NAMPAK ‘gah’ apabila pelakon popular Fazira Wan Chek atau Erra Fazira, 37 menggayakan kalung dan gelang mutiara diberi nama Primadona Klasik bernilai RM180,000. Barang kemas tajaan Refflesia The Pearl Centre itu akan diserahkan kepada pemenang Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH) yang bakal berlangsung 3 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang.
Pada majlis mengumumkan hadiah yang bakal diserahkan kepada pemenang Artis Paling Popular itu, kelmarin, Pengarah Urusan Refflesia The Pearl Centre, Winnie Sin menjelaskan, Erra Fazira diberikan penghormatan menggayakannya berdasarkan statusnya yang turut dianggap primadona.
“Sepanjang kerjaya seninya, Erra sudah membintangi 35 filem dan memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk kategori Pelakon Filem Popular sebanyak tujuh kali. Jadi pihak kami berbesar hati apabila hari ini dia sudi untuk menggayakan rantai dan gelang mutiara Primadona Klasik buat pertama kali dan dipertontonkan kepada wakil media dan umum,” katanya.
Selain koleksi Primadona Klasik, turut ditampilkan pada majlis itu, koleksi mutiara klasik bernilai RM20,000, RM 10,000 dan RM5,000 yang bakal diserahkan kepada pembaca Berita Harian bertuah dan pemenang bagi setiap kategori. Dua pelakon muda sedang meningkat naik, Fathia Latiff dan Miera Leyana turut diberi penghormatan untuk menggayakannya.
Ditemui sebaik majlis selesai, Erra menjelaskan, dia berasa dihargai apabila diberi penghormatan untuk menggayakan perhiasan Primadona Klasik, namun gelaran primadona seperti diuar-uarkan itu terlalu tinggi buat dirinya.
“Saya tidak pernah menganggap diri sebagai primadona. Bagi saya untuk menggalas status itu terlalu berat. Lagipun saya tidak pernah mengejar sebarang gelaran sepanjang membabitkan diri dalam industri seni. Apa yang penting adalah hasil kerja. Sekiranya peminat puas dengan apa yang saya berikan sama ada dalam bidang lakonan mahupun nyanyian, itu sudah memadai,” katanya.
Kata Erra, ada beberapa kriteria yang perlu diberi perhatian sebelum gelaran primadona itu boleh diberikan kepada seseorang pelakon, antaranya mereka haruslah sudah lama membabitkan diri dalam bidang seni. Menerusi karya dihasilkan p,elakon terbabit berjaya mengharumkan nama negara di dalam mahupun luar negara, membantu meningkatkan taraf mahupun ekonomi industri dan paling penting mereka disukai ramai.
“Menilai dari sudut itu, saya rasa pembabitan saya masih baru dan untuk mencapai status primadona masih jauh untuk dicapai. Pada saya insan seni yang sesuai dinobatkan sebagai primadona mengambil beberapa contoh adalah Allahyarham Seniwati Saadiah mahupun Sarimah. Ini kerana pembabitan mereka sebagai pelakon sehingga ke akhir hayat. Saadiah sewaktu sakit saja tidak berlakon sementara Sarimah masih berlakon hingga kini, cuma kebelakangan ini saja aktiviti dikurangkan,” katanya.
Tambah Erra, pada waktu sama, banyak perkara yang harus dilakukan bagi memperbaiki persembahannya sama ada dalam bidang lakonan atau nyanyian. Apa yang pasti, dia mahu peminat meminatinya kerana bakat dan bukan cerita peribadi.
“Sepanjang pembabitan saya dalam bidang seni, boleh dikatakan selepas 10 tahun barulah orang melihat saya sebagai pelakon berbakat. Sebelum itu, orang lebih memberikan tumpuan kepada gosip atau hal peribadi mengenai saya. Waktu sama, saya mahu terus aktif. Bidang nyanyian juga akan diteruskan. Sepatutnya saya akan menghasilkan album dengan syarikat rakaman Suria Records (SRC), tapi kontrak sudahpun berakhir tahun ini. Saya merancang untuk menghasilkan album sendiri selepas ini,” katanya.
Menyentuh mengenai cerita peribadi atau gosip, terbaru timbul cerita Erra bertemu Ziana dan Ning Baizura bagi membincangkan mengenai isu membabitkan kritikan diterima penyanyi senior itu yang disiarkan sebuah majalah fesyen. Sebelum ini, timbul juga khabar bahawa Ziana mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap tenaga kerja majalah terbabit yang telah menulis sebuah artikel disifatkan menjatuhkan kredibilitinya sebagai artis. Nama Erra dan Ning juga didakwa terbabit sama.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Erra tidak menafikan memang ada bertemu Ziana dan Ning tetapi topik yang dibicarakan itu berkisar kepada isu semasa membabitkan mereka termasuk isu panas membabitkan kritikan diterima menerusi artikel yang ditulis dan disiarkan dalam majalah terbabit.
“Kami bercerita mengenai pelbagai isu termasuk juga apa yang ditulis majalah itu. Kritikan yang ditulis kami rasakan agak keterlaluan, apatah lagi yang menjadi mangsanya Ziana Zain, yang kami anggap seperti kakak sendiri. Pada waktu sama, hubungan baik Ziana dengan syarikat penerbitan itu sudah terjalin agak lama. Malah pernah menjayakan sesi fotografi yang diadakan di luar negara.
