Rasanya ramai yang sudah tahu bahawa pasangan yang sedang hangat bercinta, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob sedang merancang untuk bertunang pada tahun ini. Perkara ini bukan dihebohkan oleh sumber yang tidak boleh dipercayai, tetapi ia diakui sendiri oleh Zahiril. Walaupun tidak memaklumkan tarikh sebenar, tetapi desas-desus mengatakan Zahiril dan Shera akan melangsungkan pertunangan pada 1 Mei ini.
Untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan lanjut, GUA telah menghubungi Shera sebentar tadi. Berbeza dengan Zahiril, personaliti TV3 enggan mengulas lanjut. Jelas Shera, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi kepada umum.
"Saya minta maaf kerana tidak mahu mengulas lanjut tentang perkara ini. Bagi saya, hal pertunangan ini terlalu peribadi untuk diheboh-hebohkan. Lebih-lebih lagi kami belum mencapai kata putus bila tarikh sebenar majlis pertunangan itu. Semuanya masih dalam perbincangan. Hairan juga macamana ada pihak yang mendakwa kami memilih tarikh 1 Mei. Apa yang boleh saya katakan, kalau tarikh sudah ditetapkan nanti, kami akan maklumkan pihak media. Harap anda semua memahami dan menghormati pendirian saya ini," jelas Shera.
Dalam masa yang sama, Shera juga menegaskan tindakannya itu bertujuan untuk menjaga perasaan kedua-dua belah keluarga.
"Saya tidak mahu keluarga saya dan Zahiril terkejut jika kami buat pengumuman pertunangan tanpa memberitahu mereka dahulu. Biarlah keluarga kami berbincang dahulu, kemudian barulah kami umumkan pada semua. Perkara yang baik ini memang tidak perlu disorokkan, tetapi kami mahu buat dengan betul" tambah Shera yang menafikan keluarga Zahiril pernah datang merisik.
Sedia bergelar isteri
Terlanjur bercerita tentang pertunangan, GUA mengambil kesempatan untuk mengetahui sama ada Shera sudah bersedia melangkah alam rumah tangga. Ini kerana dengan merancang pertunangan, pasti sudah terlintas di fikiran tentang perkahwinan.
"Memang saya telah fikirkan perkara ini. Rasanya tidak ada masalah untuk melangkah ke alam perkahwinan sekiranya pasangan kita itu adalah calon terbaik. Walaupun tahun ini saya baru berusia 25 tahun, tetapi saya tidak rasa usia itu menjadi penghalang. Jika saling memahami, saya percaya sebuah perkahwinan itu mampu bertahan," ujar Shera.
Persoalannya, tidakkah Shera bimbang status seorang isteri akan mengganggu perjalanan karier? Lebih-lebih lagi dia baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia lakonan.
"Saya berfikiran positif tentang perkara ini. Saya tidak rasa status seorang isteri itu akan membuatkan karier seseorang itu terkubur begitu sahaja. Seandainya perkahwinan itu menjadi kenyataan, Shera akan terus mengacara dan berlakon. Rasanya, Zahiril tidak punya halangan kerana dia juga seorang pelakon. Pasti dia faham dengan tuntutan tugas saya itu.
Selain itu, saya juga tidak bimbang tentang populariti. Memang ramai yang kata, kalau sudah berkahwin susah hendak mendapat tempat dalam industri, tetapi saya percaya peminat sekarang sudah semakin bijak. Mereka menilai seseorang berdasarkan bakat, bukan status peribadi," jelas Shera.
Buat peminat yang sudah lama ingin menyaksikan lakonan Shera Aiyob, jangan lupa menyaksikan filem seram 'Karak' yang akan berada di pawagam pada 26 Mei hadapan. Filem terbitan KRU Pictures ini menghimpun beberapa kisah seram yang sering dikaitkan oleh pengguna lebuhraya Karak – Kuala Lumpur.
0 ulasan:
Catat Ulasan