DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid akan merakam lagu berjudul Ranting Kenangan, ciptaan komposer Eddie Hamid. Menurut DJ LIN, apa yang dilakukan (merakam lagu) adalah bagi memenuhi permintaan daripada para peminatnya.

“Semuanya bermula pada majlis sambutan ulang tahun Lin yang ke-35. Pada majlis itu Lin menyanyi secara karaoke di hadapan peminat dan mereka cadangkan Lin buat album.

“Mulanya tidak terlintas langsung untuk rakam lagu tapi apabila peminat tidak henti menyarankan Lin rakam lagu dan berkata mereka sanggup memberi sokongan. Terfikir juga, kalau ada permintaan kenapa tidak Lin mencuba?” ceritanya.

Kata DJ Lin, lagu Ranting Kenangan yang berentak balada itu dirakamkan di studio Nar Records, Taman Tun Dr. Ismail, beberapa bulan lalu dan buat pertama kali diperdengarkan kepada para peminat sewaktu majlis sambutan hari lahirnya yang ke-36 tahun, di Rex Box, Sogo, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, lirik yang ditulis oleh Ku Seman Ku Hussin itu ada kaitan dengan perjalanan hidupnya dan berharap para peminat dapat menerima lagu tersebut dengan hati terbuka.

“Lin tidak bercerita pada komposer atau penulis lirik, tapi muzik dan lirik yang dibuat kena dengan diri Lin. Tujuan Lin rakam lagu ini bukan untuk bersaing dengan penyanyi lain kerana Lin bukanlah penyanyi.

“Setakat ini Lin bercadang untuk jual single itu secara nada dering dan cakera padat menerusi laman sosial peminat dalam waktu terdekat ini,” katanya yang mengeluarkan kos peribadi sebanyak RM3,000 untuk pembikinan rakaman lagu tersebut.

Katanya, hasil jualan single itu nanti akan disumbangkan kepada kelab peminat Fan DJ Lin Cintamania yang banyak menyokong kerjayanya selama ini.

Pemenang kategori Penyampai Radio Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2011 itu berkata, jika sambutan yang diterima terhadap single itu amat menggalakkan, dia akan lebih serius untuk menjadi penyanyi.

“Selama ini pun Lin mengasah bakat menyanyi di karaoke sahaja dan tidak pernah mengikuti kelas vokal. Katalah kalau sambutan amat menggalakkan, mungkin Lin akan ikuti kelas vokal untuk memperbaiki kelemahan diri,” katanya sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi kehendak peminat.

Begitu juga apabila ditanya, adakah dia akan terjun ke bidang lakonan, jika dipinta oleh para peminat.

Tanpa berfikir panjang, Lin berkata, dia bersedia mencuba nasib sebagai pelakon jika itu yang dikehendaki oleh penyokongnya.


Pengendali program Suria Cinta yang mempunyai lebih 70,000 peminat menerusi laman sosial FaceBook itu berharap kecemerlangan yang diperoleh pada tahun lalu akan terus berkekalan pada tahun ini.

“Tahun lalu merupakan tahun kejayaan dan Lin berharap tahun ini kerjaya akan lebih menyerlah. Semoga program Suria Cinta itu terus menambat hati pendengar,” katanya yang baru berpindah ke rumah baru di kawasan Sentul, Kuala Lumpur.

Untuk tahun baru ini juga, Lin bakal memikul tanggungjawab sebagai duta sebuah produk yang sedang dalam perbincangan.

Lin yang sudah enam tahun memegang status ibu tunggal berkata, setiap kali dia mengendalikan program Suria Cinta pasti ada peminat-peminat nakal yang menghantar surat cinta kepadanya.

Katanya, dia amat serius ketika bekerja dan sebab itulah surat cinta begitu tidak dilayan kerana buat masa kini hatinya belum terbuka untuk mencari pengganti.

“Ramai yang hantar surat cinta dan lamaran tapi Lin tak layan. Lin percaya kalau Allah sudah kata orang itu jodoh kita, bertemu hari ini esok atau lusa pun sudah boleh mendirikan rumah tangga.

“Setakat ini Lin gembira dan bahagia dengan apa yang ada. Bagi Lin anak-anak paling penting. Teman hidup itu biar ia datang sendiri. Lin bukan jenis yang sanggup pening kepala memikirkan soal jodoh,” katanya terus terang.

Selamat maju jaya DJ LIn!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top