BUKTI…Kang menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek.

KUALA LUMPUR: Sembilan lelaki warga Iran dan seorang wanita Thailand yang berselindung di sebalik kehidupan mewah di kondominium yang menjadi pusat pengedaran syabu bernilai RM3.5 juta diberkas, baru-baru ini.

Difahamkan, sindiket yang beroperasi sejak tiga bulan lalu aktif mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu di sekitar Lembah Klang dengan bantuan ejen rakyat tempatan.

Sindiket terbabit juga dipercayai membawa bekalan dadah yang siap diproses dari negara asal mereka melalui pelabuhan, lapangan terbang, perkhidmatan kurier dan kargo dalam negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata hasil maklumat orang awam, pihaknya melakukan intipan ke atas ahli sindiket terbabit yang rata-rata menyewa di kediaman mewah yang dijadikan pusat kegiatan mereka.

"Seorang ahli sindiket itu ditahan ketika memandu keluar dari sebuah kondo mewah di Jalan Tun Razak pada jam 10 malam 20 Mac lalu dan susulan tangkapan itu, kami melakukan beberapa siri tangkapan pada hari sama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, ahli sindiket terbabit berusia antara 18 hingga 39 tahun ditahan di Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Putra Mas.Menurutnya, tiga daripada mereka menggunakan visa pelajar manakala selebihnya pelancong.

"Taktik mereka mudah dengan mereka akan menyewa di kediaman mewah yang dijadikan pusat kegiatan mereka dan melantik warga tempatan sebagai ejen pengedaran."Bekalan syabu berkualiti tinggi pula dibawa dari negara asal untuk dipasarkan di pasaran tempatan dan kadang kala mereka memasarkan dadah itu ke negara lain untuk mendapat pulangan lumayan," katanya.

Katanya, syabu seberat 11.5 kilogram (kg) yang bernilai RM3.5 juta di pasaran itu dirampas bersama sebuah Perodua Myvi, Proton Gen.2, Hyundai Elantra dan wang tunai berjumlah RM25,000 termasuk mata wang Riyal.

Kang berkata, 10 suspek itu direman tujuh hari hingga Ahad ini mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan edar dadah yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Kami juga menjejaki individu lain termasuk ejen tempatan yang terbabit sindiket itu," katanya.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top