Ruang legar sebuah pusat beli-belah menjadi gelanggang ujian pertama bagi enam protege yang dipilih bersaing dalam Mentor musim ke-lima menonjolkan X-Factor masing-masing.

Jika sesi perkenalan musim terdahulu program realiti melahirkan bintang itu dilakukan lebih tertutup, kali ini pengunjung pusat beli-belah diberi peluang menjadi juri tidak rasmi pertandingan realiti itu.

Membariskan `guru' dikalangan nama besar selain orang baru dalam industri hiburan seperti Datuk Sharifah Aini, Afdlin Shauki, Rahim Maarof, Erra Fazira, Edry Abdul Halim dan Noh Hujan, tentunya ramai tidak sabar menilai bakat pelapis pilihan mentor.

Protege pilihan musim ini ialah Salma yang di bawah bimbingan Erra Fazira, Shiha (Datuk Sharifah Aini), Ayish (Noh Hujan), Ratnah (Afdlin Shauki), Aiman (Rahim Maarof) dan Iqa (Edry Abd Halim).

Paling menonjol adalah anak didik Erra yang juga peserta dari Tawau Sabah, Salma apabila membuatkan seluruh arena bergema dengan tepukan gemuruh sebaik selesai menyampaikan lagu dendangan Beyonce Knowles, Listen.

Protege Sharifah Aini yang pernah sampai ke tahap Konsert Prelude Akademi Fantasia empat (AF4), Shiha juga menonjolkan kemampuan jitu menerusi lagu nyanyian Adibah Noor, Terlalu Istimewa.

Begitupun, penampilan empat lagi pesaing tidak boleh dipertikaikan apabila masing-masing berusaha memberikan yang terbaik sekali gus petanda Mentor kali ini juga bakal menemui matlamatnya menggilap bintang baru tanpa dibayangi imej mana-mana penyanyi.

Penerbit Eksekutifnya, Muhamad Sufian Isa berkata, edisi kali ini mempunyai sedikit pembaharuan apabila meletakkan pengarah muzik berpengalaman, Datuk Ramli MS sebagai juri tetap selain memilih Adam menjadi jurulatih tarian.

Musim kali ini masih mengekalkan Ally Iskandar sebagai pengacara Jurnal Mentor dan Jurnal Protege, manakala Nas Ahmad pengacara bersama sewaktu konsert mingguan mencungkil kisah di belakang pentas, manakala Ajai penasihat vokal. Format pemarkahan terbahagi kepada tiga iaitu 50 peratus juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus juri awam.

Juara Mentor bakal membawa pulang RM100,000 dan sebuah kereta. Konsert pengenalan akan disiarkan secara langsung di TV3, Ahad ini, jam 9 malam.

Sementara itu, Sharifah Aini berkata, beliau mahu menggilap bakat Shiha menjadi penyanyi dengan identiti tersendiri.

"Kita memerlukan penyanyi baru yang segar. Malah dia boleh membawakan aneka genre lagu," katanya yang akan dibantu penyanyi pengiringnya, Eja dan seorang juru tari untuk melatih Shiha.

Bagi Rahim Maarof, ketelitian mencari protege kerana mahu mencari bakat yang boleh dilentur bersandarkan pakej yang dimiliki.

"Sebaik mendengar Aiman menyanyi, saya sudah merasakan dia calon paling. Cuma dia perlu lebih berani jika mahu pergi jauh," katanya.

Erra mengakui terpesona dengan vokal lantang Salma namun tetap memberi perhatian terhadap imej, gaya serta komunikasi di pentas.

"Salma kerap memenangi pertandingan nyanyian di Tawau. Pengalaman ini banyak membantunya menyerlah di pentas tetapi kami akan perbaiki segala kelemahan sedikit demi sedikit tanpa memberikannya tekanan," katanya.

Afdlin yang menjadi mentor kepada penari yang pernah terbabit dalam Puteri Gunung Ledang The Muzikal dan Cuci Cuci The Muzikal mengakui gadis itu berbakat besar malah berbanding mentor lain, dia lebih memberi penekanan terhadap motivasi.

"Selain vokal, faktor keyakinan diri juga jadi teras pengajaran saya. Saya mahu dia melalui perjalanan indah sepanjang program ini," katanya.

Mentor Iqa, Edry, berkata bimbingan tidak hanya di dalam kelas sebaliknya Iqa akan didedahkan dengan dunia seni termasuk menghadiri tayangan perdana, pelancaran produk dan sebagainya.

"Jangan harapkan keajaiban kerana dalam tempoh singkat kita tidak akan mampu mencipta bintang. Biarlah bimbingan dilakukan secara berperingkat. Protege mudah menerima dan tidak tertekan," katanya mengenai gadis yang punya band sendiri itu.

INFO

Mentor: Erra Fazira

Protege: Salmah A Asis, 21 (Salma)

Asal: Tawau, Sabah

Pekerjaan: Kerani

Mentor: Noh Hujan

Protege: Muhammad Faris Mohamed Razali, 21 (Ayish)

Asal: Shah Alam, Selangor

Pekerjaan: Tiada

Mentor: Edry Abd Halim

Protege: Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor, 25 (Iqa)

Asal: Ampang, Selangor

Pekerjaan: Eksekutif Insurans

Mentor: Afdlin Shauki

Protege: Ratnah Awal, 26 (Ratna)

Asal: Ampang, Selangor

Pekerjaan: Penari Sambilan

Mentor: Datuk Sharifah Aini

Protege: Nurshiha Binti Mohd Zikir, 24 (Shiha)

Asal: Kuala Lumpur

Pekerjaan: Sendiri

Mentor: Rahim Maarof

Protege: Aiman Hakin Bin Ridza Abdoh, 22 (Aiman)

Asal: Shah Alam, Selangor

Pekerjaan: Pelajar

Oleh Hanisah Selamat

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top