Jauh di sudut hati pelakon dan pengacara TV, Sazzy Falak, 30, dia seboleh-bolehnya mahu melahirkan pasangan bayi kembar perempuannya secara normal. Sebabnya, dia mahu merasai sendiri keperitan untuk bersalin dengan cara yang begitu.

Namun, apakan daya, dia terpaksa melahirkan mereka dengan cara pembedahan.

Sazzy yang ditemui portal murai.com.my sempena pelancaran program TV, Si Kecilku...Chakk!! di Sri Pentas semalam bagaimanapun berkata, dia tetap redha dengan segala ketentuan walaupun impiannya itu mungkin tidak akan tercapai.

"Memang doktor sudah berkata yang saya perlu bersalin secara pembedahan, tapi saya tetap positif dan tak mahu memikirkannya sangat kerana sebolehnya saya mahu menjalaninya secara normal.

"Bagaimanapun bila tiba masanya nanti yang memerlukan saya perlu bersalin secara pembedahan, saya tidak boleh mengelak kerana semuanya itu demi keselamatan anak dan diri saya sendiri," katanya yang semakin berseri meskipun berbadan dua.

Sazzy Falak yang tidak sabar menantikan tibanya detik yang menggembirakan itu berkata, kandungannya kini sudah memasuki usia tujuh setengah bulan dan dia amat bersyukur sejak memasuki peringkat terakhir kehamilannya itu, dia tidak pula mengalami sebarang alahan mahupun penyakit.

Malah jika dilihat pada fizikalnya, pelakon Gol dan Gincu ini tidak mengalami kenaikan berat badan yang mendadak sebagaimana beberapa wanita hamil lain, walaupun selera makannya sudah bertambah.

"Di awal peringkat saya hamil dulu, tekak saya mudah menjadi loya dan bila masuk bulan ketiga semuanya hilang. Mungkin kerana itu menyebabkan berat badan saya tak naik, tapi saya perasan bahagian pinggang saya semakin berisi.

"Dengan keadaan saya membawakan dua bayi kembar ini, saya mudah cepat letih. Selera makan saya juga bertambah. Saya suka makan makanan yang berperisa seperti cokelat, mihun sup dan bermacam lagi," katanya.

Malah, dalam keadaannya yang agak sarat, popularitinya bagaimanapun telah berjaya menarik minat sebuah jenama susu terkenal untuk mengambilnya bagi menyerikan iklan susu bagi ibu-ibu mengandung.

Masih dalam perbincangan akhir, Sazzy berkata dia tetap menerima tawaran itu dan akan menjalankan penggambaran dalam masa terdekat sebelum dia mengambil cuti panjang bersalin.

Bercerita mengenai persediaannya dan suami, Nazril Idrus menanti tibanya kehadiran dua puterinya itu, Sazzy berkata mereka telah sama-sama menyediakan bilik bayi khas yang diperindahkan dengan warna feminin serta permainan istimewa buat mereka berdua.

Jelasnya, beberapa hari sebelum tibanya waktu kelahiran, dia akan tinggal di kediaman keluarganya di Ampang, Selangor supaya mudah untuknya bergerak ke hospital tempatnya bersalin itu nanti. Begitu juga dalam waktu pantang nanti.

Malah dia cukup terharu apabila suaminya telah mengambil keputusan untuk bercuti selama sebulan sebaik saja dia melahirkan bayi kembar berkenaan bagi merasai sendiri pengalaman awal bergelar bapa.


" Bila bercakap soal persediaan, saya rasa Nazril adalah orang yang paling sibuk dalam menyambut kelahiran kembar ini.

"Saya sendiri tak sabar menanti tibanya hari kelahiran kerana kalau boleh mahu saja saya melahirkan sekarang juga. Kadang-kadang saya terlupa bahawa saya sedang mengandung sebab saya memang seorang yang lasak," katanya.

Menyedari bukan mudah bergelar ibu muda yang membesarkan dua bayi kembar, Sazzy Falak menambah, dia akan mendapat bantuan seorang pembantu rumah bagi meringankan lagi bebannya sebagai ibu, isteri dan juga selebriti pujaan ramai.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top