Kolaborasi antara dua penyanyi dianggap satu kerjasama baik bagi memastikan karya dihasilkan berkualiti sekali gus mampu memenuhi minat pendengar tempatan, namun apa yang menyedihkan apabila ada yang menyalah tafsir dengan mendakwa duet dibuat kerana salah seorang daripada penyanyi terbabit mahu menumpang populariti.

Biasanya dakwaan seperti itu akan dikaitkan kepada penyanyi yang berkolaborasi dengan mereka lebih popular. Bagaimana pula situasi Altimet dan Awi Rafael, yang tampil bersama dalam lagu Kalau Aku Kaya.

Adakah dakwaan seperti itu sesuai dikaitkan dengan kedua-dua penyanyi penyanyi kelahiran Singapura itu, memandangkan masing-masing mempunyai kedudukan dan kelebihan dalam industri muzik serantau.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman terlebih dulu menempa nama dalam industri muzik tempatan apabila banyak menghasilkan lagu dan lirik dan berkolaborasi dengan penyanyi popular lain seperti Mizz Nina, Joe Flizzow dan Ana Rafali juga Sohaimi Mior Hassan menerusi lagu, Kalau Berpacaran dan turut dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu ke-26.

Altimet menjelaskan, dia tidak pernah ambil pusing dengan pandangan berbau negatif dan tidak membantu mengangkat karya dihasilkan. Apa yang penting baginya kolaborasi dilakukan itu mampu menonjolkan kreativiti dan kelebihan kedua-dua penyanyi terbabit ke tahap lebih tinggi.

"Saya mencipta lagu dan berduet dengan penyanyi lain kerana ada bahagian tertentu pada melodi dihasilkan sesuai dengan suara mereka. Bayangkan kalau saya menyanyi secara solo tetapi gagal mendendangkan dengan baik, kelak saya akan dianggap ego oleh pendengar.

"Sepanjang menghasilkan Kalau Aku Kaya, saya berasakan ia sesuai dengan suara Awi. Atas alasan itu saya memilih dia untuk bekerjasama dalam menghasilkan Kalau Aku Kaya. Segala dakwaan dan kritikan berbau negatif tidak menjadi kudis pada saya.

"Sebagai penyanyi yang mempelopori irama rap, masalah dakwaan seperti ini selalu dikaitkan dengan saya tetapi saya tidak peduli dengan semua itu. Biarlah orang nak cakap apa asalkan saya tahu apa yang saya buat dan fokus pada kerjaya yang saya cintai ini," katanya.

Berbicara mengenai proses menghasilkan Kalau Aku Kaya. Altimet menjelaskan pada pada peringkat awal ia diberikan kepada kumpulan Too Phat dianggotai oleh Joe Flizzow dan Malique tetapi masih belum diterbitkan membuatkan jejaka itu mengambil keputusan untuk menyanyikan sendiri lagu berkenaan.

Bagi mendapatkan kualiti lagu yang diinginkan, Altimet sanggup membuat kajian dengan bertanyakan definisi kaya kepada beberapa golongan seperti veteran, belia, remaja dan kanak-kanak.

"Masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menerangkan maksud kaya. Gabungkan lirik itu adalah hasil kajian yang saya dapat. Lagu yang mudah menarik perhatian pendengar selalunya memiliki tema atau topik yang dekat dengan mereka.

"Lihat saja lagu cinta yang selalu dipilih pendengar. Itu disebabkan lirik lagu berkenaan turut dirasai mereka. Sebagai komposer dan penulis lagu, sangat penting untuk saya memahami selera pendengar," katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan kolaborasi biasanya dibuat dengan tujuan menumpang populariti, Altimet ternyata kecewa dengan pemikiran sempit sesetengah masyarakat tetapi sebagai pengkarya dia tidak boleh lari dari berhadapan dengan situasi yang kurang menyenangkan itu.

"Contohnya di laman sosial Youtube, ada yang menjadikan liriknya sebagai isu. Malah tidak kurang ada antara mereka bertindak keterlaluan dengan berkata 'kalau Altimet dan Awi kaya mereka akan lupa Allah'. Inilah pemikiran masyarakat kita.

"Sepatutnya dari pengisian lagu Kalau Aku Kaya itu kita akan memperoleh motivasi untuk mencari cara bagaimana menjadi kaya. Kaya tidak semestinya ada rumah besar atau kereta mewah. Cukuplah rumah dan kereta itu jadi milik kita tanpa berhutang pada bank," ujarnya.

Mengenai pemilihan Awi, selalunya apabila mencipta lagu Altimet menjadikan pemuzik jalanan sebagai sumber inspirasi. Memandangkan temannya itu pernah memiliki pengalaman itu jadi memilih Awi dirasakan tetap.

"Rupa atau populariti seseorang bukanlah faktor utama untuk bekerjasama. Pada saya asalkan vokal penyanyi itu sesuai kolaborasi boleh dilaksanakan. Kesesuaian suara penyanyi dengan lagu adalah perkara yang perlu dititikberatkan," katanya. ~ MA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top