Izzue Islam berendam dalam ais

Berendam dalam baldi berisikan ais sekitar jam 3 pagi, perbuatan yang tidak masuk dek akal. Namun, itulah lambang dedikasi pemuda kacak ini sebagai anak wayang.

Desakan nalurinya berbuat demikian adalah untuk memastikan salah satu babak yang dijayakan kelihatan `real' meskipun dia diberi pilihan oleh pengarah sama ada mahu menggunakan ais yang betul atau teknik yang menyamai ais sebenar.

"Saya kira ini adalah babak paling mencabar di dalam filem Hantu Tok Mudim. Jam 3 pagi, saya terbabit dalam penggambaran babak majlis berkhatan di mana saya dimandikan selain berendam dalam baldi yang berisikan ais.

"Walaupun pengarah ada bertanya, saya bebas untuk memilih sama ada mahu menggunakan ais yang betul atau tiruan, saya sahut cabaran menggunakan ais. Semata-mata mahu dapatkan `feel' sejuk selain merasai pengalaman sebenar orang dulu-dulu berkhatan.

"Ia `moment' paling kelakar dan menyeronokkan, tetapi saya puas dapat melakukannya," ujar Izzue Islam, teraju utama filem Hantu Tok Mudim terbitan Showbiz Productions.

Dari sudut pandangan ahli kumpulan Forteen itu, Hantu Tok Mudim adalah sebuah filem yang mengangkat tradisi Melayu yang semakin dilupakan.

"Majlis berkhatan secara tradisional barangkali masih diamalkan, tetapi kebanyakan di kampung. Di bandar-bandar saya kurang pasti. Saya sendiri pun berkhatan di klinik ketika saya darjah tiga.

"Tetapi menurut cerita datuk saya sendiri, cara orang dulu-dulu berkhatan sangat meriah. Mereka disambut dan diarak, mungkin itu salah satu untuk mereka menghilangkan rasa gementar dan takut.

"Cumanya untuk filem ini diwujudkan konflik cinta tiga segi antara Lebai Kulup, Salmah dan Borhan untuk menjadikan ia lebih menarik," katanya lagi.

Menyingkap isi kandungan Hantu Tok Mudim yang menjalani penggambaran di Seri Menanti, Negeri Sembilan, ia mengisahkan Tok Mudim (Harun Salim Bachik), seorang juru khatan terhebat di Kampung Seri Menawan.

Kehebatannya tercalar dek kerana penangan cinta tiga segi pembantunya, Lebai Kulup (Sofi Jikan), Salmah (Adrea) iaitu dara pujaan kampung dan juga Borhan, anak manja Tok Penghulu Abohrudin yang mempunyai rahsia peribadi.

Demi cintanya terhadap Salmah, Borhan akhirnya mahu berdepan dengan fobia lampaunya bertemu dengan Tok Mudim bersama Tok Penghulu Abohrudin untuk satu operasi rahsia.

Tetapi malangnya, Lebai Kulup yang tidak berpuas hati dengan Borhan kerana berjaya mencuri dengar rahsia Borhan dan merancang untuk sabotaj operasi malam berkenaan.

Malam dinantikan tiba, kehebatan Tok Mudim teruji dengan `keliatan' luar biasa Borhan. Kegagalan operasi malam itu mengakibatkan Tok Mudim menjadi buruan penduduk Kampung Seri Menawan. Tok Mudim melarikan diri ke dalam hutan sehingga menyebabkan Tok Mudim jatuh ke dalam perigi dan mati di tempat kejadian.

Bermulalah tragedi ngeri, yang mula menghantui Kampung Seri Menawan apabila Hantu Tok Mudim muncul untuk membalas dendam terhadap seluruh penduduk kampung berkenaan.

"Watak saya sebagai Borhan mengalami tiga fasa perubahan karakter. Borhan jika di khalayak ramai seorang yang poyo maklumlah anak Penghulu. Tetapi di rumah sangat manja sehingga ibu bapanya memanggilnya dengan panggilan `baby'.

"Kerana terlalu dimanjakan, kedua orang tua Borhan terlupa yang dia belum berkhatan sehinggalah Borhan berhasrat mengahwini Salmah, perkara ini menimbulkan banyak konflik.

"Perubahan karakter Borhan turut berlaku selepas babak dia sudah berkhatan di mana Borhan mengalami tekanan apabila menjadi mangsa ejekan orang kampung," katanya.

Bakal muncul dengan dua lagi filem iaitu Ular pada 5 Disember dan Chikaro (26 Disember) ini, Izzue khabarnya giat mempromosikan album terbaru Forteen yang bakal muncul penghujung Disember ini.

Meskipun, namanya semakin mengenali di lapangan seni lakon, Izzue akui bahawa Forteen penting dalam hidupnya apatah lagi menyanyi sudah menjadi minatnya sejak kecil.

"Saya selesa dengan kedua-dua bidang yang saya ceburi sekarang ini. Ia saling berkaitan. Berlakon membantu saya dari segi emosi apabila menyanyi.

"InsyaAllah untuk single terbaru kami akan keluar tidak lama lagi dan judulnya Tidak Pernah Berjumpa. Apa yang menarik mengenai lagu ini, keinginan peminat untuk melihat vokal saya ditonjolkan, termakbul di dalam lagu ini," katanya. ~ HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top