Watak baru Tiara Jacquelina

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM dan ihsan ENFINITI VISION MEDIA


hi 01.1

TIARA JACQUELINA



SEBETULNYA berita tentang penerbitan teater muzikal ketiga terbitan Datin Seri Tiara Jacquelina yang mahu mengangkat watak agen penyiasat wanita, Nora Zain ke pentas teater memang sudah lama kedengaran.

Malah, perancangan itu juga dikatakan telah bermula sebelum Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) musim ketiga melabuhkan tirainya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, hampir dua tahun lalu.

Sebelum ini pun, apabila ditanya kepada tuan empunya diri, Tiara lebih selesa untuk mendiamkan diri dan hanya mengukir senyuman bagai memberi jawapan untuk bersabar sehingga waktu yang sesuai untuk mengumumkannya.

Namun, segala misteri yang sering menjadi perbualan pihak media akhirnya terbongkar apabila dengan secara rasminya, Tiara mengumumkan pengesahan tentang teater muzikal terbaru terbitannya, The Secret Life of Nora (TSLN), baru-baru ini.

Ujar Tiara, idea untuk menghasilkan TSLN mula ditimbulkan hanya dengan perbualan kosong antara dirinya dengan pereka set terkenal, Raja Maliq dan beberapa individu lain yang terlibat dengan PGLM ketika itu.

“Mendengarkan mereka berbicara dengan idea yang cukup bernas dari jalan cerita sehinggalah ke kostum dan rekaan set untuk merealisasikan kisah seorang agen penyiasat wanita itu, benar-benar membuatkan saya kagum.

“Lalu, saya fikir ia merupakan idea yang menarik untuk dipersembahkan di pentas teater, kisah seorang agen penyiasat wanita sebagai subjek utama untuk teater terbaru saya ini.

“Selepas beberapa siri perbincangan dan berfikir semasak-masaknya, akhirnya kami sepakat untuk menghasilkan TSLN yang kami percaya dapat memberikan santapan hiburan baru kepada masyarakat tempatan,” jelas Tiara dalam nada yang penuh teruja.

Tiara yang juga seorang aktres terkenal berkata demikian dalam sidang akhbar usai pelancaran TSLN di Red Carpet Boulevard, The Encorp Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Presiden Operasi Kumpulan Enfiniti, Izan Satrina Mohd. Sallehuddin; Naib Presiden Kandungan dan Strategi Kumpulan Enfiniti yang juga penulis TSLN, Raymond Miranda dan Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.

Dalam majlis itu juga, Tiara turut mengumumkan dia akan kembali ke pentas teater dengan memegang watak agen penyiasat bernama Nora dalam pementasan yang akan dipentaskan di IB bermula penghujung September ini selama tiga minggu.

TSLN merupakan teater ketiga terbitan Enfiniti Vision Media selepas PGLM selama tiga musim iaitu pada tahun 2006 dan 2009 serta P. Ramlee the Musical (dua musim – 2007 dan 2008).

Jika diselak kembali trek rekod Tiara dalam menerbitkan teater muzikal di negara ini, memang jarang sekali dia mengecewakan penonton. Mengenali Tiara juga, dia bukanlah anak seni yang melakukan sesuatu perkara sambil lewa atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Baginya, apa sahaja yang dilakukan waima perkara kecil sekalipun, dia akan usahakannya dengan bersungguh-sungguh sehingga menampakkan hasilnya.

Sememangnya ujar Tiara, peminat sentiasa meletakkan harapan yang tinggi kepadanya dan Enfiniti untuk melihat produk baru terbitannya dan atas alasan itu, katanya, dia akan melakukan yang terbaik menerusi TSLN.

Dalam hal ini, Tiara mengambil contoh figura unggul teater muzikal dunia, Andrew Lloyd Webber yang sering tampil dengan idea-idea baru untuk memberikan variasi kepada penerbitan teater muzikal sehingga mencatatkan kejayaan yang cukup memberangsangkan.

“Hasil karya beliau (Andrew Lloyd Webber) sentiasa diterima dengan baik dan pernah dipentaskan sehingga bertahun-tahun baik di West End, London mahupun Broadway, New York, Amerika Syarikat.

