Geofrey berjiwa Melayu

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN


hi011o

Nama Geofrey kini semakin mendapat perhatian penggiat dan peminat seni tempatan.



DI mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Itulah kata-kata azimat yang dipegang kukuh oleh pemuda berdarah Inggeris, kelahiran Australia, Geofrey Perrin Williams yang wajahnya kini semakin rancak mewarnai drama- drama tempatan.

Apa yang menarik tentang pemuda yang mesra disapa sebagai Geofrey itu, jiwa dan budaya hidup seperti orang Melayu bagaikan sudah sebati dalam dirinya.

Dia yang mula dikenali menerusi drama rantaian popular Radio Televisyen Malaysia (RTM), Roda-Roda dan Gerak Khas tiga tahun lalu, Geofrey sebenarnya cukup fasih berbahasa Melayu.

Beberapa lagi drama yang pernah dijayakan oleh Geofrey sebelum ini termasuklah Jodoh Oh Jodoh dan JRA pada tahun 2008, Jangan Bunuh Matahariku dan Cikgu Kemisah Kirby (2009), Habil dan Qabil, Durja Ningsun, telemovie Ar Rayyan dan Lilin Cinta (2010).

Tahun ini, dia turut berlakon dalam Teksi, Ayoub dan sebuah telemovie berjudul Rentap The Hornbill Warrior.

Di dunia perfileman pula, penampilan Geofrey setakat mendukung watak sampingan dalam beberapa filem termasuk Haq dan Hantu Bonceng.

Andai ada yang memikirkan Geofrey sebenarnya sekadar menghafal skrip tatkala melontarkan dialog bahasa Melayu dalam lakonannya, lebih baik buang persepsi itu jauh-jauh. Pemuda berbintang Gemini itu pada hakikatnya mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.

“Tidak sopan rasanya apabila berada di negara orang kita mengharapkan orang berkomunikasi dalam bahasa yang kita tahu.

“Sebab itu saya nekad mempelajari bahasa Melayu sejak 12 tahun lalu dan kini ramai orang kata saya ni Mat Saleh celup,” kata Geofrey sebaik ditebak persoalan tentang kefasihannya dalam bahasa Melayu.

Menggemari makanan Melayu termasuk sambal belacan dan budu, sesiapa yang pernah makan semeja dengannya pasti kagum melihat tingkahnya yang langsung tidak kekok menggunakan tangan ketika menjamah hidangan.

Perkahwinan kedua ibu dengan bapa tirinya, seorang yang berketurunan India dari Kedah sewaktu masih menetap di Australia akhirnya membawa keluarganya berhijrah ke negara ini seawal usianya empat tahun.

Dari situ, bermulalah episod kehidupan Geofrey yang dikelilingi oleh masyarakat Melayu.

Rasa tercabar kerana kakaknya pandai berbahasa Melayu, tidak memahami apa yang orang Melayu cakap serta rasa hormat berada di negara orang, Geofrey mengambil inisiatif sendiri.

Dia mempelajari bahasa Melayu daripada seorang rakan baiknya bernama Wan ketika bersekolah rendah di International School Kuala Lumpur (ISKL) di Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.

“Apa yang melucukan, Wan yang berasal dari Kelantan ketika itu langsung tidak tahu berbahasa Inggeris dan saya pula langsung tidak tahu berbahasa Melayu.

“Perkataan Melayu pertama yang saya belajar daripada Wan ialah ‘apa ini’ dan sejak itu saya mula tahu sedikit demi sedikit berkomunikasi dalam bahasa Melayu tetapi dialek Kelantan,” katanya.

Hampir dua tahun lamanya dia cuba memperbaiki pertuturanya sehingga kini Geofrey mampu memahami dan menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Dekat dengan budaya Melayu dan kebolehan bertutur dalam bahasa tersebut memberi kelebihan buatnya memasarkan diri dalam industri lakonan Melayu.

Justeru dalam tempoh yang singkat iaitu tidak sampai empat tahun dia sudah memperoleh pelbagai tawaran berlakon malah, komunikasi ketika sesi penggambaran dilakukan berjalan lancar kerana dia mampu memahami apa yang dikehendaki oleh pengarah dalam lakonannya.

Mengambil perbandingan negara kelahiran sendiri antara Australia dan Malaysia, kata Geofrey, Malaysia lebih beridentiti kerana mempunyai masyarakat yang berbilang kaum serta elemen sejarah penting dunia.

Disebabkan rasa ingin tahu, dia mempelajari bahasa Melayu dan secara tidak langsung memberi banyak input terutamanya apabila membaca tentang sejarah awal Tanah Melayu.

Pernah dia meninggalkan Malaysia selama tujuh tahun (2000 hingga 2007) ke Australia kerana bekerja. Namun, kata Geofrey, keadaan di sana langsung tidak sama dengan negara ini.

Ini termasuklah dari segi cuaca, penduduk serta makanannya.

“Oleh kerana terlalu rindu dengan masakan Malaysia, saya pernah membelanjakan lebih 200 dolar di salah sebuah restoran yang menjual makanan Malaysia di sana walaupun hanya makan berdua ketika itu,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota bomba selama empat tahun di Australia.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top