TURUN padang mendekati pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) antara strategi promosi filem Cun! kerana golongan muda inilah yang bakal memenuhi panggung dan mereka juga perlu dididik untuk menghargai filem Melayu daripada mengagung�kan filem asing.

Justeru, Selasa lalu, dua pelakon utama filem itu, Maya Karin dan Remy Ishak memenuhi undangan pelajar Kursus Strategi Perhubungan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, untuk sesi temu ramah di stesen radio Putra FM. Filem Cun! terbitan Tayangan Unggul dan arahan Osman Ali, akan ditayangkan di pawagam pada 31 Mac ini.

Menurut Maya, dia rasa puas dapat berjumpa dengan pelajar IPT itu kerana merekalah generasi yang akan menggerakkan industri seni pada masa depan. Mereka perlu diserapkan semangat mencintai produk tempatan termasuk filem yang dihasilkan penggiat seni tanah air.

"Kita perlu menarik minat mereka untuk mencintai filem Melayu dan dengan adanya promosi seperti ini, saya juga dapat mendekati serta bermesra dengan mereka. Hubungan akrab antara peminat dan artis amat penting kerana merekalah yang menentukan sejauh mana kedudukan kita dalam industri.


"Namun, ada juga pelakon keberatan untuk terbabit dalam jadual promosi yang ditetapkan syarikat produksi. Jangan ingat selepas penggambaran sesebuah filem itu siap, tugas pelakon sudah selesai. Mereka bertanggungjawab turun ke lokasi promosi kerana ia sebahagian daripada tugas pelakon.


"Sejak dulu saya tidak kisah dibawa ke mana saja untuk mempromosikan filem lakonan saya dan tidak pernah memandang kerja promosi ini perkara remeh temeh. Seperti hari ini (Selasa), saya sangat berbesar hati apabila dijemput untuk ditemu ramah di stesen radio Putra FM.

"Saya terkejut kerana sambutan yang diberikan sangat hebat dan terasa kehadiran saya begitu dihargai. Saya harap Cun! dapat ditayangkan khusus untuk pelajar UPM dan dapat lagi saya berjumpa dengan mereka," katanya.

Kata Maya, selepas sembilan tahun berlakon, dia sangat teringin berlakon filem romantik komedi. Lantaran itu, dia sa�ngat gembira apabila pengarah filem itu, Osman Ali menyerahkan watak Luna Latisya kepadanya.

"Selama ini saya selalu diberikan watak berat yang sarat dengan permainan emosi. Tetapi watak Luna yang 'happy go lucky' rupanya lagi susah untuk dibawa. Semakin watak itu nampak ringkas, lagi sukar kerana gerak laku, tutur kata dan ketawa kita mesti nampak 'natural' atau bukan dibuat-buat.

"Mujur saya dan Remy ada kesesuaian, maka watak Luna serta Atan itu dapat 'disatukan' dengan baik sekali. Seronok berlakon filem ini apatah lagi lokasinya jauh di utara tanah air. Ia mengundang rasa yang menggembirakan sekali dengan sawah ladang terbentang luas depan mata," katanya yang akan berlakon dalam filem Lagenda Budak Setan 2.

Remy yang sibuk di lokasi filem terbarunya Aku, Kau Dan Dia, arahan Pierre Andre, baru balik rumah jam 6 pagi. Dalam keadaan yang masih penat dan mengantuk, dia sanggup datang ke sesi temu ramah itu.

"Inilah komitmen saya sebagai artis. Kedudukan saya semakin selesa dalam industri ini pun kerana sokongan peminat. Maka apa saja undangan yang datang selagi tidak bertindih dengan jadual kerja lain, saya akan datang.

"Kali pertama saya datang mempromosikan filem di IPT dan sambutannya sangat meng�galakkan. Mereka memberikan reaksi positif terhadap filem Cun!.

"Dengan adanya pertemuan seperti ini juga kita boleh bertanyakan pendapat mereka, filem apa yang mereka suka tengok kerana merekalah yang akan datang menonton di panggung. Perlu ada hubungan dua hala dan bukan buat filem syok sendiri," katanya.

Dalam Cun!, Remy diberi watak budak kampung bernama Atan yang sering lepas laku. Biarpun dia menjadi rebutan pengarah drama dan filem, pemuda itu masih merendah diri.

"Saya tidak sebagus mana dan banyak lagi kena belajar. Tidak pernah menemui titik kepuasan dalam berkarya. Setiap masa saya ingin melakukan yang lebih baik.

"Dalam perjalanan ini juga, saya akui ada melakukan kesilapan. Sebagai manusia, kita tidak terus pandai dalam semua perkara.

"Seperti bayi yang baru lahir, dia tidak terus berlari. Sebalik�nya dia akan belajar meniarap dulu, kemudian barulah dia merangkak, duduk, berdiri dan barulah berlari.

"Selepas mengharungi segalanya barulah kita mengenali siapa diri kita, apa yang kita mahukan dalam hidup ini dan belajar pula untuk kenal hati budi orang lain," katanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top