Ikan, buku penghibur Ramli Sarip

Oleh HASNURUL MOHAMED
gambar Izham Jaafar

DI atas pentas, Ramli Sarip menghiburkan ribuan peminat dengan puluhan lagu-lagu hitnya termasuk Jangan Tunggu Lama-Lama, Hilang Gelap Terbitlah Terang dan Jangan Rayu Ku.

Tetapi apakah yang menjadi penghibur kepada Ramli tatkala dia merasa sunyi ketika berada di rumah?

"Ikan. Itulah penghibur hati saya. Sejak kecil lagi, saya suka tangkap ikan. Dulu, saya pernah dibesarkan di Muar, Johor. Jadi, banyak masa saya habiskan dengan menangkap ikan di sungai.

"Apabila ada kemampuan, hari ini saya mempunyai empat tangki ikan yang diisi dengan ikan jenis Angel.

"Melihat ikan-ikan yang berenang, merasa begitu damai dan tenang di hati ini. Gelagat ikan-ikan itu menghiburkan saya.

"Tangki ikan yang saya ada hari ini, semuanya diisi dengan Angel fish kerana ia mudah dipelihara. Yang penting kita tahu sukatan makanan dan vitamin yang diperlukan oleh ikan-ikan.

"Kalau difikir-fikirkan, dalam satu tangki itu, boleh memuatkan kira-kira 20 ekor yang saiznya, adalah sebesar telapak tangan saya.

"Kalau nak tahu, perkara wajib yang saya lakukan apabila pulang ke rumah, saya akan melihat dahulu ikan-ikan ini berenang.

"Bagi diri saya, itu adalah satu bentuk terapi kejiwaan.

"Satu tabiat saya pula ialah tidak suka tengok tangki ikan kotor. Tanpa mengira penat, saya akan bersihkan dahulu tangki-tangki ikan jika ia kotor.

"Kemudian, barulah lapang rasa dada ini" katanya yang bukan sahaja seronok ketika berbicara tentang ikan tetapi menunjukkan sikap budak kampung sejati.

Walaupun Ramli banyak menghabiskan masa di Malaysia, sering berulang alik ke negara ini kerana memenuhi pelbagai undangan menyanyi, dia masih menetap di Singapura.

Dengan keadaan sedemikian, Ramli memberitahu, dia sebenarnya menganggap Malaysia sebagai rumah kedua bagi dirinya.

Biarpun status kewarganegaraan Ramli masih tidak berubah namun katanya, bumi bertuah ini juga adalah negaranya dan mahu memahatkan namanya supaya kekal dalam industri hiburan di sini.

Langsung tidak cuba untuk menafikan memiliki sebuah rumah di Bukit Gasing, kata Ramli, rumah itu disewakannya.

Apabila diajukan dengan soalan, tidakkah terlintas di dalam hatinya untuk menukar kewarganegaraan seperti mana yang dilakukan oleh rakan-rakan artis seangkatan dari Singapura?

Sambil tersenyum, Ramli berkata, "persoalan itu, kita bincang lain kali."

Mengubah ke topik waktu senggang, kata Ramli, selain ikan, dia banyak mengisi masa dengan membaca buku terutamanya buku-buku yang mendekatkan diri dengan penciptanya

Dari situ, kata Ramli, orang beranggapan dia banyak berdakwah termasuklah menyampaikan lagu-lagu berunsur ketuhanan.

Sebenarnya, jelas Ramli, terdapat macam-macam cara jika seseorang itu mahu berdakwah.

"Mungkin secara kebetulan, lagu-lagu ketuhanan begitu dekat di hati saya tetapi tidak seharusnya apabila kita berdakwah, kita perlu melakukannya dalam kumpulan.

"Kalau kita menjadi artis nasyid sekali pun, itu juga adalah dakwah. Apa yang penting ialah setiap benda itu perlu dinilai baik kerana penilaian yang baik itu juga adalah sebahagian daripada dakwah," katanya.

Ramli menafikan di Singapura, dia memiliki bisnes sebaliknya dia menjelaskan, rakan-rakan yang memiliki perniagaan di negara jiran itu sering menggunakan namanya, Ramli Sarip.

"Saya tidak ada bisnes. Bisnes saya ialah nyanyian saya, muzik yang saya bawakan selama ini.

"Saya hargai apabila peminat memandang saya sebagai pejuang muzik rock. Kalau ikutkan, saya lebih senang (suka) buat lagu tradisional kerana di halwa telinga saya, lagu-lagu seperti ini lebih sedap didengar.

"Kecenderungan saya ialah untuk mengabdikan lagu-lagu bercorak nusantara kerana lagu seperti ini ada perjuangan dan ada falsafah.

"Saya amat berharap agar generasi baru dapat meneruskan dan melahirkan lagu-lagu bercorak kemelayuan kerana rock itu sebenarnya bukan mewakili orang timur.

"Rasailah kehebatan kita sebagai orang timur dan saya mengharapkan agar generasi baru dapat teruskan memperjuangkan lagu-lagu Melayu.

"Jangan biar ia ditenggelamkan oleh satu keadaan kebaratan.

"Lagipun, hidup ini penuh dengan pilihan dan apabila kita membuat sesuatu pilihan itu, ia berdasarkan gerak hati," katanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top