Semua prosedur pengiklanan pelancongan untuk tahun 2011 hingga 2013 dibuat secara telus menggunakan kaedah tender terbuka.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, nilai sebenar tender berkenaan ialah RM127 juta setahun dan bukannya RM300 juta setahun seperti yang dilaporkan dalam media serta laman blog.

Yen Yen juga mengulangi bahawa enam kakitangan Tourism Malaysia yang disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lepas bukan disiasat tetapi hanyalah untuk membantu siasatan isu tender pengiklanan itu.

"Tourism Malaysia dan kementerian telah memberikan kerjasama 100 peratus kepada SPRM, mereka datang ke Ibu Pejabat Tourism Malaysia pada Khamis dan Jumaat lepas untuk mendapatkan laporan dan dokumen tertentu daripada beberapa pegawai,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Mercedes-Benz Malaysia dengan Stylo International sempena Stylo Fashion Grand Prix KL 2011 yang akan diadakan pada 3 hingga 10 April ini.

Yeny Yen berkata, beliau sendiri telah menjemput SPRM melalui Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Datuk Dr Ong Hong Peng untuk menyiasat perkara tersebut setelah menerima pelbagai tuduhan berhubung isu itu di media dan blog.

Jumaat lepas, media melaporkan bahawa SPRM telah membuat serbuan ke atas Ibu Pejabat Tourism Malaysia dan mengambil masa dua jam mendapatkan dokumen dan menyoal siasat pegawai dan kakitangan berhubung isu penyelewengan pemberian tender pengiklanan pelancongan. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top