TV3 telah mengatur strategi terbaik bagi memastikan Mentor 5 mampu meninggalkan kesan luar biasa.

Antaranya beberapa pembaharuan diperkenalkan untuk memastikan kandungan program itu sentiasa segar dan tidak berada di takuk lama.

Penerbit Eksekutif dan Pengarah Mentor 5, Muhamad Sufian Isa juga mengakui pihaknya tertekan untuk menerbitkan program popular itu tahun ini.


"Mentor 4 telah meletakkan satu standard baru dalam sejarah penganjuran Mentor.

"Sudah pasti ia membuatkan kami pening kepala untuk memikirkan strategi serta pembaharuan untuk musim kelima agar ia tidak kelihatan klise.

"Namun, apabila melihat sambutan luar biasa yang diberikan oleh penonton untuk dua episod awal Mentor 5, ia sedikit sebanyak memberikan keyakinan untuk kami bahawa musim ini juga berupaya mencipta sejarahnya tersendiri," ujarnya dalam nada yang cukup optimis.

Muhamad Sufian berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan enam protege Mentor 5 yang diadakan di Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menyambung perbualan, Muhamad Sufian memberitahu dia cukup sedar dengan harapan dan jangkaan daripada pengikut setia rancangan itu yang sentiasa mahukan sesuatu yang baru.

Atas alasan itu kata Muhamad Sufian, Mentor 5 telah memperkenalkan juri tetap yang akan memberikan komen pada setiap konsert mingguan bagi memastikan prestasi setiap peserta berada dalam tahap kualiti yang membanggakan.

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang seni, pemilihan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap Mentor 5 memang dilihat cukup bertepatan sekali.

Malah, Ramli MS juga diyakini mampu melunaskan tanggungjawabnya dengan baik demi kebaikan peserta mahupun program itu sendiri.

"Siapa yang mampu menidakkan kemampuan dan kredibiliti Ramli MS yang memiliki pengalaman luas dalam bidang seni ini. Percaturan kami memang tidak silap apabila memilihnya.

"Apabila kami merancang untuk memperkenalkan juri tetap bagi musim kelima ini, memang nama Ramli MS berada di tangga pertama dalam senarai kami," kata Muhamad Sufian lagi.

Dalam majlis itu juga, Mentor 5 turut memperkenalkan tiga individu yang akan menggalas tanggungjawab sebagai penasihat dalam bidang masing-masing.

Mereka yang terpilih ialah Mohd. Faizal Maas atau Ajai selaku penasihat vokal, Adam (penasihat persembahan) Faizal Uzir atau Lok U (penasihat muzik).

Suntikan

Daripada tiga yang terpilih itu, pemilihan Adam atau nama sebenarnya, Mohd. Aizam Mat Saman itu telah menimbulkan sedikit tanda tanya di kalangan mereka yang hadir pada majlis tersebut.

Jika hendak diukur pembabitan pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim kedua itu dalam bidang seni, boleh dikatakan Adam masih lagi mentah dan hijau.

Lalu, persoalan yang timbul, apakah kriteria yang ada pada Adam sehingga dia layak untuk menjadi penasihat persembahan sedangkan ramai lagi pakar tari dan koreografer yang lebih senior daripada Adam.

"Kami mempunyai alasan tersendiri mengapa kami memilih Adam sebagai penasihat persembahan bagi musim terbaru ini. Memang benar dia masih lagi baru dalam bidang seni, tetapi kami yakin dengan kemampuannya.

"Seiring dengan matlamat kami yang inginkan pembaharuan untuk musim ini, atas alasan itulah kami memilih Adam untuk sama-sama menyertai keluarga Mentor 5.

"Dengan pemilihan Adam, kami juga mahu menyuntik elemen baru kali ini terutama daripada aspek persembahan," ujarnya memberikan justifikasi.

Untuk musim pertama dan kedua, Shazlan terpilih mengisi portfolio itu manakala dua musim selepas itu, menyaksikan Ali pula terpilih sebagai penasihat persembahan.

Kontroversi

Jika disingkap kembali kontroversi yang pernah tercetus pada Mentor 4, Muhamad Sufian turut ditebak tentang kemungkinan perkara yang serupa akan berulang kembali dalam musim terbaru ini.

Dengan penuh tenang dia memberitahu, seboleh-bolehnya pihaknya mahu mengelakkan kontroversi untuk terus bertandang dalam musim kelima ini.

Namun, apabila memperkatakan tentang program realiti, ia adalah sesuatu yang sukar untuk dielakkan secara total kerana kadang-kala ia akan hadir tanpa disedari.

"Kami sudah berbincang dengan setiap mentor serta melalui saringan yang cukup ketat dalam memilih protege yang benar-benar layak untuk bertanding dalam Mentor 5.

"Malah, kami percaya dengan kekuatan barisan mentor dan terutama sekali bakat enam protege yang terpilih tahun ini, ia dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami," katanya.

Menyentuh tentang pemilihan protege pula, ternyata kesemua enam mentor telah membuat pilihan yang tepat apabila keenam-enam protege mereka semuanya memiliki bakat yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Semuanya dapat disaksikan pada majlis tersebut apabila enam protege itu diberi peluang membuat persembahan sebagai tanda pengenalan mereka kepada khalayak.

Mereka yang terpilih tahun ini ialah Ratnah Awal atau Ratnah yang merupakan protege Afdlin Shauki, Nurshiha Mohd. Zikir (Shiha - Datuk Sharifah Aini) dan Aiman Hakin Ridza Abdoh (Aiman - Rahim Maarof).

Tiga yang lain termasuklah protege Erra Fazira iaitu Salmah A. Asis atau nama panggilannya, Salma, Muhammad Faris Mohamed Razali (Ayish - Noh Hujan) dan Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor (Iqa - Edry Abdul Halim).

Berdasarkan kepada persembahan pada petang itu, Salma telah menarik perhatian ramai dan mendapat tepukan gemuruh apabila mempersembahkan lagu Listen nyanyian asal Beyonce Knowles dengan vokal yang cukup mantap.

Begitu juga dengan Ratnah, Shiha dan Aiman yang juga memiliki keistimewaan dan karakter masing-masing dalam mewarnakan persembahan mereka.

Namun, semuanya masih awal untuk memperkatakan tentang potensi masing-masing dan semuanya bergantung kepada strategi serta kemampuan mentor dan protege untuk meningkatkan prestasi persembahan mereka.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top