Miera Leyana tak serik bercinta

Di usia yang baru menjengah 20 tahun dan belum mendapat kunci kebebasan daripada keluarga namun pelakon dan model jelita berkulit putih mulus, Miera Leyana Kasmi kelihatan matang daripada usianya.

Kesan daripada kegagalan percintaannya dengan pelakon Shahz Jaszle, membuatkan Miera berhati-hati dalam mencari pengganti. Dia tidak serik untuk bercinta lagi tetapi buat masa ini dia senang bersendirian.

"Kami bercinta tak lama tetapi cukuplah untuk saya mengenali hati budi seorang insan bernama lelaki. Sekarang saya lebih suka berkawan tambahan dengan sikap yang `happy-go-lucky' dan gila-gila, mereka lebih selesa berkawan dengan saya daripada mengajak saya bercinta.

"Buat masa ini saya tak mahu terjebak lagi dalam dunia percintaan. Betullah orang kata cinta itu buta, segalanya nampak cantik dan menarik tetapi bila dah terkena baru kenal dunia cinta itu apa sebenarnya. Lupakan cerita lama kerana banyak lagi perkara yang perlu saya buat untuk masa depan," katanya.


Pun begitu, sebagai insan biasa Miera tidak pernah menolak untuk berasa dikasihi dan mengasihi.

"Saya impikan lelaki yang dapat memahami siapa sebenarnya diri ini. Ada kala saya ceria, ada kala bersedih. Saya mempunyai sikap yang agak pelik dan kalau lelaki itu tidak dapat memahami saya, takut selepas dua hari berkawan dia cabut lari.

"Ciri lain yang mesti ada padanya, dia mestilah seorang yang lasak dan meminati sukan terutama sukan permotoran seperti kereta. Sudah hampir setahun saya belajar drifting dan itulah cinta pertama saya sekarang. Nampak saja saya ini macam `gegirl' tetapi hakikatnya saya jenis lasak, kalau dah dapat drift tidak menoleh kiri kanan lagi.

"Lelaki itu juga mesti sukakan cabaran dan sanggup menerima benda baru dalam hidupnya, jika setiap hari buat perkara sama, boringlah. Kalau dia ada rupa, saya kira itu bonus tetapi saya tak suka lelaki romantik, ia membuatkan hubungan jadi bosan," katanya.

Terus bercerita minat barunya itu, jelas Meira yang menjadi duta M7 dia mula mengenali sukan `drifting' apabila dia menjalani sesi fotografi di Amerika Syarikat untuk produk itu.

"Di sana saya berjumpa dengan ramai dutanya yang mana mereka bukanlah daripada kalangan artis atau selebriti tetapi ahli sukan terkenal dunia. Salah seorang daripada mereka adalah Melissa Grace yang juga model sambilan. Kalau anda lihat dia, bukan saja cantik tetapi perwatakannya sangat lemah lembut tetapi apabila dia sudah pegang stering, sebiji macam lelaki.

"Daripada situlah timbul minat saya untuk cuba sukan ini dan terus menyukainya. Biasanya saya dan kawan-kawan suka drifting di sekitar Shah Alam. Dapat saja drift, minda rasa bebas.

"Sebagai duta M7, syarikat sediakan kereta untuk drifting dan minyak hitam, M7 Pro Oil," katanya.

Tawaran berlakon semakin banyak

Mengenai dunia lakonan, Miera senang 'break' sementara menunggu skrip yang menarik. Katanya, baru-baru ini ada tawaran berlakon tetapi kerana bayarannya tidak memadai dia mengambil keputusan untuk berehat saja.

Antara drama terbaru lakonannya, Hujan, Rumah Kedai dan Putera Rayyan iaitu sebagai kakak Nad Zainal.

"Rasa jemu pun ada setiap kali disogokkan dengan watak hitam jadi saya beri cadangan kepada pengarah drama Putera Rayyan, Murali Abdullah untuk memberi lebih suntikan kepada watak yang saya pegang. Saya jadi kakak yang sombong dan bongkak tetapi bercakap `broken English'.

"Watak jahat tetapi nampak kelakar. Sudahnya ramai yang suka watak itu. Sekarang saya juga sedang mengintai peluang berniaga, saya minat fesyen tetapi rasa macam susah nak `buat' duit.

"Saya tak mahu jadi ahli perniagaan bidan terjun, selepas beberapa bulan berniaga, dah lingkup. Saya mahu mencari perniagaan yang saya suka dan mudah diuruskan," katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik mula muncul dalam arena seni tanah air dalam filem Apokalips arahan Mamat Khalid yang menjalani penggambaran pada 2010 tetapi sehingga kini filem itu belum ditayangkan. Saya tak tahu apa jadi dengan filem itu. Umur saya baru 18 tahun waktu itu, wajah pun masih kebudak-budakan.

"Filem lakonan saya lain yang bakal keluar, Dendam Orang Mati terbitan Kru lakonan bersama Lisa Surihani dan Fizz Fairuz dan satu lagi filem saya ialah Rentaz juga arahan Mamat Khalid," katanya.

Miera turut terkejut namanya tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Filem Terbaik Wanita menerusi aksinya dalam filem Pecah pada Anugerah Skrin 2013 yang akan berlangsung pada 29 November ini di Stadium Malawati Shah Alam. Saingan Meira untuk kategori itu, Umie Aida, Yana Shamsudin dan Cristina Suzanne Stockstill.

"Terkejut saya apabila dicalonkan dan saya tak berharap untuk menang kerana pelakon juga hebat dan ada ramai peminat. Apa pun saya gembira kerana turut disenaraikan dan itu untuk menunjukkan kehadiran saya dalam industri mendapat perhatian di kalangan peminat dan penggiat seni tanah air," katanya.


~ Rentak Artis Popular

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top