Ini bukan uji bakat
TAHNIAH, bravo kah..kah…kah filem kita mencatatkan rekod di peringkat antarabangsa apabila pelakon filem dicari dalam sesi berkemban di pentas. Hebat…hebat…hebat. Hollywood, Bollywood malah apa "wood" sekalipun belum pernah buat uji bakat cara kita. Maka kitalah yang pertama di dunia.
Apa lagi, berbanggalah kita sambil menghantuk-hantukkan kepada di dinding tanda kegembiraan sekaligus kekesalan. Ini kerana ia menunjukkan industri filem kita boleh dimasuki oleh sesiapa saja, termasuk pelondeh gadis dan wanita. Mereka inilah yang membuatkan orang ingat semua orang filem kepala biul, otak kuning dan tabiat memperdagangkan wanita. Hairan macammana orang macam ini boleh masuk?
Baru-baru ini berlaku satu "tragedi" di Johor Bahru apabila beberapa gadis Melayu "dilondeh" di atas pentas sambil memperagakan fesyen berkemban. Mereka memperagakan kemban di depan tetamu seperti acara ratu cantik. Tapi ini adalah sesi uji bakat untuk sebuah filem. Kononnya pemenang fesyen kemban ini akan diberi watak utama filem yang akan diterbitkan.
Gadis-gadis yang terpukau dengan glamor tergamak pula menjatuhkan maruah mak bapa menayangkan tubuh kepada tetamu. Mereka gadis Melayu Johor. Khabarnya orang Johor marah berapi kepada puak-puak yang melondeh gadis-gadis Johor ini. Marah saja nak buat apa, kalau tak bertindak.
Siti nak tanya, apa kena mengena berkemban dengan berlakon filem? Sebenarnya memang tak ada kena mengena kecualilah kalau penerbit atau pengarah yang nak menggatal. Kalau nak cari pelakon carilah yang boleh berlakon bukan boleh dan sanggup berkemban. Yang sanggup berkemban di Danga Bay pun banyak.
Puak-puak ini kata, itulah sesi uji bakat. Dalam bahasa Inggeris disebut screen test. Maknanya itu adalah sesi untuk menguji kebolehan seseorang dalam seni persembahan sama ada lakonan atau tarian. Semua yang hadir akan diuji bakat lakon, penghayatan seni dan pengetahuan am mereka. Setahu Siti berkemban wujud dalam uji bakat.
Lagi satu yang berlaku di Johor Bahru itu tak ada ciri-ciri uji bakat sikit pun. Mana puak-puak ini belajar nak uji bakat kena ada sesi berkemban di atas pentas? Semua ini mengarut. Orang-orang filem yang benar-benar jujur jangan berdiam diri. Muka mereka telah diconteng dengan perkara-perkara mengarut dengan adanya uji bakat berkemban ini. Kalau berdiam diri nanti orang kata, "Hangpa pun dua kali lima juga rupanya."
Tapi setakat ini tak ada apa-apa tindakan pun. Takkan wanita-wanita Johor merestui perbuatan yang mencemarkan gadis Johor ini berlalu begitu saja? Dahlah begitu, puak ini kata pula, "Itu perkara kecil saja."
Orang kata, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Siti kata, sekilas buat uji bakat, Siti dah tahu apa tujuannya. Perbuatan ini telah mengotorkan orang-orang filem. Memang benar, tak semua orang filem bersih tapi banyak juga yang bersih. Eloknya tanya orang filem yang ada pengalaman, nak buat uji bakat macammana? Sebabnya ini nak uji lain, bukan nak uji bakat.
SITI JARUM: Bukan orang Johor.
0 ulasan:
Catat Ulasan