Masih lagi mengekalkan gaya hidupnya sebelum ini apabila masih lagi menetap di kawasan perumahan flat di Kuala Lumpur, jelas Black, tiada apa yang perlu dimalukan dengan kehidupannya yang seperti itu.
Malah meskipun dikurniakan rezeki yang lebih dari Ilahi, Black lebih senang mengekalkan corak kehidupan yang sama kerana khuatir dia akan lupa diri.
"Saya tak malu untuk terus tinggal di flat tersebut. Saya memang tak mahu pindah kerana risau kalau pindah saya akan lupa diri. Memang saya mahu membeli sebuah rumah teres dalam masa yang terdekat ini, tapi mungkin rumah itu kelak saya akan suruh mak dan ayah yang duduk di situ.
Saya selesa tinggal di kawasan flat itu jadi saya tak rasa mahu berpindah kerana saya juga tak mahu kehilangan rakan-rakan rapat yang saya ada. Selain itu saya rasa, kalau saya bertukar corak kehidupan saya sangat takut saya akan lupa diri dan asal usul saya," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran lagu tema kempen Ride It Right, Tunggang...Jangan Tunggang Langagang, yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, petang semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif RIR, Suhaimi Abdul Jalil.
Mengakui selesa dengan kehidupan yang dilaluinya sebelum ini, kata Black, dia sudah lama membesar di kawasan flat tersebut. Mungkin bagi sesetengah pihak ada yang malu serta lebih senang mahu menjalani kehidupan baru yang lebih mewah demi menjaga nama sebagai seorang artis. Namun, tegas Black, dia sama sekali tidak mahu bersikap hipokrit.
"Saya membesar di kawasan ini dan mempunyai ramai teman. Setiap petang saya akan pergi bermain bola atau futsal tanpa memakai baju. Tak ada orang kisah dan hairan pun tengok saya bersikap atau berperangai sebegitu. Jadi kalau saya pindah dari sini, mana nak cari kawan serta kebebasan seperti ini," ujarnya.
Ditanya adakah persediaan membeli rumah sebagai salah satu langkah bahawa dia akan mengakhiri zaman bujangnya, kata Black, perkara tersebut ada dalam pemikirannya.
"Memang itu salah satu sebab tapi saya belum lagi akan menamatkan zaman bujang saya dalam masa yang terdekat ini. Saya mahu mencari kerja tetap yang mana saya mampu menerima gaji setiap bulan barulah saya akan berkahwin. Sebab, kalau dah kahwin tanggungjawab kita semakin besar," jelasnya. kepada murai.com.my.
Sementara itu Black turut sempat berkongsi kekesalannya berikutan laman sosial Facebooknya, telah pun diceroboh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Lebih membuatkan anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini kecewa ialah, pengodam tersebut telah berjaya mengambil tindakan dengan menukar status dirinya daripada seseorang yang masih dalam perhubungan kepada single.
Perkara tersebut telah membuatkan peminat serta rakan-rakannya menyangka dia dan teman wanita yang hanya mahu dikenali sebagai A telah pun putus hubungan.
"Saya dan A masih lagi bercinta. Kami kenal dah lama sebelum saya jadi artis lagi. Dah tiga tahun kami berkawan dan apabila status FB saya ditukar kepada single ramai yang membuat spekulasi yang bukan-bukan.
"Kata saya lupa dirilah, sibuklah dan macam-macam. Hakikatnya saya masih lagi bersama dengannya. Insya Allah kalau cukup semua persediaan dan sampai masa pastinya kami akan mengakhiri percintaan kami kepada perkahwinan," katanya album sulungnya berjudul Obsesi akan berada di pasaran pada Mei depan.
Menyentuh mengenai pembabitannya dalam kempen RIR tersebut, kata Black, dia yakin menerusi lagu juga mampu mengajak atau mendidik penunggang motor agar lebih berwaspada.
"Saya bukan rempit, tapi saya setuju untuk menyanyikan lagu ini kerana ia berbentuk nasihat. Saya yakin apabila kita selalu dengar lagu-lagu sebegini dimainkan di radio ianya secara tak langsung mampu memberi kesedaran pada mat-mat rempit agar lebih menghargai nyawa mereka," ucapnya.
.jpg)
0 ulasan:
Catat Ulasan