Tak mudah untuk meneruskan persaingan dalam pertandingan seperti Raja Lawak musim kelima (RL5) yang memerlukan setiap pesertanya tampil dengan pelbagai idea dan gaya persembahan yang kelakar.

Bagaimanapun, lucu sahaja tidak memadai kerana tanpa undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada para penonton, seseorang peserta RL5 akan tersingkir juga daripada pertandingan anjuran Astro Prima (saluran 105, Astro) itu.

Senario itulah yang dilalui oleh Epy, peserta kelapan yang disingkirkan daripada RL5 yang menentukan pemenangnya 100 peratus berdasarkan undian SMS biarpun jenakanya sering menggeletek hati para penonton.

Menurut Epy atau Muhammad Hanafi Rusmadi, 18, dia berasa puas meskipun disingkirkan daripada RL5 selepas mendapati para penonton tetap ketawa menyaksikan persembahannya pada malam penyingkirannya itu.

"Daripada segi undian sebelum ini pun, saya sudah menjangka akan tersingkir daripada RL5 kerana mendapat undian terendah. Cuma kawan-kawan saya pesan kalau saya terkeluar sekalipun biarlah orang gelak dengan lawak saya.

"Malam ini pun, saya dapati ramai penonton yang ketawa tetapi bunyinya macam cengkerik apabila lawak saya kurang menjadi. Apapun saya puas hati walaupun bahan-bahan lawak saya tidak jelas tetapi ada juga yang gelak.

"Pada masa sama, saya tidak nafikan tema persembahan malam ini iaitu Ada Aku Kisah dan Komedi Senyap agak bebas persembahannya tetapi saya kurang bahan pengisian menyebabkan lawak saya tersasar daripada tajuk," ujarnya.

Epy mengulas perkara itu selepas berlangsungnya Gelanggang RL5 yang diadakan di Studio Finas, Hulu, Klang, Selangor baru-baru ini dengan mendapat undian SMS terendah sebanyak 13.8 peratus berbanding empat peserta lain.

Jelas peserta berasal dari Kedah dan meminati Stephen Chow ini, dia tidak menafikan berasa kecewa kerana tersingkir daripada pertandingan yang mencungkil bakat-bakat pelawak baru itu lantaran kurang menerima undian SMS.

"Tinggal selangkah dua sahaja lagi saya akan ke final RL5. Ada dua minggu lagi sebelum final. Saya rasa kecewa dan rugi. Bak kata orang, saya sudah hampir sampai ke puncak bukit tetapi nasib tidak baik dan saya tergelincir jatuh.

"Semuanya berpunca daripada SMS. Undian pula datangnya daripada satu Malaysia termasuklah Brunei. Saya tidak harapkan undian saudara mara atau orang kampung kerana kalau jual tanah sekali pun tidak cukup untuk SMS," katanya.

Biarpun tersingkir daripada RL5, namun Epy juga seperti para peserta lain yang mahu meneruskan nasib dan perjuangannya dalam bidang lawak yang diminatinya sebagai kerjaya pada masa akan datang.

Dengan menjangkakan kumpulan R2 mampu membawa cabaran dan saingan RL5 ke final, Epy berharap akan mendapat tawaran berlakon atau berlawak daripada stesen-stesen televisyen Astro selepas penyingkirannya itu.

"Kalau ada rezeki saya mahu berlakon atau berlawak kerana melalui cara itu saya akan dapat belajar dan menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang yang saya minati itu," jelas peserta RL5 yang paling muda ini lagi.

Berdasarkan undian minggu lalu, kumpulan Balas menerima undian SMS tertinggi sebanyak 40.6 peratus diikuti R2 (16.3 peratus), Man (14.8 peratus) dan Nazmi (14.6 peratus) untuk bersaing pada peringkat separuh akhir Jumaat ini.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pihaknya sudahpun merangka tema dan corak persembahan final RL5 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 18 Mac ini pukul 9 malam.



"Sejak dari awal lagi kami sudah merancang tema lawak yang akan dipersembahkan pada final RL5 nanti. Biarlah ia dirahsiakan terlebih dulu. Apa yang boleh saya katakan temanya tentang sesuatu perkara yang dekat dengan masyarakat.

"Mungkin tiga atau empat finalis akan bersaing pada persembahan akhir itu nanti yang akan disiarkan secara langsung selama 90 minit," ulasnya.

Pada pertandingan yang dikritik oleh pengkritik tetapnya iaitu Afdlin Shauki, Sathiya dan David Teo itu, Epy menjadi peserta RL5 yang kelapan tersingkir selepas Bobo, Kami, TBO, Kopi O, Pukaw, Lucky dan Leman.

Oleh ABD. AZIZ ITAR

1 ulasan:

  1. jom kita undi secara online.. siapa kah pilihan anda??? klik sini, tolong sebarkan ye.. http://maspage.com/m/poll/&action=show_poll_info&id=7

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top