.

"Saya sedar bukan mudah mendapat peluang ini. Apabila diberikan kepercayaan selaku pengacara dan penerbit eksekutif program ini, saya akan gunakan peluang sebaik mungkin. Saya kumpul segala ilmu, petua, tips dan resipi turun-temurun yang kian dilupakan, saya mahu berkongsi dengan penonton. Saya perhatikan resipi tradisional dan masakan turun temurun semakin diabaikan. Kebanyakannya tahu makan, tetapi tidak tahu bagaimana membuatnya walaupun resipinya semudah pulut kuning.

"Program masakan ini lain daripada lain. Ia berkonsep santai dan kekeluargaan. Disebabkan itulah, saya tidak mengundang selebriti popular bersama saya, sebaliknya mengetengahkan anak-anak. Ia sekali gus akan membuka mata anak muda yang tidak suka ke dapur membantu ibu bapa mereka. Saya percaya ini adalah program masakan pertama yang mengetengahkan bapa dan anak di dapur.

"Apa yang diketengahkan boleh dijadikan panduan dan teladan, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sebagai bapa tunggal, saya mempunyai banyak pengalaman dalam mendidik anak. Alhamdullilah, kini keempat-empat anak saya sudah dapat diharapkan ke dapur. Kerja rumah dan memasak, mereka yang melakukannya. Saya hanya mengarahkan apabila perlu. Saya percaya cara didikan akan membantu membuka mata keluarga lain. Kalau keluarga saya boleh buat, kenapa tidak keluarga mereka?

"Saya juga menyediakan peralatan tradisional seperti lesung batu, batu giling, lesung kaki, jala ikan, serkap ikan, pengukus lama dan banyak lagi. Saya juga akan mengajar penonton menggunakan dapur arang apabila membuat kuih tradisional. Bagaimanapun peralatan moden tidak diketepikan," katanya.

Ajar anak masak guna alat tradisional

CHEF Yang Jamil mengakui, sejak dulu lagi dia mengajar anak-anaknya memasak menggunakan peralatan tradisional, seperti memasak nasi menggunakan dapur lama dan menumbuk menggunakan lesung batu.

"Apabila mereka sudah mahir, barulah saya guna peralatan moden seperti dapur elektrik dan pengisar. Anak saya sudah dilatih ke dapur pada usia muda. Saya bukannya mahu mendera tapi saya mahu mendedahkan ilmu dan petua. Saya mahu mereka tahu cara gunakan dapur lama. Memang menyusahkan, api kena selalu jaga supaya nasi tidak hangit.

"Tapi, hasilnya anak-anak melakukan kerja dengan teliti, bukan buat asal boleh. Begitu juga kalau menumbuk, kalau mata terpercik cili, ada cara berkesan menghilangkannya. Itu adalah ilmu diperturunkan daripada nenek moyang. Saya banyak menyelitkan ilmu dan petua masakan dalam program Masakan Warisan... Bersama Chef Yang Jamil. Jujurnya, saya sudah ke dapur membantu arwah ibu sejak berusia 10 tahun.

"Program ini juga saya dedikasi buat arwah ibu yang mengajar saya selama ini. Alhamdullilah, ajaran ibu menjadikan saya sebagai insan serba boleh. Bukan hanya boleh memasak, mengemas dan mengandam, malah saya sudah terbabit dalam dunia tarian, pengacaraan, lakonan, lawak jenaka dan macam- macam lagi. Bagi saya, ia lengkap sebagai anak seni.

"Cuma, saya tidak menonjol seperti personaliti lain. Saya banyak terbabit dalam kerja di sebalik tabir dan kemasyarakatan. Saya mengajar orang kampung memasak, berkongsi resipi dengan peniaga. Saya mahu mereka boleh masak dan menghidangkan masakan yang sedap.

Sejak dulu saya tidak kisah jika saya tidak glamor dan kurang publisiti. Apa yang saya lakukan untuk kerja masyarakat, duit juga adalah nombor 10 buat saya. Bagi saya, kepuasan yang saya dapat apabila dapat berkongsi resipi dan bertemu dengan orang ramai," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top