Dalam kita sibuk berteka-teki dan membuat ramalan siapakah yang bakal meneruskan legasi kejuaraan rancangan realiti televisyen (TV) itu, kegelisahan tetap menghantui Suhaila Zulkifli, Muhamad Nasir Mohamad Salleh, Mohd. Syahrian Syah dan Mohamed Husaini Mahmur, finalis yang bakal beraksi pada malam kemuncak itu nanti.
Walaupun sudah biasa berdepan dengan kamera dan penonton dalam tempoh 11 minggu bersiaran, perasaan gemuruh, takut serta gugup ketika berada di atas pentas tetap menghantui peserta akhir AQ5.
Siapa sangka di sebalik perwatakan yang bersahaja, peserta termuda AQ5, Mohamed Husaini Mahmur yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu tetap tidak dapat menyembunyikan getaran rasa hatinya.
"Tidak dapat dinafikan saya memang gementar dalam menghitung detik untuk sampai ke malam kemuncak AQ5 nanti.
"Pelbagai perasaan bercampur baur dalam hati agar saya dapat melakukan yang terbaik," kata remaja berusia 19 tahun itu ketika ditemui selepas sidang akhbar mengumumkan hadiah AQ5 di restoran Ibunda di sini baru-baru ini.
Jelas bekas pelajar sekolah Maahad Ahmadi Gemencheh, Negeri Sembilan itu, apa yang ditakutkan tiba-tiba dia gugup ketika berada di atas pentas nanti.
"Sedangkan setiap minggu saya risau jika keadaan itu berlaku inikan pula di pentas terakhir Sabtu ini," jelasnya.
Katanya lagi, persaingan juga semakin sengit memandangkan semua peserta akhir menunjukkan prestasi yang terbaik.
"Tidak kira Suhailah, Nasir ataupun Shahrian semuanya hebat dalam menyampaikan bacaan.
"Bagi saya, menang atau tidak bukanlah soalnya, apa yang penting adalah melakukan yang terbaik," ujarnya lagi.
Tambah anak sulung daripada lima beradik itu, bagi mempersiapkan diri sebelum menjelangnya malam akhir AQ5 di Pusat Konvensyen Putrajaya nanti, beliau mengambil inisiatif meningkatkan latihan dalam pembacaannya.
"Untuk saat-saat akhir seperti ini hanya itulah antara kaedah terbaik yang dapat saya lakukan.
"Dengan mengulang pembacaan ia dapat membantu saya dalam mempertingkatkan mutu bacaan selain mengingati tajwid agar sebarang kesilapan berkenaan dapat saya elakkan," katanya.
Ditanya berkenaan perancangannya selepas keluar dari Akademi nanti, anak muda yang bercita-cita untuk menjadi pendidik suatu hari nanti itu berkata, dia sedang dalam pertimbangan untuk melanjutkan pelajaran keperingkat ijazah.
"Memandangkan kesemua peserta akhir diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana cawangan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), saya bercadang akan menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin sama ada di Madinah, Mesir ataupun di Malaysia," katanya lagi.
Siaran langsung peringkat akhir AQ5 ini akan disiarkan di TV9 pada pukul 8.30 malam esok dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dari kiri: Mohd. Syahriansyah Apin, Mohamad Husaini Mahmur, Muhamad Nasir Mohamad Salleh dan Suhailah Zulkifly merupakan 4 peserta akhir Akademi Al-Quran 5 yang akan berentap pada 26 Mac ini di PICC.

0 ulasan:
Catat Ulasan