Membuang jauh rasa malu andai dicemuh orang, Syanie Hisham memekakkan telinga demi merasai nikmat berumah tangga untuk kali kedua.

Selepas sebelas tahun menjanda, Syanie tidak pernah menyesal atau kecewa atas kegagalan lalu. Sebaliknya, Syanie cuba membuka pintu hati dan akhirnya, dia memilih lelaki yang 12 tahun lebih muda sebagai calon suami.

Sudah mempersiapkan diri untuk bergelar isteri kepada Nadi Putera Mohd Zainol, 27, Syanie merancang mengadakan resepsi berkonsepkan perkahwinan tepi laut di Pantai Cenang, Langkawi pada 1 Mac depan. Majlis itu dijangka dihadiri kenalan dan saudara mara terdekat dengan tema rona putih dan biru.

"Selepas 11 tahun bercerai, perasaan untuk mendirikan rumah tangga kali kedua makin menebal. Bukan tidak pernah berkawan sebelum ini, cuma jodoh tak kesampaian.

"Saya kenal Nadi tujuh tahun lalu. Ketika itu, dia muda sangat. Kami berpisah dan berjumpa semula ketika saya menghadiri majlis perkahwinan di Kedah. Ketika perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, terbitlah bibit-bibit cinta antara kami," katanya.

Syanie Hisham

Tidak mahu menyimpan terlalu lama hasrat mendirikan mahligai, ikatan pertunangan yang terjalin pada 10 Ogos lalu menjadi permulaan dalam perhubungan mereka.

Biarpun perbezaan umur dan fizikal masing-masing menjadi buah mulut ramai, namun pelakon berusia 39 tahun ini tidak pernah berkecil hati. Malah, Syanie menganggap setiap katakata yang dilemparkan sebagai kekuatan meneruskan hasratnya itu.

"Biarlah orang nak kata apapun, yang penting saya bersyukur kerana masih ada yang sudi menerima saya seadanya. Dia tidak pernah meletakkan umur dan saiz badan sebagai ukuran.

"Perkahwinan lalu banyak mengajar saya erti berumah tangga. Saya beritahu dia, komunikasi sangat penting dalam perhubungan. Kalau dulu, saya hanya menurut kata suami dalam semua perkara, tetapi, sekarang saya sedar bahawa isteri juga ada hak untuk bersuara," katanya.

Tak sabar jadi ibu tiri

Walaupun perkahwinan lalu tidak dikurniakan cahaya mata, peserta program realiti masakan MasterChef Malaysia All Stars yang ditemui pada majlis pelancaran program itu di ibu negara, minggu lalu, gembira dapat menjadi ibu kepada anak-anak Nadi Putera. Nadi memiliki dua anak iaitu Mohd Putera Danish, 5, dan Mohd. Putera Dafiq, 4, daripada perkahwinan terdahulu.

Bukan saja mahu menjadi isteri bertanggungjawab, sebaliknya Syanie sudah bersedia menggalas peranan sebagai ibu kepada anak tirinya. "Mereka menerima saya dan memanggil saya, Mama Syanie. Nadi sudah tiga tahun menduda dan saya akan cuba buat yang terbaik sebagai ibu.

"Saya bukan nak merampas anak-anak dia daripada bekas isteri, tetapi, saya nak menumpang kasih sayang mereka. Saya teringin merasai nikmat menjadi seorang ibu," katanya yang sudah memaklumkan mengenai perkahwinannya kepada bekas suami.

Walaupun sudah berpisah, Syanie berkata, hubungan dengan bekas suami masih baik. ~BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top