Peserta rancangan realiti televisyen Soccer Kids 4 (SK4) terbitan TV3 kali ini dikira bertuah kerana diberi peluang beraksi di luar negara iaitu Singapura dan Australia.

Pasti tidak pernah terlintas di fikiran 24 peserta ini untuk melangkah `jauh', namun itulah kelainan ditonjolkan dalam rancangan yang masuk musim keempat penganjurannya.

Seawal minggu pertama lagi mereka dibawa menyeberang Tambak Johor untuk menentang pasukan bawah 12 tahun Woodlands Soccer Academy, Singapura yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Bagi jurulatih SK4, Mohd Khalid Shahdan, keputusan itu nyata mengejutkan kerana pada awalnya dia tidak meletakkan harapan tinggi anak buahnya mampu mengikat pasukan lawan.

Katanya, ketika itu mereka baru mewujudkan keserasian dan cuba membina persefahaman, selain menyesuaikan diri dengan corak latihan diajarnya.

"Satu perkara yang saya lihat ada dalam diri setiap peserta ini adalah kesungguhan, dan faktor itu menjadi kunci kepada kekuatan pasukan sehingga mampu menafikan kemenangan lawan.

"Daripada situ, saya cuba menggunakan faktor berkenaan untuk `mengasuh' mereka supaya menjadi pasukan yang stabil dan mampu bersaing," katanya.

Berpengalaman hampir 15 tahun dalam arena kejurulatihan, Khalid berkata, teknik melatih mereka berbeza dengan melatih pasukan yang ada asas bola sepak kukuh.

Dia perlu menggunakan pendekatan lebih sesuai supaya mereka dapat menerima latihan diajar, selain tidak boleh terlalu tegas kerana ia memberi tekanan kepada peserta.

"Walaupun begitu, saya memberitahu mereka (peserta) saya sememangnya mengharapkan sesuatu yang `lebih' dalam setiap latihan dan perlawanan. Secara tidak langsung membuatkan peserta memberi komitmen tinggi.

"Jika terlalu lembut, ia menimbulkan masalah dan saya akan berdepan kesukaran melatih dan memberi arahan kepada mereka," katanya.

Menurutnya, pada peringkat pemilihan di beberapa lokasi seluruh negara, dia menekankan empat kriteria penting dalam memilih peserta iaitu teknik asas, kebijaksanaan, fizikal dan kepantasan.

Secara keseluruhan, peserta dipilih memiliki bakat besar dan perlu digilap dengan cara betul jika mahu melihat mereka berjaya.

Katanya, daripada aspek teknik asas bola sepak, mereka mungkin dapat menguasainya, namun daripada segi corak permainan, banyak lagi perlu dipelajari.

"Ada antara mereka terlalu mengikut teknik diajar jurulatih sebelum ini dan pada mulanya sukar mengubah corak latihan itu.

"Bukan bermaksud teknik sebelum itu salah, tetapi ia perlu diperbetul supaya setiap tendangan dapat dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Memuji usaha TV3 menerbitkan rancangan ini, Khalid berkata, ia sebagai platform bagi bakat muda di seluruh negara menonjolkan kemahiran dimiliki.

Sementara itu, penerbit SK4, M Samsairol Cheaman berkata, kelainan yang cuba ditonjolkan iaitu membawa mereka beraksi di dua negara adalah untuk mendedahkan peserta kepada corak permainan dan teknik digunakan.

Selain itu, katanya, ia secara tidak langsung mengajar mereka untuk berdikari dan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

"Ketika di Australia, mereka dihidangkan dengan makanan yang biasa dimakan pemain bola sepak di sana dan tidak ada satu juadah Malaysia dihidangkan.

"Mahu atau tidak, mereka perlu menerima dan cuba sesuaikan diri dengan makanan itu kerana jika berpeluang beraksi di luar negara lagi pada masa depan, mereka sudah mengalami situasi itu," katanya.

Menurutnya, di sana mereka perlu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris untuk berinteraksi dengan pasukan lawan dan walaupun rata-rata lemah berkomunikasi dalam bahasa itu, mereka tidak segan silu mencuba.

Menentang pasukan bawah 12 tahun Burnley FC, SK4 mencatat kemenangan bergaya apabila membenamkan lawan 8-0.

Menariknya, ketika perlawanan akhir di Stadium Kelana Jaya, SK4 membuktikan tempoh latihan singkat tidak menjadi masalah besar apabila sekali lagi berjaya menewaskan pasukan sama dengan keputusan 3-1.

