Tradisional bertukar pop

hi 01.1


IBARAT lumrah sang suria yang terbit dan terbenam saban hari, penyanyi tinggi lampai pemilik nama Syazliana Abdul Karim pernah memeriahkan persada hiburan tempatan sebelum terus lenyap buat seketika ekoran tuntutan peribadi.

Bagaimanapun, kemunculan bintang baru dan kehilangan artis lama sudah pun menjadi asam garam di dunia glamor ini. Bintang baru yang lahir dengan gemerlapan kadangkala gagal mengekalkan sinaran itu selama-lamanya.

Ironinya, mentor-mentor dunia hiburan lama yang bersara seketika pula masih merindui aura glamor dan dipengaruhi dengan kuasa bakat tulen tersendiri, ada yang kembali semula untuk mencuba nasib dengan transformasi yang lebih hebat.

Boleh dikatakan artis kelahiran Selangor ini juga nampaknya gagal melarikan diri daripada fenomena yang menimpa mentor-mentor lain.

Namun, dia yang lebih mesra dengan sapaan Syaz, menampilkan kembali kredibilitinya dengan alasan tersendiri berbunyi logistik dan realistik.

Stigma penyanyi tradisional atau etnik sudah sebati buat Syaz dalam sanubari peminatnya. Dia tidak menyesal sebaliknya berbangga tetapi masih mahu menampilkan kelainan dengan mempertaruhkan personaliti yang lebih versatil.

Mampukah Syaz menguasai platform dunia hiburan yang begitu sesak dengan bakat-bakat baru yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan? Berpegang kepada takrif versatil ataupun serba boleh, Syaz yang lebih dikenali sebagai penyanyi kini ingin bertukar angin menjadi pelakon dan duta produk kecantikan.

Cinta pertama

Artis berusia 24 tahun itu yang ditemui baru-baru ini membuktikan konsep versatil itu dalam penampilan terbarunya dengan menggabungkan kostum moden chic dan dandanan rambut ala kerinting. Ia sesungguhnya menjadi pelengkap kepada transformasi sulung dirinya dalam kembali aktif sebagai artis.

Sepanjang tempoh sesi fotografi bersama Kosmo! itu juga jelas dilihat Syaz begitu arif memperaga penampilan dan personaliti dirinya di hadapan lensa kamera dengan berani dan penuh berkeyakinan dalam usaha mendukung tanggungjawab sebagai penyanyi, pelakon dan duta produk.

Usai sesi fotografi itu, Syaz yang tampil elegan lantas melontarkan alasan-alasan tersendiri dalam menampilkan versatil dirinya kepada dunia hiburan masa kini.

“Syaz, sebenarnya amat merindui dunia hiburan ini. Terutamanya bidang nyanyian yang sentiasa merupakan ‘cinta’ pertama Syaz.

“Sesiapapun sukar melupakan cinta pertama masing-masing. Sebab itu, saya kembali dengan membawa kelainan untuk menguasai apa yang hilang sejak tiga tahun yang lalu,” tuturnya dengan nada selembut sutera.

Bagi peminatnya yang sudah biasa dengan Syaz yang klasik, kemungkinan besar teruja dengan imej kontemporarinya itu dan dia juga pasti umum akan menerima transformasi dirinya itu dengan hati yang lebih terbuka serta menyokong sepenuhnya.

hi 01.2

DALAM usia yang masih muda, Syazliana kini bergelar Pengarah Urusan kepada dua buah syarikat miliknya sendiri.


Pelakon Bollywood

Penyanyi yang mula berjinak dengan karier nyanyian pada usia yang terlalu muda memberitahu dia ingin memberi peluang kepada audiens tempatan untuk melihatnya daripada sudut yang berbeza.

Sehubungan itu, dia mengambil langkah agak mencabar dengan mencuba lagu-lagu genre pop.

Realitinya, Syaz sememangnya gemar kepada lagu dan alunan muzik berunsur pop tetapi rezekinya sebelum ini pula lebih terbuka dengan yang tradisional seperti lagu Gurindam Sang Puteri.

Ujarnya, dia kini berhasrat untuk mempromosikan sebuah single baru berjudul Kau Indah yang dihasilkan dengan gandingan suara bersama Azan Ruffedge.

Single rentak reggae itu difahamkan sebagai satu percubaan berani dirinya untuk menuju ke arah bergelar artis pop.

“Konsep yang disampaikan oleh lagu ini bersifat unik dan membawa ketenangan jiwa. Malah, lirik dalam Kau Indah lebih dekat dengan umum melalui penceritannya. Sesuatu yang berlaku seharian dalam kehidupan umum,” katanya lagi.

Syaz yang memagang jawatan sebagai Pengarah Urusan kedua-dua syarikat miliknya iaitu Seinna Entertainment Sdn. Bhd. dan Seinna Studio Sdn. Bhd. itu, turut meletakkan hasrat yang tinggi untuk menerokai dunia lakonan yang mungkin memberi imej baru buat dirinya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu, begitu tertarik dan terpengaruh dengan lakonan artis-artis Bollywood terutama Kareena Kapoor ingin mengikut jejak langkah mereka untuk mencuba mencanai bakatnya dalam dunia lakonan.

“Memang Syaz tiada pengalaman dalam bidang lakonan. Sebelum ini pernah juga banyak kali menerima tawaran lakonan untuk produksi tempatan.

“Justeru terlalu sibuk dengan pelbagai urusan lain, saya terpaksa menolak tawaran-tawaran yang diterima itu. Tetapi kini saya lebih bersikap matang dan terbuka, maka yakin dapat memberi lakonan yang terbaik,” jelasnya.

hi 01.3

KENANGAN indah Syazliana ketika bertanding dalam final Anugerah Juara Lagu ke-17.


Tambah Syaz, kalau ada rezeki dia juga menanti tawaran daripada pengarah-pengarah filem dari Bollywood.

Matang

Konsep versatil yang dibawakan Syaz bukan sahaja menemui titik noktah di situ sahaja, namun penyanyi berzodiak Leo itu juga mempunyai keinginan untuk menjadi duta produk kecantikan. Tambahnya, dua tahun lepas, dia pernah menerima tawaran untuk menjadi duta produk kecantikan tempatan.

Malangnya, disebabkan jadual kerja yang terlalu padat, Syaz tidak mampu memikul tanggungjawab berkenaan kerana memerlukan motivasi diri dan keyakinan optimum.

“Usia yang semakin bertambah ini telahpun menggandakan kematangan saya. Maka, kini saya mengimpikan tawaran duta produk kecantikan.

“Sebagai seorang yang sentiasa berfikiran positif, berani dan bereksperimen dengan benda-benda baru, saya pasti mampu menjadi contoh duta yang disegani ramai,” ujar Syaz yang melihat peluang menjadi duta kecantikan sebagai batu loncatan yang mampu menggerakkan dirinya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

Penyanyi yang amat menyanjung tinggi akan ketokohan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu memberitahu: “Awal tahun 2011 ini, saya akan lebih fokus kepada segala perancangan dan perjalanan karier hiburan sahaja.”






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top