Zizan Razak berlakon dalam Oh My Ganu! 

Telefilem khas, Oh My Ganu! sempena cuti sekolah akan dibintangi pelawak popular, Zizan Razak dan Izzue Islam pada 27 November ini.

Persis judulnya, kisah dipaparkan adalah berkisar kehidupan dua pemuda di Terengganu.

Oh My Ganu! membawa kelainan dengan menjadikan negeri yang popular dengan keropok lekor itu sebagai lokasi penggambaran.

Telefilem bercorak komedi pendidikan ini adalah sambungan kepada episod kemuncak Oh My English musim kedua.

Konflik bermula apabila Mr Henry Middleton, watak yang dihidupkan Zain Saidin, harus memilih untuk bersama Sara Jane (Gabriella Robinson) atau Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah).


Apa yang menarik, jalan cerita telefilem ini dibangunkan mengikut permintaan peminat.

Pada akhirnya, peminat diberi kuasa dalam bentuk undian bagi memilih Sara atau Cikgu Ayu. Menerusi 50,000 undian penonton yang diterima, sebanyak 89 peratus memilih Cikgu Ayu. Daripada keputusan itulah, plot telemovie ini dibangunkan.

Demi memuaskan hati peminat, Zizan yang juga berasal dari Terengganu dan Izzue dari Kelantan, dipilih membintangi telemovie ini selepas peminat mahukan watak itu diserahkan kepada mereka melalui interaksi di Facebook dan Twitter.

Seperkara lagi, telemovie ini menampilkan pelakon sama iaitu Harun Salim Bachik; Izara Aishah; Akhmal Nazri; Roax Tan dan Iezahdiyana. Tidak ketinggalan, Zhafir Muzani; Syafie Naswip; Addy Ashraf dan Kaameshaa.

Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin memberitahu, pihaknya gembira musim kedua siri Oh My English menarik 5.2 juta penonton televisyen.

"Siri ini juga menarik 11.6 juta tontonan di YouTube dan mengumpul 525,000 peminat di Facebook selain menduduki tangga teratas di Twitter," katanya pada sidang media Oh My Ganu di Kuala Lumpur, barubaru ini.

Putri Yasmin berkata, Oh My Ganu! adalah penghargaan kepada peminat setia siri Oh My English.

"Oh My Ganu menjanjikan kelainan dengan kehadiran watak baru yang dihidupkan oleh Zizan dan Izzue. Sepanjang penggambaran, kru dan pelakon tak kering gusi. Ini dapat disaksikan dalam paparan adegan lucu dan di luar jangkaan pada akhir telefilem ini.

"Kita berharap Oh My Ganu! yang menggabungkan komedi dan kandungan ilmiah serta diterbitkan dengan kualiti produksi filem, mendapat sambutan positif penonton pelbagai usia," katanya.

Putri Yasmin berkata, kru dan pelakon Oh My English juga baru pulang melakukan penggambaran siri itu di Amerika Syarikat (AS).

Oh My Ganu! yang diarahkan Haris Hue Abdullah dengan kerjasama Red Communications, akan disiarkan secara eksklusif di saluran Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak di Astro Maya HD (saluran 635) pada jam 9 malam, 27 November ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top