Berbekalkan album terbaru mereka Winning Eleven, kumpulan popular Yovie & Nuno sekali lagi bertandang ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan album keempat mereka itu.

 

Dianggotai empat anak muda, Yovie Widianto, Dudy Oris, Pradikta Vicaksono dan Muchamad Ahadiyat bakal menghiburkan peminat-peminatnya dalam sebuah showcase yang bakal berlangsung di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, hari ini.

 

Bukan nama asing di sini, Yovie merasakan muzik adalah satu kaedah terbaik untuk menyatukan dua bangsa. Kerjasama boleh dijalinkan untuk kita mengenal perbezaan masing-masing.

 

"Cara terbaik adalah apabila artis dari Indonesia mengadakan konsert di sini, pemuzik dari Malaysia juga boleh bergabung menjayakan konsert tersebut dan sebaliknya. Kita dapat melihat sendiri sewaktu Sheila Majid mengadakan konsert di Jakarta bulan lalu ada pemuzik Indonesia mengiringi persembahannya." jelas Yovie.

 

Tambah Yovie yang pernah menjalinkan kerjasama menghasillkan lagu untuk gabungan Gita Gutawa dan Dafi kerjasama itu akan lebih memudahkan apabila wujudnya syarikat rakaman besar seperti Sony Music dan Warner yang memiliki cawangan di kedua-dua negara.

 

Yovie berkata setiap negara memiliki kekuatan dan kelebihan masing-masing dan ianya harus dimanafaatkan.

 

"Di Malaysia contohnya ada Siti Nurhaliza dan Sheila Majid yang disukai di Indonesia dan penggemar muzik di Malaysia pastinya juga menggemari Dewa, Krisdayanti, Rossa dan banyak lagi." tambah Yovie yang turut bekerjasama dengan komposer muzik tempatan.

 

Terbaru, Yovie akan menghasilkan lagu terbaru penyanyi tempatan, Kaer yang berjudul Atas Nama Cinta bersama komposer tempatan, Adnan Abu Hassan.

 

"Selain Kaer, saya juga cukup teruja melihat bakat yang dimiliki Aizat. Saya berpeluang bertemu dengannya sewaktu menghasilkan konsert Rossa dan ingin melihat perancangan untuk bekerjasama dengan Aizat bakal berhasil."

 

Walaupun Yovie jelas optimis kerjasama muzik Nusantara boleh berhasil, malangnya penggiat muzik Malaysia lebih berasa selesa dalam kelompok mereka sendiri. Sesuatu yang baik hadir dari negara seberang akan dianggap sebagai penggugat periuk nasi mereka.

 

Pernah berlaku apabila nama Ahmad Dhani dianggap calon paling sesuai untuk menerajui program realiti Akademi Fantasia, tindakan yang dilakukan Astro itu menerima tentangan yang cukup hebat, baik dari pihak media mahu pun orang ramai.

 

"Kami berfikir bahawa muzik itu melintasi batas negara. Tentangan seperti itu tidak seharusnya berlaku. Jika ada di kalangan artis di Malaysia yang berbakat dan layak untuk mengetuai AFI contohnya, mengapa tidak. Muzik boleh menjadi satu bahasa yang menyatukan semua orang di Malaysia mahu pun di Indonesia tanpa ada kekangan politik mahupun agama sewajarnya."

 

"Dunia kini sudah terbuka dengan era globalisasi. Jika penyanyi Michael Buble yang terpilih pun pada saya, no big deal! Ia boleh berlaku di mana-mana saja."

 

Sebelum ini Yovie & Nuno pernah menghasilkan album bertajuk Semua Bintang, Kemenangan Cinta dan The Special One yang telah mempopularkan nama mereka di sini menerusi lagu-lagu seperti Menjaga Hati, Dia Milikku, Janji Suci, Lelaki Setia dan banyak lagi.

 

Lagu hit Menjaga Hati berjaya dimuat turun lebih dari 1.5 juta unit di Malaysia sahaja!

 

Menampilkan lagu-lagu seperti Manusia Biasa, Tan Setampan Romeo dan Merindu Lagi, proses pembikinan klip video album tersebut bakal dilakukan di Belgium, Itali, Perancis dan Belanda.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top