Serangan D’Lloyd
Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
AHMAD JAIS, Bartje, Sam dan S. Atan bergambar bersama barisan penganjur Konsert D’Lloyd Semalam di Malaysia.
MOMENTUM luar biasa yang pernah dicipta kumpulan legenda terkenal Indonesia, D'Lloyd dan penghasilan lebih 100 buah album hit sejak tiga dekad yang lalu adalah lambang bagaimana nama kumpulan tersebut masih meniti di bibir peminat.
Apa yang membanggakan, pencapaian itu bukan diterima di tanah air mereka sendiri. Sebaliknya, ia juga telah 'diimport' ke Malaysia yang secara tradisinya begitu terbuka dalam memberi peluang dan ruang kepada mana-mana seniman yang berbakat dalam industri hiburannya.
Terbaru, pintu peluang itu telah dibuka kepada D'Lloyd menerusi sebuah konsert besar dan istimewanya acara itu bakal berlangsung di pentas berprestij antarabangsa iaitu Istana Budaya.
D'Lloyd yang berdiri ampuh sejak era 70-an dan turut menempa nama di rantau ini terutama Malaysia serta Singapura bakal membawa satu momen indah melalui Konsert D'Lloyd Semalam di Malaysia.
Konsert yang dijangka sarat diisi nostalgia lagu-lagu hit D'Lloyd itu tentu sekali menjadi pengubat sanubari para pencinta alunan muzik versi Indonesia yang sekian lama merinduinya. Kumpulan itu, bakal beraksi di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei ini.
Persembahan gah itu akan menjadi manifestasi perjuangan tanpa henti D'Lloyd selepas lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia muzik sekaligus dianggap sebagai legenda hidup yang menjadi ikon kepada kumpulan lain.
D’Lloyd hari ini dianggotai oleh Sam atau nama penuhnya Shamsuar Hashim, Bartje Van Houten (gitar), Yuhanny Fatmarida Susilo (flut), Chairul Daud (dram), Candra Chasmala (keyboard) dan Uce F. Tekol (gitar bass).
Dua daripada tujuh anggota kumpulan kumpulan tersebut iaitu Sam yang bertindak selaku vokalis utama bersama ketua kumpulan itu, Bartje atau Pak Bartje hadir ke Istana Budaya baru-baru ini untuk menghadiri satu sidang akhbar sempena konsert tersebut.
Sam yang begitu terharu telah menitiskan air mata sebelum menjelaskan tentang perjalanan dan perancangan konsert.
Sam mengakui terharu mengenangkan permintaan luar biasa terhadap lagu-lagu hasil nyanyian kumpulannya yang masih diminati, bukan sahaja yang tua malah generasi muda.
"Persembahan konsert besar di Malaysia ini saya lihat adalah sebagai satu anugerah Tuhan.
"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memilih kami untuk membuat persembahan itu. Terima kasih untuk segala-galanya," tuturnya yang juga mesra disapa dengan nama Bapak Sam.
Ujarnya, konsert yang dijadualkan berlangsung hampir dua setengah jam itu pastinya penuh dengan nostalgia manis dan menjadi kenangan terindah buat yang pernah membesar dengan lagu-lagu tersebut.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Massa Frequency selaku penganjur utama, Faezah Yasmine Mustafa memberitahu, konsert itu dipentaskan di ibu kota atas permintaan peminat tempatan.
Barisan lagu kumpulan yang masih didengari sehingga hari ini itu memiliki kualiti dan standard tersendiri. Maka, ia memang sesuai dipersembahkan di Istana Budaya.
Tambahnya, kira-kira 20 buah lagu bakal dimainkan dalam konsert itu. Antaranya, Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana, Cinta Hampa dan Mengapa Harus Jumpa.
D'Lloyd juga mengundang teman-teman seperjuangan yang tidak asing dalam kalangan peminat tempatan, Datuk Ahmad Jais.
Konsert itu akan dipimpin oleh pengarah muzik tersohor, S. Atan.
Tiket untuk menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM68, RM98, RM128, RM168, RM208, RM258, RM308 dan RM458.
Ia boleh dibeli melalui laman web, www.ticket2u.biz atau hubungi talian bebas 03-41478600. Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web khas www.konsertdlloyd2011.com.
0 ulasan:
Catat Ulasan