“Ingin kami tegaskan, majalah terbabit dan syarikat penerbitannya tiada kena-mengena dalam soal ini, cuba yang kami persoalkan adalah kakitangan yang menulis artikel itu. Waktu sama, tiada isu untuk mengambil tindakan undang-undang dibangkitkan. Tidak ada soal saman dibicarakan dalam pertemuan itu, cuma kami cuba memikirkan jalan penyelesaian terbaik yang boleh diambil,” katanya.
Menerusi apa yang berlaku juga, jelas Erra, banyak pengajaran boleh diambil. Tambahan pula, pihak media dan artis saling memerlukan. Kerjasama dan hubungan baik yang terjalin seharusnya dihargai kedua-dua pihak.
“Kadang-kadang pihak redaksi perlu juga memikirkan artis yang dipelawa untuk menjalani sesi fotografi. Apatah lagi artis seperti Ziana yang sudah bergelar isteri dan ibu. Tidak semua perkara yang diberikan kepadanya sesuai untuk digayakan. Mereka tidak boleh menganggap artis sebagai patung yang akan menggayakan apa saja. Lihatlah juga kesesuaiannya,” katanya.
Menyentuh mengenai luahan tidak puas hati Edry membabitkan persembahan yang dilakukan protegenya Salma dalam konsert Mentor yang berlangsung Ahad lalu, kata Erra, sebenarnya dia tergamam apabila mendengar kenyataan itu. Atas alasan itu, dia tidak dapat memberi sebarang komen apabila ditanya wartawan sebagai kenyataan balas.
“Edry mempunyai alasan sendiri untuk memberikan kenyataan sedemikian. Tapi antara kami tidak ada apa-apa masalah. Hubungan kami tetap baik. Cuma mengenai soal persembahan itu, ia terpulang kepada umum untuk menilainya kerana pada saya, ada beberapa elemen lain yang boleh menghidupkan persembahan seseorang artis. Elemen drama itu pun sebenarnya ditimbulkan sebelum itu lagi oleh pengacara Mentor. Pada saya, ia bukan satu masalah besar,” katanya.
Dalam menjayakan rancangan Mentor, jelas Erra, yang merisaukan dirinya apabila ramai pihak memberi pujian tinggi kepada kemampuan vokal Salma. Dia kalau boleh tidak mahu protegenya itu lemas atau atas pujian diterima.
“Seharusnya Salma terus bekerja keras kerana banyak dugaan dan cabaran yang mendatang selepas ini. Saya percaya protege mentor lain juga tidak akan berdiam diri. Mereka akan meningkatkan lagi usaha. Diharapkan apa yang berlaku tidak mengganggu tumpuannya. Pada waktu sama, saya bimbang dengan pandangan umum terhadap Salma.
“Maklumlah dalam hal ini, kalau kita bersikap lebih ramah dikatakan cuba membodek atau buat-buat baik. Kalau tidak bercakap dikatakan sombong pula. Apa saja yang berlaku pasti akan memberikan implikasi atau cuba dijadikan isu yang boleh menjatuhkannya. Perkara seperti inilah saya jelaskan kepada Salma bahawa dia perlu lebih berhati-hati,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
>PROFIL
Nama sebenar: Fazira Wan Chek
Panggilan: Erra Fazira
Tarikh lahir: 9 Februari 1974
Umur: 37 Tahun
Tempat lahir: Sungai Choh, Rawang, Selangor
Bintang: Aquarius
Suami: Engku Emran Engku Zainal Abidin
Anak: Engku Aleesya Engku Emran
Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan model
Album: Erra Fazira (1994), Aku dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999 ), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2003) dan Ya Atau Tidak (2006)
Lagu Popular: Pasrah, Jendela Hati, Hadirnya, Pertemuan, Lepaskanku, Sampai Bertemu, SMS Saja, Ucapkanlah (duet dengan Yusry), Jika Kau Tiada (duet dengan Yusry), Bermula Detik Ini dan Nada Kasih (duet dengan Rio Febrian)
Filem: Sembilu, Sembilu 2, Maria Mariana, Tragedi Oktober, Gemilang, Maria Mariana 2, Pasrah, Soal Hati, Gerak Khas The Movie, Putih (animasi), Mr Cinderella, Soalnya Siapa, Gila Gila Pengantin, Janji Diana, Cinta Kolestrol, Mr Cinderella 2, MX3, Kuliah Cinta, Hingga Hujung Nyawa, Tujuh Perhentian, I Know What You Did Last Raya, Potret Mistik, Sembilu, Lady Boss, Gila Gila Pengantin Popular, KL Menjerit 1, Castello, Pesona Non Grata, Qabil Qusyry Qabil Igam, Cuci, Anak, Los Dan Faun, Hidden, Sifu Dan Tongga dan Andartu Terlampau – 21 Hari Mencari Suami
Drama: Siapa Mau Potong Baju?, Joe & Faridah, Bonanza, Cinta Lelong, Mertua VS Menantu, Kasih Tercipta, Mertua VS Menantu 2 dan 30 Hari Mengenal Cinta
Teater: Selendang Umi dan Muzikal Tun Mahathir
Rancangan Televisyen: Fesyen Tempo, Program Realiti Gugu Gaga Erra, Dunia Wanita dan Tiger Futbol Starz
Pencapaian: Miss Malaysia/World 1992, tempat ketiga Miss South East Asia 1992/1993, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (Soalnya Hati), Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (Hingga Hujung Nyawa), Pelakon Wanita Popular Anugerah Skrin (Sembilu 2), Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin (Soal Hati) dan Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1994, 1995, 2000, 2001, 2002, 2003 dan 2004)
0 ulasan:
Catat Ulasan