“Kami di Enfiniti juga mahu begitu iaitu sentiasa melahirkan idea-idea baru agar penonton tidak melihatnya sebagai sesuatu yang statik dan hanya di takuk yang lama sahaja.

“Saya juga sentiasa mencabar diri saya untuk melakukan yang lebih baik daripada sebelumnya dalam setiap hasil karya yang saya terbitkan kerana saya percaya dengan kesungguhan, mereka di luar sana akan nampak hasilnya.

“Menerusi TSLN, sudah pasti saya menyimpan harapan yang tinggi untuk melihatnya diterima dengan baik oleh pencinta dunia seni hiburan dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu menyokong kami sejak munculnya PGLM pada tahun 2006,” kata aktres yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada 2005 ini lagi.

Bagi mendapatkan hasil yang terbaik dan memberikan impak yang luar biasa untuk TSLN, Tiara sanggup terbang ke London semata-mata untuk mendapatkan khidmat dan kepakaran pengarah serta aktivis teater terkenal, Steven Dexter.

Mungkin akan ada pihak yang cuba mempertikaikan keputusan Tiara itu, namun dia mempunyai alasan tersendiri mengapa Dexter menjadi pilihannya untuk mengarahkan TSLN.

“Saya memilihnya kerana dia sememangnya pakar dalam pengarahan teater muzikal seiring dengan apa yang mahu saya tonjolkan dalam TSLN.

“Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Saya percaya, sentuhannya nanti akan dapat memberikan dimensi baru dalam penerbitan teater muzikal di negara ini.

“Dengan penglibatan Dexter untuk teater ini, ia merupakan peluang dan strategi terbaik untuk orang kita belajar serta memperolehi ilmu daripada orang luar yang pengalamannya begitu luas dalam bidang teater muzikal ini.

“Bukankah ia satu sinergi yang bagus apabila semuanya bergabung tenaga dan idea dalam melahirkan produk yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” kata Tiara yang juga merupakan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-12 (1995) menerusi filem Ringgit Kasorrga ini lagi.

Dexter sebelum ini pernah mengarahkan beberapa teater seperti Peter Pan, Loserville, Forbidden City dan Moby Dick.

Tiara juga memberitahu akan ada beberapa muka lama yang sebelum ini terlibat dengan dua pementasan terdahulu akan kembali bekerja dengannya selain tenaga kerja baru.

Bagi watak-watak lain dan barisan ensemble pula, Tiara memberitahu uji bakat akan dijalankan untuk mencari mereka yang benar-benar layak serta berbakat termasuk di Singapura.

Dalam masa yang sama, Tiara tidak menafikan pihaknya ada keinginan untuk membawa pementasan itu ke luar negara.

“Siapa yang tidak mahu melihat teater muzikal kita dipentaskan di West End atau London tetapi semuanya itu masih di peringkat awal.

“Kita akan melihat dulu sambutan TSLN di sini terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk ke fasa seterusnya,” ujarnya tersenyum menyimpul seribu makna.

Begitu juga dengan soal kos apabila Tiara dengan penuh diplomasi enggan mendedahkan bajet keseluruhan walaupun Hits difahamkan ia akan menelan belanja lebih daripada RM5 juta sekali gus menjadikannya sebagai teater muzikal paling mahal dalam sejarah.

Selepas mengabdikan diri dalam hidup Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah atau Puteri Gunung Ledang, Tiara kini sudah bersedia untuk berdepan dengan transisi baru dalam hidupnya dengan watak Nora pula.

Baginya, watak Nora bukan calang-calang kerana ia menuntut cabaran yang cukup tinggi dan atas alasan itu, Tiara kini menjalani rejim senaman bagi memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan terbaik untuk tempoh tujuh bulan akan datang.

“Saya kini mengamalkan diet yang seimbang serta bersenam lima hari seminggu di gimnasium. Semuanya kerana TSLN dan saya sudah bersedia untuk menjadi Nora,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata ini bersungguh-sungguh.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top