Tak lama lagi sebelum nama pemenang dalam 30 kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Skrin (ASK) 2013 diumumkan, malam ini.

Saat ini, pastinya dada calon yang bertanding berdebar kencang mengenangkan tuah dan untung nasib masing-masing pada anugerah yang memberikan penghargaan kepada program TV, drama dan filem tanah air.

Jika drama Di Telapak Kaki Bonda terbitan Filmscape mengungguli anugerah ini pada edisi lalu, judul manakah pula yang bakal dinobat sebagai Drama Terbaik kali ini?

Apakah ia bakal menjadi milik Aku Bukan Malaikat terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd atau Di Bawah Langit Mu (Primeworks Studios Sdn Bhd), Fatihah Untuk Abah (BZ 2121 Productions Sdn Bhd), mahupun Mawar Putih Tanda Perpisahan dan Neraka Abah (masing-masing diterbitkan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd)?

Melihat senarai calon Top 5 ASK 2013, masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan sendiri untuk menguasai anugerah berprestij itu.

Bertanding tujuh kategori

Bagaimanapun, drama Fatihah Untuk Abah arahan Azma Aizal Yusoof dilihat mempunyai sedikit kelebihan bagi menjulang trofi paling diidamkan itu.

Dicalonkan dalam tujuh daripada 11 kategori drama, lakonan hebat orang lama, Faizal Hussein, turut memberi impak kepada drama terbabit untuk diangkat sebagai Drama Terbaik.

Faizal sendiri mempunyai peluang besar untuk menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama malam ini, melihat kepada keberkesanan lakonannya dalam telefilem terbabit. Penulisnya, Eenaz Mokhtar, dirasakan tidak mempunyai halangan besar untuk merangkul trofi Lakon TV Terbaik.

Drama ini berkisar mengenai kekosongan hidup seorang lelaki, Dollah, yang hanya ditemani gelak tawa dan gurau senda rakannya, Samad, Ani dan Gusdar. Suatu hari, Dollah dikejutkan dengan kunjungan Fatihah, iaitu anaknya yang ditinggalkan 17 tahun lalu.

Keluarga isterinya yang mewah menentang cinta mereka dan tidak mahu membiarkan wanita itu hidup susah dengan pemandu lori. Akhirnya, Dollah melepaskan isterinya dan Fatihah, yang ketika itu masih bayi, kepada keluarga isterinya bagi memastikan kehidupan dua beranak itu terjamin.

Sherie Merlis menang lagi?

Lakonan hebat Sherie Merlis dalam drama Perempuan Itu Ibuku pula sekali lagi dijangka mampu mengangkat namanya dalam kategori lakonan terbaik. Jika pada edisi lalu, dia menggenggam trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama tidak mustahil menjadi miliknya kali ini.

Sementara itu, Beto Khusyairi dirasakan mampu mencabar calon lain hasil lakonan mantapnya menerusi drama Aku Bukan Malaikat, memberikan kelebihan buat aktor ini untuk membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Bagi kategori wanita, kejayaan mungkin diraih pelakon berbakat, Izreen Azminda, yang menunjukkan persembahan memberangsangkan dalam drama Perempuan Itu Ibuku.

Bagi kategori Drama Rantaian Terbaik, karya terbitan Global Station Sdn Bhd berjudul Adam dan Hawa dirasakan begitu kuat pengaruhnya, seterusnya mengungguli kategori terbabit.

KIL beri saingan

Dalam kategori filem, empat judul berentap hebat untuk muncul sebagai karya terbaik. Bagaimanapun, filem arahan Nik Amir Mustapha berjudul KIL dilihat sebagai calon pilihan untuk memenangi trofi Filem Terbaik, sekali gus meletakkan penulis skripnya, Nik Amir Mustapha, sebagai penerima anugerah Lakon Layar Terbaik.

Judul lain yang sama-sama memberikan saingan dalam kategori ini ialah filem SAM arahan Syafiq Yusof terbitan Skop Production Sdn Bhd, Istanbul Aku Datang (Bernard Chauly / Grand Brilliance) dan Langgar (Syed Hussein / Tayangan Unggul Sdn Bhd). Kekuatan lakonan Shaheizy Sam dalam filem SAM mungkin mampu memberikan keceriaan kepada produksi judul terbabit apabila Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2012 itu diramalkan berupaya meraih gelaran Pelakon Lelaki Terbaik.

Bahkan, gandingan mantap bersama Lisa Surihani dalam filem itu juga dijangka turut membolehkan isteri Yusry Abdul Halim itu muncul sebagai pemenang Pelakon Wanita Terbaik.

ASK 2013 akan bersiaran secara langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam, jam 9 malam ini di TV3.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top