Ustaz Don atau nama sebenar Don Daniyal Don Biyajid ketika ditanya tentang gaya penyampaiannya yang disifatkan oleh penonton sebagai santai dan ‘sempoi’ ketika mengendalikan 30 Minit Ustaz Don, menurutnya, dia hanya menjadi diri sendiri.

“Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW sendiri ada mengajar agar kita tidak berlakon apabila melakukan sesuatu perkara.

Ustaz Don,Don Daniyal Don Biyajid

“Apa yang anda lihat sekarang dan di kaca televisyen, itulah saya yang sebenarnya. Alhamdulillah, kebetulan cara saya diterima dan disukai oleh penonton,” katanya.

Mengakui kehidupannya kini melalui satu fasa berbeza setelah memegang status orang dikenali, Ustaz Don bagaimanapun melihatnya daripada perspektif positif.

“Sekarang ini, kalau ke mana-mana banyak mata memandang dan ada yang hendak bergambar dan sebagainya. Tetapi, saya tidaklah rasa sudah popular kerana bukan itu yang hendak dikejar.

“Sebaliknya, saya menjadikannya sebagai proses untuk membentuk diri ke arah lebih baik. Maklumlah, apabila setiap gerak geri kita diperhatikan, tentunya kita perlu mengawal diri daripada melakukan perkara yang tidak elok.

“Mungkin ada yang mempertikaikan dari sudut keikhlasan. Tetapi bagi saya kita perlu memulakannya, barulah timbul perasaan ikhlas itu tanpa perlu dibuat-dibuat,” katanya.

Tidak setakat itu, gaya Ustaz Don dengan jubah dan serban yang bagaikan sudah menjadi trademark, juga menjadi perhatian masyarakat.

Menurut Ustaz Don, bukan saja aspek tingkah laku, malah imej dan penampilan adalah antara perkara penting yang dititikberatkan.

“Ulama terkenal, Allahyarham Ustaz Yusof Rawa sangat menjaga penampilannya ketika berada di khalayak sehingga pernah menerima duta keterampilan.

“Ini bermakna, kebebasan bergaya sememangnya ada asalkan tidak keluar daripada landasan Islam. Saya pun bukanlah ke sana sini mengenakan jubah dan serban, ikut kesesuaian juga.

“Jika bermain boling misalnya, takkan hendak memakai jubah juga. Selebihnya, saya selesa memakai sut dan pakaian formal,” katanya yang turut memiliki bakat dalam bidang grafik dan fotografi ini.

Dakwah orang muda

Menyingkap serba sedikit latar belakangnya sebelum mula dikenali, Ustaz Don rupa-rupanya pernah mencurahkan khidmat di sebuah tadika di Pulau Pinang.

Bergelar satu-satunya guru tadika lelaki bukanlah penghalang untuknya sementelah naluri sebagai pendidik yang cukup kuat dalam dirinya.

Selain mengajar, ada kalanya masa dipenuhi dengan jemputan memberi ceramah motivasi secara tidak formal.

Bagaimanapun, kenangan tiga tahun lalu ketika menyampaikan kuliah agama pertamanya di Selangor iaitu di Surau An Nur, Bangi, tidak mungkin dilupakan lantaran itulah detik permulaannya sebagai pendakwah bebas.

Apatah lagi, dia bertindak sebagai ‘bidan terjun’ menggantikan dua ulama yang bukan calang-calang, Ustaz Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus yang tidak dapat memberi kuliah ketika itu.

“Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya ketika itu apabila disuruh menggantikan mereka, memang ketar kepala lutut dibuatnya.

“Syukur semuanya berjalan lancar dan dari situ saya mula bergerak aktif sebagai pendakwah. Alhamdulillah, saya bersyukur dipilih ALLAH sebagai salah seorang individu untuk memahami agama,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam pengajian al-Quran dan Sunnah.

Biarpun usianya masih muda jika dibandingkan dengan pendakwah lain yang jauh lebih berpengalaman, Ustaz Don mempunyai pandangannya sendiri mengenai tugas berdakwah oleh orang muda.

“Mungkin ada sesetengah pihak berpendapat, golongan yang sudah berusia sukar menerima dakwah orang muda kerana berasakan ilmu mereka tidak banyak.

“Bagi saya, sekiranya ada pertentangan antara dua perkara, yang benar juga akan menang. Dalam hal ini, bagaimanakah hendak memenangi hati orang lain?

“Caranya adalah dengan berkata benar. Yang benar itu kadangkala pahit, tetapi biarlah pahit asalkan ia benar,” katanya penuh makna.

Profil Ustaz Don

Nama: Don Daniyal Don Biyajid
Tarikh lahir: 14 November 1984
Tempat lahir: Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tinggi: 171 sentimeter
Berat: 56 kilogram
Pekerjaan: Pensyarah muda & pendakwah bebas bertauliah Pulau Pinang & Selangor
Status: Bujang
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top