Jackie Chan berlakon dalam Police Story 2013

Selepas sedekad muncul bersama filem New Police Story, filem kelima dalam francais popular terbabit, kini bintang aksi terkemuka Hong Kong, Jackie Chan, bersedia untuk kembali menggegarkan pawagam dengan susulan terbaru diberi judul Police Story 2013.

Hampir tiga dekad selepas penghasilan filem pertama pada 1985, pengikut siri terbabit masih setia untuk menyaksikan aksi lasak Chan sebagai anggota polis yang melakukan apa saja demi menjaga keamanan.


Kali ini, dia berdepan dengan watak jahat lakonan Liu Ye. Antara bintang lain yang menyemarakkan lagi filem arahan Ding Sheng, yang sebelum ini mengarahkan Chan dalam Little Big Soldier ialah Huang Bo, Jing Tian, Zhang Lanxin, Wang Zhifei, Zhang Xiaoning dan Guli Nazha.

Dalam siri terbaru ini, Chan menjayakan watak Zhong When, pegawai polis yang kehilangan isteri dan mempunyai seorang anak terabai (lakonan Jing Tian). Kedua-dua karakter terbabit banyak membabitkan emosi apabila ia memaparkan hubungan antara bapa dan anak.

Potong rambut demi watak

Sebagai anggota polis di Tanah Besar China, Chan turut mengubah gaya rambutnya, demi menyesuaikan diri dengan pakaian seragam polis yang dikenakan.

Seperkara menarik, Chan tidak pernah mengubah gaya rambutnya sejak 1986, selepas dia tercedera di set penggambaran filem Armour of God. Ketika itu, bintang tersohor ini cedera di kepala dan hampir kehilangan deria pendengaran.

Chan sendiri mengaku dia tidak pernah memotong rambutnya disebabkan kejadian terbabit, sebaliknya dia memutuskan untuk mengekalkan gaya rambut yang sama sehingga sekarang.

Misi balas dendam

Police Story 2013 yang akan mula menjengah pawagam di negara kita pada 24 Disember mengisahkan mengenai perlawanan berani mati demi membalas dendam dek kehilangan cinta.

Di dalam sebuah kelab hiburan di sebatang jalan yang sibuk, orang ramai dijadikan tebusan. Antara mereka ialah pegawai polis, Zhong Wen, dan anaknya, Miao Miao, serta beberapa orang awam yang pernah ditemui sebelum ini.

Penculik itu pula ialah pemilik kelab hiburan berkenaan, Wu Jiang. Apa yang diinginkan hanyalah supaya pihak polis melepaskan seorang banduan. Demi menyelamatkan nyawa orang ramai, banduan terbabit dibawa ke kelab itu dan keadaan bertambah rumit apabila kes lama dibuka kembali.

Datang ke Kuala Lumpur

Sebagaimana filem terdahulu, tentunya Police Story kali ini juga sarat dengan babak lasak seperti yang dapat disaksikan menerusi sedutan yang sudah pun ditayangkan kepada umum. Selain babak tembakmenembak dan pergaduhan, penonton juga akan menyaksikan adegan perlumbaan kereta dalam naskhah terbaru ini.

Chan sendiri akan datang ke Kuala Lumpur pada 18 Disember depan bagi mempromosikan, seterusnya berkongsi pengalaman beraksi dalam filem terbabit bersama peminat. Kedatangan Chan terbabit diusahakan oleh RAM Entertainment, SKT Media & Entertainment dan UOB Bank.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top