Tak cari gaduh

hi 01.1


DUA kali dinobatkan sebagai Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia dan Anugerah Skrin, kehebatan Erra Fazira dalam dunia lakonan sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Lihat sahaja setiap filem lakonannya yang tidak pernah mengecewakan dan kerap meraih kutipan melebihi RM1 juta. Disebabkan itu tidak keterlaluan sekiranya ada yang mengangkatnya sebagai primadona masa kini.

Meskipun tidak menolak apabila mendapat gelaran sedemikian, namun bagi Erra buat masa ini dia masih belum layak lagi untuk berdiri sebaris dengan primadona Melayu terkenal seperti Allahyarham Datin Saadiah, Normadiah ataupun Datuk Sarimah.

"Dengan gelaran primadona bermakna ia satu tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh seseorang artis itu. Bukan hanya lakonan yang diminati, tetapi untuk bergelar primadona seseorang itu disukai oleh ramai orang.

"Bagi saya juga individu yang layak untuk mendapat gelaran tersebut adalah artis yang sehingga ke akhir hayatnya terus berada dalam persada hiburan. Sedangkan saya pula baru sahaja 17 tahun bergelar sebagai seorang artis," jelasnya.

Menurut pelakon kelahiran Rawang, Selangor itu lagi, selepas 10 tahun berlakon, barulah dia merasa puas apabila lakonannya mula diterima ramai dan mendapat maklum balas yang baik daripada peminat.

Ujarnya, untuk meyakinkan peminat bahawa dia benar-benar boleh berlakon adalah satu cabaran yang cukup besar buat dirinya. Disebabkan itu dia terpaksa mengambil masa yang lama agar bakatnya diberi perhatian.

hi 01.2

ERRA FAZIRA mendefinisikan gelaran primadona layak diberi kepada anak seni yang berkecimpung dalam dunia hiburan sepanjang hayat mereka.


"Sebelum ini ramai yang anggap saya hanya menggunakan kecantikan untuk bergelar sebagai pelakon. Namun hanya selepas 10 tahun, baru orang melihat bakat yang ada pada diri dan barulah saya berasa puas," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya apakah aktiviti seni terbarunya ketika ini, Erra menjelaskan selain terbabit dengan program Mentor, dia juga turut berlakon dalam beberapa telemovie.

Beritahu Erra, buat masa ini antara telemovie terbaru lakonannya berjudul Sanggul Beracun di samping beberapa pelakon seperti Namron dan diarahkan oleh Sabri Yunus.

"Tentang tawaran berlakon filem pula, baru-baru ini saya ada mendapat tawaran daripada Edry, tetapi ia terpaksa ditolak memandangkan jadual saya yang agak sibuk," ujarnya yang turut terkenal dengan watak Nurul Ain menerusi drama bersiri popular Mertua vs Menantu.

Manakala mengenai dunia nyanyian pula, dia menjelaskan masih lagi berminat untuk menyanyi dan mungkin akan menghasilkan album sendiri apabila kontraknya dengan SRC Records tamat nanti.

Tak saman

Pastinya ramai yang sudah mengetahui mengenai kontroversi artis popular yang telah meninggalkan sesi fotografi dengan sebuah majalah popular tempatan.

Biarpun nama Ziana Zain yang hangat diperkatakan dalam kontroversi tersebut, namun sebenarnya Erra Fazira dan Ning Baizura turut terbabit dalam sesi fotografi berkenaan.

Lebih menarik, baru-baru ini ketiga-tiga artis tersebut telah mengadakan satu perjumpaan dan dikatakan mahu berbincang untuk mengambil tindakan terhadap majalah berkenaan.

Mengulas mengenai cerita tersebut, Erra akui dia memang ada membuat pertemuan dengan Ziana dan Ning, tetapi mereka berbincang tentang banyak topik semasa pertemuan itu.

"Memang banyak topik yang kami bualkan, namun saya tidak nafikan juga kontroversi berkenaan adalah salah satu perkara yang menjadi topik perbincangan kami.

"Bagaimanapun, dalam perbincangan itu tidaklah sampai kami mahu ambil keputusan untuk menyaman majalah tersebut. Sebaliknya kami cuma memberi pandangan masing-masing tentang masalah berkenaan," jelas Erra.

hi 01.3

ERRA masih mahu menjadi penyanyi.


Tambah Erra, dia sendiri tidak mahu memanjangkan lagi isu tersebut, namun tetap berasa sedikit terguris dan simpati terhadap kontroversi yang menimpa rakan baiknya itu.

Ujarnya, kontroversi yang berlaku itu memang tidak menggembirakan dirinya, malah dia menganggap cerita yang disebarkan itu dilihat seperti berat sebelah.

"Siapa yang pernah bekerjasama dengan saya, Ziana ataupun Ning tentunya tahu dengan cara kerja kami. Takkanlah kami hendak menabur pasir dalam periuk nasi sendiri," ujarnya.

Sekiranya dipanggil untuk menjalani sesi fotografi dari majalah yang sama pada masa akan datang, Erra menjelaskan dia tidak ada masalah untuk menerimanya dan akan bersikap profesional.

"Saya harap kalau ada mana-mana pihak yang mahu membuat sesi fotografi selepas ini, mereka haruslah tahu garis panduan seseorang artis itu terlebih dahulu dan tidak boleh ambil mudah," ujarnya.

Bersikap terbuka

Selain kisah berkenaan, turut hangat diperkatakan adalah mengenai perasaan kurang senang Edry Abdul Halim terhadap protege Erra iaitu Salma dalam rancangan Mentor musim ke-5.

Pada konsert yang berlangsung pada Ahad lalu, Edry mengkritik persembahan Salma yang sarat dengan elemen drama bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai sehingga mendapat undi terbanyak.

Menurut Erra, dia pada mulanya agak terkejut juga dengan kritikan yang telah dilemparkan itu, tetapi menafikan dia dan Edry mempunyai sebarang masalah.

"Setiap orang bebas untuk memberi apa sahaja komen dan saya bersama protege lebih bersikap terbuka. Mungkin masa itu dia memang ada rasa tidak puas hati dalam sesetengah perkara yang lain.

"Malah, pada malam itu saya lebih banyak berdiam diri dan menghormati setiap komen yang diberikan. Cuma saya banyak memberi kata-kata perangsang kepada Salma supaya dia dapat lakukan yang terbaik," ujarnya.

Menurut Erra lagi, biarpun Salma mendapat undian tertinggi dengan mengatasi Iqa dan Aiman, tetapi dia sering mengingatkan protegenya itu supaya tidak berasa terlalu selesa.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top