Rockers dulu tidak macam sekarang

Terdapat banyak perbezaan pemuzik rock pada masa dulu dan sekarang dan ia amat ketara dari segi hala tuju dan apa yang mereka mahukan.

Tanpa menyimpan niat menyebelahi generasi rock dahulu, penyanyi, Ramli Sarip yang popular dengan gelaran Papa Rock berkata, nilai seperti merendah diri, sopan tutur kata, menghargai peminat dan sebagainya kuat pada pemuzik rock dahulu.

"Itulah sebabnya populariti pemuzik dahulu lebih dihargai sehinggakan ada kumpulan mampu bertahan sehingga 30, 40 dan 50 tahun lamanya dalam industri.

"Tidak seperti hari ini ada yang mengeluarkan sebuah album kemudian hilang akibat tidak ada persefahaman atau apa jua alasan yang biasanya akan menenggelamkan kumpulan itu.


"Setiap ahli dalam sesebuah kumpulan tidak kira penyanyi, pemain gitar atau drum semuanya bergantung di antara satu sama lain dan saling melengkapi.

"Jika tidak sudah pasti sesebuah kumpulan muzik itu akan goyah dan akhirnya berkubur," katanya.

Selain itu, setiap kumpulan perlu mempunyai pegangan yang kuat, apa yang mereka mahu dalam bermain muzik, adakah saja-saja atau sebaliknya.

"Jika berpegang pada bakat sahaja tidak cukup, kerana di luar sana ramai yang berbakat tetapi tidak berpeluang untuk berada di tempat kita sekarang.

"Apa yang penting, disiplin setiap pemuzik, menghormati orang lain dan keberkatan dalam memperjuangkan muzik itu bukan sahaja untuk hiburan bahkan, kesedaran dalam diri pendengar.

Sebagai orang Timur dan Islam, kita harus kekalkan budaya kita dalam lagu dan muzik yang dimainkan agar tidak terpengaruh dengan budaya luar.

"Muzik yang baik adalah muzik yang mampu menjiwai hingga sampai ke hati, jika sedih sampai kita boleh menangis dan gembira hingga boleh merasai kegembiraan.

"Itulah baru dikatakan muzik. Sebagai pemuzik pula, kita hanya meminjam usia yang masih ada daripada Tuhan yang maha Esa. Entah esok lusa, tiada yang tinggal untuk kita bagi memberi kesedaran kepada orang lain," katanya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top