Seperkara lagi yang amat ditekankan oleh bapa Mia Sara Nasuha iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh atau Ridz adalah tentang skrip dan watak yang ditawarkan kepada anaknya itu.

Memang benar katanya, bagi pelakon kanak-kanak barangkali agak sukar untuk menjadi begitu memilih. Tetapi baginya, tidak mustahil untuk seorang kanak-kanak memberikan persembahan terbaik dalam setiap lakonannya.

“Pelakon kanak-kanak bukan tempelan. Mereka juga adalah pelakon yang sebenar. Kenaifan mereka selalunya akan membuatkan mereka jujur dalam memberikan lakonan yang mampu meninggalkan impak besar.

“Seboleh-bolehnya, saya mahu memberikan sumbangan bukan hanya untuk dirinya dan masyarakat tetapi juga mengharumkan negaranya seperti mana kejayaan yang pernah dilakar oleh Allahyarham Bat Latiff dan Aziz M. Osman di luar negara.

“Setidak-tidaknya masyarakat luar tahu dan dapat melihat negara kita sebenarnya mempunyai pelakon kanak-kanak yang berbakat besar.

“Saya tidak hanya bercakap untuk Mia sahaja, tetapi juga mewakili mana-mana pelakon cilik yang lain,” ujar Ridz.

Apa yang dikatakan oleh Ridz itu memang ada kebenarannya. Walaupun masih muda dan barangkali mentah dalam bidang lakonan, bakat pelakon kanak-kanak tidak seharusnya dipandang enteng.

Sejarah juga sudah membuktikan pelakon kanak-kanak tempatan juga memiliki bakat luar biasa sehingga diiktiraf sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Asia Pasifik.

Bermula dengan kejayaan Wan Hussain pada tahun 1954 yang memenangi anugerah itu menerusi filem Mega Mendung dan kemudiannya diikuti dengan Tony Castello yang telah memberikan persembahan mantap dalam filem Anakku Sazali pada 1957.

Kemudian, muncul pula Bat Latif dan siapa yang dapat melupakan lakonan bersahaja beliau dalam filem Nujum Pak Belalang sehingga mampu diiktiraf di Festival Filem Asia Pasifik di Jepun pada tahun 1960.

Empat tahun kemudian, Bat Latif mengulangi kejayaan serupa menerusi filem Gerhana arahan Datuk Jamil Sulong pada tahun 1964.

Hanya 12 tahun selepas itu, Malaysia sekali lagi diangkat di mata dunia menerusi lakonan Aziz M. Osman dalam filem Sayang Anakku Sayang dan sehingga kini, tiada lagi pelakon kanak-kanak yang menerima pengiktirafan tertinggi itu.

Seniman-seniman terdahulu telah menjadi perintis serta membuka peluang kepada anak-anak seni cilik yang lain untuk menceburi bidang seni sehingga ada yang dapat bertahan sehingga ke hari ini.

Bakat mereka juga dipandang tinggi oleh Festival Filem Malaysia (FFM) yang turut memperkenalkan kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik bermula pada FFM2 (1981) dengan menyaksikan Norasnizah Zaidi menjadi pemenang pertama menerusi filem Langit Tidak Selalu Cerah.

Wajar dijadikan contoh

Pemenang-pemenang seterusnya menjadi milik Zul Zamrin Huri yang memenanginya untuk filem Kami pada tahu 1982, Dino M. Borhan (Di Ambang Kasih - 1984), Mohd. Hazliludin (Roda-Roda - 1986), Fazrideen Fadzil (Rahsia - 1987), Norshuhaiba (Oh Fatimah - 1989) dan Noramarina Zulkifli (Fenomena - 1991).

Seterusnya, Siti Hani Nurzara yang merupakan anak kepada produser dan pengarah wanita terkenal, Julie Dahlan memenanginya pada tahun 1992 bagi filem Harry Boy, Ahmad Danial Hazly (Berlari Ke Langit - 2004), Shawn Lee (Ah Lok Kafé - 2005), Syafie Naswip (Mukhsin - 2007), Erynne Erryna (Congkak - 2008), Hadziq (Syurga Cinta - 2009) dan Fimie Don (Magika - 2010).

Selain daripada barisan pemenang anugerah ini, ada juga beberapa orang pelakon yang memulakan karier mereka sejak kecil masih lagi bertahan sehingga hari ini.

Pelakon kecil molek, Nor Azemi Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Tam merupakan antara pelakon kanak-kanak yang masih aktif meneruskan legasi seninya sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan tiga adik-beradik terkenal, Nasrizal, Nasreen dan Ngasriah Ngasri atau lebih dikenali dengan panggilan Bell, Darling dan Anne yang sehingga kini terus menjadi pilihan penerbit untuk membintangi drama-drama tempatan.

Walaupun wajah mereka jarang ditonton di layar lebar, tetapi, mereka tetap laris sebagai pelakon drama yang telah menyerlahkan nama mereka dari kecil sehinggalah ke hari ini.

Bell misalnya, pernah membintangi filem Kaki Bakar arahan U-Wei Shaari yang telah mengharumkan nama negara di peringkat dunia sekitar pertengahan tahun 90-an.

Begitu juga dengan dua adiknya, Darling dan Anne yang memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 1997 dan 1993 masing-masing bagi drama Selamat Hari Jadi Su 3 dan Anak Angkat.

Darling bukan hanya dikenali sebagai pelakon tetapi telah mengorak langkah setapak langkah lagi dalam karier seninya apabila sudah bergelar penerbit drama menerusi syarikat Nasridz Pictures Sdn. Bhd.

Kejayaan mereka yang memulakan karier pada usia yang cukup muda wajar dijadikan contoh kepada kanak-kanak lain yang mahu menjadikan bidang seni sebagai sumber rezeki.

Tetapi, mereka juga harus sedar dan ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk memantau serta membimbing mereka agar tidak sesekali mengabaikan pelajaran.

Bisnes hiburan tempatan tidak selalunya menjanjikan kemewahan dan populariti yang berpanjangan kerana industri seni bukan seperti di Hollywood yang dapat menampung kehidupan untuk jangka masa panjang hanya dengan sekali berlakon sahaja.


Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top