BIARPUN tidak setenang air di kuala, barangkali ketika ini Faezah Elai sedang menghirup udara yang damai. Pandangannya sudah boleh dilontar jauh kerana banyak lagi landskap berwarna pelangi yang mahu dinikmati.
Menelaah ke dalam mata dan hatinya, dia lega, tidak gusar lagi oleh kejian atau fitnah yang pernah meracun benak fikir.
“Selepas surat peguam dihantar, cerita-cerita yang tidak masuk akal itu senyap dengan sendiri,” luahnya spontan.
Kata Faezah, dia pernah lemas dek deru panas yang menghambat nafas. Pergaduhan dengan pelakon, Azat Jasmin yang kemudian bersulam gosip skandal bersama pengarah drama Heykal Hanifah, 37, yang bersatus suami membuatnya hampir lemas.
Semua itu menjadi bahan sensasi yang menjentik pencapaian Faezah Elai di persada lakonan.
“Semua itu saya anggap sebagai isu kecil yang sengaja diperbesar-besarkan. Itu kes salah interpretasi, ia hanya tajuk sebuah artikel yang tersiar di sebuah portal hiburan,” keluh Faezah.
Ya, agak jengkel juga bila seorang pelakon yang sedang membina nama dikaitkan dengan perkara remeh-temeh apatah lagi lepas cakap tentang pekerjaan yang menjadi periuk nasi sendiri.
Namun, dari satu sisi, anak mami Pulau Mutiara itu harus sedar, terkait satu persatu kontroversi yang menjatuhkan itu, Faezah yang dulunya bukan sesiapa, semakin ingin didekati ramai.
September
“Sumpah! Saya tak pernah rasa yang saya popular. Saya masuk industri ini pun agak lambat. Tapi benda-benda yang jadi kepada saya di luar kawalan.
“Bila tiada gosip tak ada benda yang hendak dicakapkan, tapi bila berlaku kontroversi saya yang kena mengadap dan bercakap perkara itu berulang kali.
“Banyak lagi isu tak manis tentang saya, tapi fikirlah sendiri, saya masih tinggal bersama ibu dan ayah, tak sempat sebenarnya nak buat perkara tak senonoh.
“Memanglah orang akan cepat kenal seseorang artis bila artis itu ada kontroversi tapi kalau boleh saya tak nak dikenali kerana benda-benda bodoh begitu, ia lebih kepada menjatuhkan saya,” luahnya menutup buku kontroversi.
Beralih ke buku lain, pelakon yang bakal memecahkan hilai panggung menerusi filem Cun! ini ada khabar bahagia yang ingin ditahan-tahan.
Masih berbekam di kerongkong, namun dia tidak mampu menepis terjahan hukum jodoh yang tersurat ke atasnya, September ini.
Seiring usianya yang menjengah 29 tahun pada 16 Ogos nanti, wanita berdarah campuran Punjabi daripada bapanya dan Thailand daripada ibunya ini sah sudah ada calon suami.
Masih teragak-agak berkongsi bahagia, mulanya dia sekadar memberikan sebuah bayangan.
“Ya, sebab itulah malam ini saya mahu balik Pulau Pinang, ada urusan penting,” kata Faezah.
Tarikh 3 Disember 2011 dipilih sebagai hari majlis resepsi tepian pantai di Pulau Pinang, tiga bulan selepas majlis akad nikah yang akan dijadualkan di Masjid Pulau Pinang, September nanti. Perkara itu diputuskan selepas majlis merisik awal Mac baru-baru ini.
Menerjah lagi sedikit gambaran, mata bundarnya bersinar saat siapakah gerangan lelaki yang bakal bertuan di jiwa dipinta jawapan.
Jelas, anak sulung daripada tiga beradik itu, calon suaminya bukanlah orang seni, langsung tiada kaitan dengan bidang popular.
Kalau boleh, mahu disimpannya kemas-kemas dan bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS) Bhd. itu masih dengan prinsip yang dipegang.
