Barisan Mentor 6, TV3

Rating Mentor mencecah hampir tiga juta penonton setiap minggu serta episod final pernah ditonton sehingga 3.8 juta. Barisan mentor musim 6 terbaru kini diperkenalkan iaitu Fauziah Ahmad Daud, Ella, Ramlah Ram, Ferhad, Faizal Tahir dan Adam AF.

Masing-masing nampaknya sudah bersiap sedia menyusun strategi berbekalkan pengalaman bergelumang dalam bidang seni untuk melahirkan seorang lagi juara yang selayaknya bergelar bintang.

Penerbit Eksekutif dan Penerbit Mentor 6, Muhammad Sufian Isa, berkata semua mentor itu dipilih berdasarkan kualiti yang dimiliki dan berpengalaman luas dalam bidang nyanyian serta seni persembahan.

"Peranan mereka adalah untuk memberikan tunjuk ajar kepada barisan protege baru kelak berkaitan bidang nyanyian, seni persembahan dalam memperlengkapkan diri sebagai penghibur. Selain itu, ini juga peluang baik bagi mereka menunjukkan kemampuan sebenar sebagai guru," katanya.

Sufian memberitahu tidak mudah meyakinkan mereka untuk menerima tugasan itu dan berharap mereka diberikan penghargaan sewajarnya. Ini termasuk keberanian Adam yang turut bersetuju menjadi mentor bagi musim terbaru.

"Adam dipilih kerana kami lihat ada satu kriteria unik dalam dirinya. Kami juga ingin mencari satu bintang yang berbeza. Trend muzik sekarang juga lebih kepada 'pop dance' dan Adam mungkin boleh bimbing protege program ini ke arah itu," jelasnya.

Gelanggang bakal dibuka dan semua mentor hadir de­ngan tekad memberikan cabaran serta menampilkan protege terbaik. Semuanya menyatakan kesudian menurunkan ilmu kepada anak murid agar dapat memberikan hasil cemerlang

Dikenali dengan imej suara lantang, Fauziah menginginkan protege yang punya bakat disertakan kesungguhan. Tidak memilih sama ada lelaki atau perempuan, protege Ogy juga mesti boleh bermain alat muzik dan membaca nota muzik.

"Saya tak pilih jantina. Yang penting dia kena nyanyi lagu wajib Macarthur's Park. Saya nak bakat yang global tapi masih ada nilai ketimuran. Saya nak dia buktikan bakat sebenar dan jangan jadi klon Ogy Ahmad Daud. Apabila bergelar protege saya, semua aspek kena kuat kerana kejayaan tak datang dengan hanya petik jari.

"Saya bukan nak mendera, garang tidak tentu pasal dan tak akan zalim terhadap protege saya kelak kerana berniat nak ajar dan didik mereka. Ini kali pertama saya diberikan peluang dan selepas empat kali pertemuan, barulah saya setuju. Saya terfikir juga, adakah nanti peserta nak datang uji bakat dengan saya?

"Tapi saya fikir, kalau kita ada ilmu, inilah masa untuk kita kongsi dengan orang lain. Sudah 38 tahun saya dalam industri hiburan, jadi saya dapat kongsi banyak ilmu yang ada," katanya.

Mengenai kritikan pedas yang bakal diterima daripada juri, Ogy yang sendiri pernah bergelar juri menjelaskan sudi menerimanya dengan terbuka.

"Dulu saya pernah kritik orang. Sekarang saya pula kena bersedia dikritik. Saya sebenarnya lebih suka dikritik daripada dipuji. Kritikan itu memainkan peranan penting kerana kadangkala kita terlepas pandang kelemahan kita sendiri," katanya dengan jujur.

Seperti Fauziah, Ramlah juga tidak memilih jantina untuk protegenya cuma berharap orang itu akan dapat memberikan yang terbaik.

"Saya nak cari protege yang berbakat dan sedap mata memandang. Lebih penting dia ikhlas hendak belajar dan sedia dikritik.

"Inilah satu-satunya program TV yang kita dapat betul-betul curahkan ilmu serta pengalaman. Cuma, saya bimbang kalau tak dapat apa yang diinginkan. Tambah lagi apabila diberi tanggungjawab yang besar. Saya juga sudah sedia untuk terima kritikan positif. Hidup kita ini bukan selalu yang manis-manis saja," kata Ramlah.

Menetapkan ciri-ciri versatiliti dalam lagu moden dan tradisi, Ferhad pula mahu menggunakan medium baru untuk mencari protege idamannya. Dia berhasrat memberikan sesuatu yang berbeza kepada penonton.

"Saya akan cari dalam YouTube dan menyuruh mereka datang uji bakat diadakan. Saya nak bentuk protege saya sebagai artis yang berdisiplin. Mungkin saya akan jadi garang sedikit untuk bentuk protege yang baik," katanya yang mahu mencari protege lelaki.

Mentor 6

Adam pula tidak menetapkan jantina protege beliau kelak dan mementingkan bakat nyanyian dan kemampuan menari. Dia sudah menimbang pelbagai implikasi yang bakal diterima terutama daripada kalangan peminat dan pengkritik seni sebelum bersetuju menerima tawaran menjadi mentor.

Ella dan Faizal juga berjanji akan cuba menggalas tanggungjawab diberikan dengan membuat pilihan peserta yang terbaik.

Sesi uji bakat mentor 6 akan bermula di Sabah dan Sarawak iaitu pada 13 Januari 2012 di Hotel Promenade, Tawau; Hotel Promenade, Kota Kinabalu (15 Januari), Hotel Imperial, Miri (20 Januari), Hotel Merdeka Palace, Kuching (22 Januari).

Pada Februari pula, uji bakat akan diadakan di Sri Pentas TV3 bermula dengan Ogy (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam (19 Februari).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top