Diasaskan oleh Guy Laliberte (gambar), ia berkembang daripada persembahan sarkas jalanan pada 1984 kepada syarikat gergasi dengan 5,000 kakitangan serta bakal mengadakan 20 persembahan di seluruh dunia.
Laliberte yang juga bekas pemakan api yang pernah melawat Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2009, telah menjual 20 peratus saham syarikat itu kepada dua firma Dubai tetapi masih mengawal syarikat yang berpangkalan di Montreal itu.
Kini selepas mengadakan pengembangan besar, syarikat itu menjangka membawa keuntungan lebih AS$1 bilion dalam bentuk jualan tiket dan produk pada 2011 selepas mengumpul AS$850 juta (RM2.635 bilion) tahun lepas, kata Presiden syarikat itu, Daniel Lamarre.
Ramalan itu dibuat berdasarkan tiga kejayaan termasuk penggunaan muzik Michael Jackson di Montreal dan kumpulan Iris di Los Angeles.
''Bagaimanapun, risikonya adalah tinggi dengan setiap persembahan melibatkan kos AS$50 juta hingga AS$60 juta (RM155 juta hingga RM186 juta) dan untuk mengaut keuntungan, kami perlu mengadakan persembahan jelajah selama 10 tahun selain menjual lebih 100,000 tiket setiap persembahan,'' ujar Lamarre.
Setakat ini, setiap persembahan sarkas tersebut tidak pernah mencatatkan kerugian sebaliknya mendapat pulangan antara 25 hingga 30 peratus.
Cirque du Soleil yang terkenal dengan menggabungkan aksi sarkas tradisional dengan tarian, muzik dan teater akan mengadakan persembahan di seluruh dunia termasuk Macau, Las Vegas dan Orlando, Florida. - AFP
0 ulasan:
Catat Ulasan