“Siapa calon suami saya, belum masanya untuk diberitahu, saya tak nak cerita buat masa ini,” katanya menafikan lelaki itu ada kaitan dengan nama yang pernah dikaitkan dengannya.
Dalam soal jodoh juga, dia yang sedang menarik perhatian dengan drama bersiri Asmara 2 ini tidak menetapkan sebarang kriteria. Tidak mahu terlajak kata, memilih-milih si bujang idaman, menolak duda atau suami orang. Kerja kahwin dan jodoh itu kerja Tuhan, bukan juga agenda untuk menutup sebarang kontroversi, itu tegasnya.
“Soal kahwin tiada kena-mengena dengan kontroversi. Saya tak akan kahwin sebab gosip tetapi saya kahwin sebab sudah sampai seru. Kahwin bukan kerja main-main.
“Saya juga ada sasaran, mahu kahwin sebelum usia 30 tahun. Saya dah nekad dan sudah mula terfikirkan masa depan. Antara saya dan bakal suami, kami sebenarnya sudah lama kenal, tapi masa itu saya sudah bergelar pelakon,” jelas Faezah, si pemain watak Tom, pembantu peribadi kepada Luna, lakonan Maya Karin dalam filem romantis komedi Cun!
Cun! basuh trauma
Sebelum cerita filem membumbui pembaca, Faezah digamit pengalaman 2007. Ketika itu dia muncul buat kali pertama menerusi filem Otai.
“Saya masih ingat, ‘Faezah Elai perosak filem’ itu habuan yang saya terima selepas berlakon filem Otai. Selepas itu, saya fobia untuk berlakon filem. Saya kena hentam dengan teruk sampai tawaran drama pun saya tak sanggup terima. Lebih enam bulan saya berdiam, rasa tak layak untuk berlakon tapi cuma buat kerja pengacaraan sahaja. Sampailah saya berlakon semula untuk drama Cinta dan Keadilan.
“Akhirnya saya terima tawaran filem Cun! sebagai filem kedua saya. Syukurlah, respons yang saya terima jauh berganda-ganda lebih baik daripada lakonan saya sebelum ini,” luahnya sambil membandingkan kepuasan berlakon antara filem dan drama.
Bagi Faezah, drama bersiri lebih banyak membuka ruang penghayatan. Cun! bakal ditayangkan kepada umum menjelang 31 Mac nanti.
Sekali lagi terperosok ke dunia tomboi seperti kebanyakan lakonan terdahulu, bagaimanapun karakter Tom sedikit sebanyak satu bonus buatnya.
“Watak Tom sebagai budak perempuan dari Kedah, saya sendiri berasal dari Pulau Pinang, jadi dari segi dialek, langsung tiada masalah walaupun loghat Pulau Pinang dan Kedah ada bezanya.
“Pasal karakter tomboi, juga bukan satu masalah kepada saya. Biarlah ada orang nak kata stereotaip, saya tetap percaya bahawa seseorang pelakon harus ada keistimewaan. Jika karakter tomboy dikatakan sesuai untuk saya, saya terima dengan hati terbuka,” katanya yang pernah menarik perhatian dengan watak tomboi menerusi drama Sutera Maya.
Sambil jarinya ralit mengulit nasi kandar sebagai hidangan tengah hari, Faezah yang bertubuh langsing itu penulis perhatikan. Wanita berkulit cerah itu sangat sederhana tapi tutur yang diluahkan adakalanya sedikit tidak bertapis.
“Saya cuma bercakap apa yang dirasa, sebab itu ada yang kata saya jenis cakap lepas. Tapi saya pun kena faham budaya, kadang-kadang ia boleh disalah tafsir, jadi saya kena lebih berhati-hati,” bicaranya ditutup sambil menghabiskan menu yang sememangnya menepati cita rasa keutaraannya itu.
0 ulasan:
Catat Ulasan