Johan, Zizan (Jozan) masih serasi

Gara-gara tidak lagi kerap digandingkan bersama, timbul khabar angin mengatakan pasangan lawak, Johan dan Zizan Razak kini tak sehaluan. Apatah lagi apabila seorang penerbit dikatakan mendakwa, tiada lagi persefahaman antara kedua-duanya, apabila mereka tidak muncul dalam persembahan terbitannya.

Tersentak dengan dakwaan berkenaan, penyampai radio Era itu pantas menepis tanggapan terbabit. Bahkan tegasnya, dia dan rakannya itu tetap bersahabat baik.

Malah, kata Johan, jika benar hubungan mereka renggang seperti didakwa penerbit berkenaan, ia tentu saja berpunca daripada produser itu sendiri.


Ujar lelaki yang mula dikenali menerusi program Raja Lawak ini, jika diikutkan, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan penerbit itu. Namun, disebabkan keengganan mereka untuk terbabit dalam produksinya, kedua-duanya dituduh tidak lagi sehaluan.

"Tak baik, malah tidak patut dia berkata begitu kerana kami tidak mempunyai sebarang masalah dengannya.

"Punca kami menolak pelawaannya adalah atas alasan kesibukan masing-masing. Tidak timbul isu kami bergaduh atau tidak sehaluan. Mungkin kerana kami sering berselisih pendapat, lalu dia membuat andaian sendiri. Begitupun, sebelum persembahan kami saling bermaafan dan ia tidak sekali menjejaskan hubungan baik antara saya dan dirinya," katanya.

Saling memerlukan

Menganggap rezeki dan populariti Jozan atas usaha bersama, Johan tidak pernah sesekali mengetepikan Zizan, apatah lagi melupakan saat jatuh dan bangun Jozan.

Tidak berasa tergugat dengan dakwaan dilemparkan, Johan mendedahkan, mereka pernah mengalami cabaran sedemikian sejak dulu lagi.

"Sebagai kawan, kami saling memerlukan. Kami dikenali pun hasil usaha bersama. Jozanlah yang memberikan laluan untuk kami mencari rezeki," kata Johan yang bagaimanapun menegaskan tidak akan melatah dengan isu terbabit, mengenangkan produser berkenaan orang lama dalam industri.

Namun, dia tetap berasakan tindakan penerbit itu memburuk-burukkan orang lain sebagai kesalahan besar.

Mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dia berkata, semua orang berhak untuk bercakap, tetapi janganlah sampai melampaui batas.

Muzikal Jozan tahun depan

Masih menghormati penerbit terbabit, namun Johan hanya mampu tersenyum apabila ditanya sama ada dia akan tetap menerima tawaran daripada produksi itu pada masa depan.

"Saya malas nak layan gosip dan kritikan orang. Saya cuma fikir soal menjaga makan minum anak dan isteri saya," katanya yang akan bergandingan dengan Zizan menerbitkan teater Jozan The Musical di Istana Budaya, tahun depan.

Bukan mahu bersaing atau membuktikan populariti kepada sesiapa, sebaliknya pementasan itu adalah untuk menghargai peminat yang merindui gandingan serasi mereka.

Jangan cuba lagakan kami

"Jangan cuba melaga-lagakan kami!" Itulah amaran yang diberikan Zizan Razak ketika ditanya kesahihan cerita kononnya dia dan Johan tidak sehaluan dan bermasam muka.

Tegas artis serba boleh ini, mereka tidak pernah pun bergaduh dan cerita mengatakan mereka tidak sehaluan adalah fitnah semata-mata.

"Memang kami sudah lama tidak berjumpa disebabkan kesibukan masing-masing. Lagipun, dia sudah berumah tangga dan ada hal sendiri yang perlu diuruskan manakala saya masih bujang, nak kerja sampai pagi pun tak mengapa.

Rindukan Johan

"Saya memang merinduinya. Justeru, apabila dia tiba-tiba muncul dalam pertandingan akhir Akademi Fantasia 2013 tempoh hari, saya menangis. Saya memang tersentuh dengan kejutan itu dan ia bukan gimik semata-mata," kata Zizan yang turut mengaku sudah membuat perancangan menerbitkan Jozan The Musical, tahun depan, sebagai penawar rindu buat peminat yang begitu merindui penampilan mereka berdua.

~ Hip

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top