Katanya, kelebihan pasukan SK4 adalah fizikal mereka yang lebih besar walaupun sebaya dengan pasukan lawan.

"Selain itu, mereka mempunyai semangat pasukan yang kuat dan mampu berkomunikasi dengan baik, sekali gus menjadikan corak permainan mereka tampak sempurna.

"Mereka juga tidak mudah `terusik' walaupun ada ketikanya pasukan lawan melakukan provokasi, selain mampu menyerap tekanan dihadapi," katanya.

Seperti edisi sebelumnya, rancangan ini mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ia bakal disiarkan Mac depan.

Info Soccer Kids 4 (SK4) terbitan TV3

* SK4 memasuki musim keempat dan menampilkan beberapa pembaharuan

* Rata-rata dibarisi pemain berusia 12 tahun

* Berpeluang beraksi di luar negara iaitu Singapura dan Australia

* Bakal disiarkan sekitar Mac depan di TV3

Profil Mohd Aiman

NAMA: Mohd Aiman Mohd Zaini

UMUR: 12 tahun

ASAL: Parit, Perak

POSISI: Sayap kanan

ORANGNYA kecil molek tetapi apabila di padang, kepantasannya sukar dikawal, malah licik meloloskan diri daripada kepungan lawan.

Menyumbat tiga gol sepanjang sebulan di SK4 menobatkannya sebagai pemain terbaik dan membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM3,000.

"Sukan ini sebenarnya sebati dengan jiwa saya kerana sejak kecil didedahkan dengan sukan ini selain mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan.

"Apabila terpilih dalam rancangan ini, saya berazam menunjukkan aksi terbaik dan tidak mahu mensiasiakan peluang diberi," katanya.

Menyimpan hasrat untuk belajar di sekolah sukan, dia menyifatkan pengalaman di SK4 sesuatu yang tidak ternilai dan ia menjadi pentas pertamanya untuk mencipta nama sebagai pemain bola sepak profesional.

Profil Mohd Aizat

NAMA: Mohd Aizat Safuan Razali

UMUR: 12 tahun

ASAL: Pasir Mas, Kelantan

POSISI: Sayap kiri

DIA antara pemain yang kaya pengalaman kerana beraksi untuk pasukan junior Kedah dan menyertai pelbagai jenis perlawanan.

Ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepadanya ketika di SK4 dan segala ilmu diperoleh digunakan sebaik-baiknya sehingga dinobatkan sebagai pemain harapan.

"Minat dalam sukan ini banyak dipengaruhi ayah kerana dia yang memperkenalkan sukan ini kepada saya. Daripada sekadar suka-suka, saya kemudian memutuskan untuk melangkah lebih jauh dalam sukan ini.

"Di sini (SK4) banyak perkara saya pelajari dan ada di antaranya berbeza dengan apa saya lalui selama ini. Semuanya saya kumpul dan kemudian berlatih untuk memantapkan corak permainan," katanya.

Menyifatkan segala yang dikutipnya sepanjang SK4 sebagai pengalaman manis, dia mengimpikan untuk mewakili pasukan negara satu hari nanti.

Profil Muhd Zahril Azri Zabri

NAMA: Muhd Zahril Azri Zabri

UMUR: 12 tahun

ASAL: Georgetown, Pulau Pinang

POSISI: Penyerang

PERTAMA kali beraksi di luar negara tidak sedikitpun menggugat semangatnya, malah dia sentiasa mengasak pasukan lawan walaupun sedar mereka jauh lebih berpengalaman.

Dia bersama pemain lain cuba mengamalkan permainan pantas dan tidak `menyimpan' bola terlalu lama.

"Saya akui mereka hebat kerana berlatih dalam satu pasukan untuk tempoh lama, sedangkan kami ketika itu hanya `berusia' tiga minggu.

"Namun kami sentiasa ingat semua pesanan jurulatih dan segala penat jerih kami berbaloi apabila mampu mengatasi mereka," katanya.

Menurutnya, dia seronok bermain dalam pasukan SK4 kerana mereka sekepala dan ada banyak persamaan.

1 ulasan:

  1. Harapan utk masa depan negara dm sukan bola sepak,kena wujudkan satu segman kemahiran individu utk peringakt umur 5-10 tahun,gerak kaki kanan dan kiri,imbangan badan ketika memegang,menyepak ketika kedudukan bola di kaki di dlm satu bilik dgn kelengkapan barangan elektronik seperti tiang gol dan penjaga gol secara maya...

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top