Aktiviti memasak sering kali dikaitkan sebagai tugas hakiki seorang wanita sehingga ada mengatakan, seorang perempuan itu wajib pandai memasak sebelum meneruskan niat untuk berkahwin.

Bagaimanapun, jika anda sedar, kebanyakan rancangan masakan tempatan atau luar negara sering menampilkan tukang masak atau chef yang terdiri daripada lelaki.

Lihat saja gaya bersahaja Chef Wan yang leka memasak sambil berceloteh atau aksi Jamie Oliver dan Martin Yan di saluran Asian Food Channel (AFC).

Mereka tampak begitu yakin, malah cukup mahir di dapur sehingga mampu menarik perhatian wanita dek kerana penampilan yang tampak seksi atau mungkin juga macho.

Mungkin itu hanya alasan direka wanita supaya suami atau teman lelaki mereka rajin masuk dapur atau mungkin itu kebenaran yang wajar menjadi pendorong bagi lelaki jika ingin memikat perempuan.

Menurut kajian Teori Gastrosexuals, yang mana Gastrosexuals merujuk kepada kelompok lelaki yang menjadikan memasak sebagai hobi, mengaitkan populariti chef selebriti lelaki seperti Gordon Ramsay dan Jamie Oliver adalah kerana aktiviti itu yang memperlihatkan diri mereka kacak.
Sementara itu, kajian oleh syarikat makanan, PurAsia menunjukkan 48 peratus responden percaya individu pandai memasak mampu menarik minat orang terhadapnya, manakala 23 peratus lelaki berusia 18 tahun hingga 34 tahun memasak kerana ingin memikat perempuan.

Itu mungkin pendapat masyarakat luar, apa pandangan wanita tempatan? RATU meninjau...

“Memang seksi. Saya sangat suka lelaki yang pandai memasak. Pada pandangan saya, tugas memasak secara tradisinya dipegang oleh kaum wanita tapi sekarang ini lelaki juga tidak kurang hebat di dapur mungkin kerana itu ramai lelaki menyandang gelaran chef di hotel besar seluruh dunia.

“Daya kreativiti, imaginasi dan bakat semula jadi dimiliki lelaki mahir memasak membuatkan kelompok itu terlihat istimewa pada pandangan wanita.” - Pemilik agensi model, Ida Shafinaz Nazri, 29.

“Lelaki yang pandai memasak adalah satu bonus dalam sesebuah rumah tangga dan pasti saya setuju jika mereka dilabel seksi atau mungkin juga macho. Contoh itu, ada pada bapa mentua dan suami yang sememangnya rajin ke dapur. Untungnya tentulah isteri kerana sekurang-kurangnya mereka boleh bantu meringankan tanggungjawab isteri.

“Bagaimanapun, sebagai seorang isteri, kelebihan itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mereka mengabaikan tugas memasak.” - Model sambilan dan setiausaha, Norzazarina Omar, 33.

“Memang seksi tapi bukan pada penampilan kerana saya percaya, seksi itu juga sesuatu yang subjektif. Pada saya, lelaki pandai memasak dan rajin ke dapur ini punya daya penarik serta kelebihan tersendiri berbanding lelaki lain. Ia menampakkan dia sebagai seorang yang romantis dan berjiwa lembut. Sikap suami yang rajin masuk dapur juga sebenarnya boleh membuatkan isteri rasa istimewa dan besar hati.” - Hazleen Mohd Ghazali, 29.

“Memang seksi dan kacak sangat sebab suami saya bila memasak tak pakai baju (dalam nada bergurau). Saya suka apabila suami masuk ke dapur kerana selalunya sajian dihasilkan suami memang menjadi dan sedap.” - Kakitangan kerajaan, Marina Mohamad, 29.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top