Peserta solo Abd. Rahman Kasim atau Man muncul sebagai juara Raja Lawak Astro musim kelima dalam pertandingan akhir program itu yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini malam ini.

Man, 33, yang berasal dari Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara setelah memperoleh undian sebanyak 45 peratus.
Dengan kemenangan itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, barangan elektrik jenama Arezzo, LG, Elba dan Pensonic serta trofi.
Sementara itu, Kumpulan R2 yang dianggotai dua beradik, Rahim Mat Ali (Aim), 40, dan Ridhzuan Mat Ali (Lopez), 21, menduduki tempat kedua.
Menerusi kemenangan itu, R2 yang berasal dari Klang, Selangor membawa pulang wang tunai RM50,000, barangan elektrik jenama Arezzo, LG dan Pensonic serta trofi sumbangan Astro.
Tempat ketiga pula menjadi milik Kumpulan Balas yang dianggotai Fandi Muhammad (Fendi), 25, dan Mohammad Shukri Mohamed Sahar (Shuk), 24.
Mereka membawa pulang wang tunai RM30,000, barangan elektrik jenama Arezzo dan Pensonic serta trofi.
Persembahan yang diadili oleh 100 peratus undian penonton itu turut mendapat komen daripada tiga pengkritik tetap iaitu Afdlin Shauki, Sathiya dan David Teo.
Hadiah disampaikan pelawak legenda, Mat Sentul atau Abdul Rashit Yahya dan Pengurus Saluran Astro Prima Warna, Nizam Sani.
0 ulasan:
Catat Ulasan